Halaman

Selasa, 13 September 2011

Kenal Saudara



Pada 30 Ogos 2011, saya mendapatkan perkhidmatan membasuh kereta Kelisa  WJS 7528 di kedai basuh kereta Tuk Cin atau Bronco di Kampung Bongek. Nama sebenarnya Azman Ismail.  Kemudian datang kereta Proton Saga berwarna biru. Wajah pemandunya saya rasa kenal, sekali-sekali terjumpa dalam FB. Dia parkir kereta dan Tuk Cin membasuh kereta Kelisa saya.
     Dia duduk di bangku sebelah kanan saya. Saya  mendiamkan diri sahaja. Saya yakin kenal siapa dia.  Kami bersalam dan dia bercerita tentang keretanya  yang kotor.
     Saya tidak sabar hendak mengenalkan diri.
     “Ni menantu arwah cikgu Zainal, kan?” tanyaku spontan.
     “Ya… mana kenal?” tanya Azim, pemandu kereta Proton Saga biru tadi.  
     “Saya kenal… tetapi kau tak kenal saya, ” terang saya untuk menguji.
     “Siapa, ya?” tanya Azim hendak tahu segera.
     “Saya anak Uwan Inap Selemak,” terangku.
     “Allahuakbar…,”  terperanjat sambil mengucap panjang.
     “Haji Ibrahim, Tuk Cai tu adik-beradik seayah dengan emak saya,” jelasku lagi. ”Tuk Cin Bronco ini pun saudara sepupu saya. Uwan dia adik beradik dengan uwan saya,” jelas saya lagi.
     “Ya.. ke?,“ tanya Azim kehairanan.
     “Jadi kita  semua ni tak orang lain lah, saudara lah?,”  soal Azim seterusnya.
     Tuk Cin Bronco ketawa sambil mengelap kereta. Sekali-sekala  menjeling ke arah kami.
     “ Minta maaf bang, saya betul-betul tak perasan, tak kenal, bang,” pinta Azim.
     “Bukan abang, tapi Pak Long, kerana emak abang, kau panggil Uwan, kan?” . Saya cuba jelaskan  sistem panggilan yang tepat daripada segi susur galur kekeluargaan.
     Azman yang asyik membasuh kereta Kelisa saya  dan sekali-sekala  senyum sahaja mendengar perbualan kami.
     “Jadi, kita ni semua saudaralah…,“ aku Azim. Kami semua ketawa.
     “Abang ni pangkat Pak Long, dan Tuk Cin Bronco?”
     “Pak Ngah,” jawab saya ringkas.
     “Oh, dah bertahun menyemenda di Rembau, baru kenal saudara. Syukur, Alhamdulillah,”  lafaz Azim lagi.
     Kami baru generasi kedua sudah tidak mengenal  saudara, lebih-lebih lagi salasilah keluarga.  Bagaimana dengan generasi  ketiga, keempat, kelima dan seterusnya? Siapa harus dipersalahkan? Mengapa ia berlaku? Bagaimanakah merapatkan hubungan kekeluargaan  dan kepekaan terhadap salasilah keturunan, baik daripada sebelah bapa atau sebelah ibu. 
oleh: Mohamad Abd. Ghani
Catat Ulasan