Halaman

Sabtu, 17 September 2011

Semakin Sukar Menjadi Orang Baik


Azlan, setiausaha pertubuhan (kiri) dan Bang Aziz, Datuk Penghulu
(berkopiah) sedang sibuk membuat persiapan menjelang
majlis sambutan Hari Raya pertubuhan, malam nanti.

“Haji, saya suka entry terbaru you!,” Cikgu Azlan menyapa sebaik-baik aku tiba di pelanggah persiapan Jamuan Hari Raya Jalan Angsana 1, Lorong Angsana 1/4, 1/5 dan 1/6 Taman Pinggiran Golf Ke-15, pagi tadi.

     “Entry yang mana?,”
     “Semakin Sukar Menjadi Orang Baik dan cerita-cerita mengenai Tabung Amal Jariah,” kata Azlan yang juga Editor Edisi Inggeris ceritaapaapasaja, bernafsu.
     “Apa yang menariknya?,” aku sengaja memancing jawapan dan jiranku itu menjawab dengan senyuman.
     “Terima kasih! Sejak kebelakangan ini saya banyak berfikir mengenai fenomena baharu ini - semakin susah untuk menjadi orang baik.”
     “Siapa dalam cerita itu?,” tanya pensyarah Kolej MARA Seremban itu.
     Aku pula menjawab dengan senyuman.
     “Sebetulnya malam tadi saya sudah buat keputusan. ceritaapaapasaja akan mempunyai kategori baharu. Kategori Semakin Sukar Menjadi Orang Baik.
     “Dengan pandangan you, Insya-Allah saya akan mulakan kategori baharu ini mulai hari ini juga,” aku memberi penjelasan yang disambut dengan rasa kepuasan oleh Azlan.
     Kategori terbaharu ini akan memaparkan cerita-cerita yang `tidak pernah terfikir oleh akal’ sebelum ini. Ia cerita biasa tapi membawa natijah yang tidak biasa. Manusia Melayu, manusia Islam semakin sukar dimengerti tapi mudah sahaja dirumus – hebatnya kita apabila berkata, tapi kata itu tidak semestinya dikota.
     Pengalaman lalu terlalu banyak menguji tesis dan sebahagian besarnya tidak antitesis. Tidak percaya? Cubalah.
     “Menegur untuk kebaikan rakan, adalah jalan mencari permusuhan?”
     “Memberi pinjam wang kerana merintih kesulitan, bermakna satu lagi rakan akan hilang.”
     “Bermula dengan mencari simpati untuk menang, berakhir dengan menguasai sepenuhnya persatuan. Persatuan bertukar status - … Sendirian Berhad.”
     “Bertapak melalui persatuan peringkat kampung, dilantik jadi Orang Besar Peringkat Negeri, persatuan peringkat kampung dilupakan.”
     … dan banyak lagi. Kongsilah cerita-cerita begini.
     “Oooophs! Sebelum hantar cerita, ingat pesan orang tua dan agama. Menegur itu ada adat dan budayanya.”
     “Apa yang penting, perkara yang perlu diberitahu, hendaklah diberitahu. Kalau tidak diberitahu, macam mana orang hendak tahu? Kalau tidak tahu, bagaimana hendak mengubah tingkahlaku? Kalau tidak diubah tingkahlaku, …? Ambillah masa 100 tahun lagi, saksikan… ada perubahan?
Catat Ulasan