Halaman

Isnin, 5 September 2011

Semakin Sukar Menjadi Orang Baik?


Di sini bermula cerita...

“Fool! Fool! Fool!,” itu antara kata-kata jiranku sewaktu aku terjenguk Facebook anakku sebentar tadi (aku bukan friendnya). Kata-kata itu ditujukan kepadaku kerana membakar sampah di catchment area bawah tadbir Majlis Perbandaran Seremban yang bersempadan dengan Seremban International Golf Club (SIGC), semalam dan kelmarin.
     Gelaran `bodoh’ diberikan kerana aku membakar sampah sewaktu pakaian di jemuran (miliknya dan milikku) masih basah.
     Secara siumannya, tuduhan `Bodoh! Bodoh! Bodoh!’ adalah keterlaluan. Bagaimanapun aku mengambil sikap positif dan segera teringat kata-kata Zafar, pendatang dari Rawalpindi yang bekerja di Restoran Syed Maju.
     “Bang! Ada satu jalan sahaja ke syurga iaitu kebaikan tapi… untuk ke neraka ada 1,001 jalan,” katanya sewaktu berbual menjelang Hari Raya.
     Lalu, kata-kata celupar yang dilontarkan jiranku di Facebook mendapat reaksi banyak pihak juga. Pihak yang tidak tahu duduk perkara, terus memberi label yang sama. Terpulang!
     Bagaimanapun yang pasti, aku memberitahu jiranku itu sewaktu hendak membersihkan kawasan belakang rumahnya (bukan tanahnya pun) atas alasan kakitangan SIGC menemui ular sawa sebesar peha pada pagi Hari Raya Kedua. Kami sekeluarga tiada di rumah ketika itu kerana masih bercuti di Sabah.
     “Besar ini ular sawa itu bang!,” cerita Ibrahim sambil menunjukkan pehanya, sewaktu mampir di pagar SIGC sewaktu aku membersihkan kawasan belakang rumahku.
     “Saya dapat menjerutnya dengan tali tapi dia lebih kuat dan jerutan itu terlepas,” katanya sambil memintaku memaklumkan kejadian itu kepada jiran.
     “Ular seberat kira-kira 30Kg itu tidak dapat lari melalui celah pagar dan terus memanjat pagar,” kata Ibrahim yang turut memelihara tujuh ekor ular di kampungnya di Pontian, Johor.
     “Jadi persoalannya, mana yang lebih penting? First Thing First kata Edward de Bono. Kain yang berbau sehari dua atau anak-anak yang sering bermain di belakang, mati dibelit ular sawa?
     Peliknya Melayu ni (walaupun lama belajar di luar negara), tidak mahu berterus-terang. Apakah perlu menggunakan Facebook sedangkan sewaktu aku memberitahunya untuk membakar sampah, katakan `jangan’.
     Lebih pelik dia bagai bersetuju denganku dengan menghantar dua anaknya untuk membantu dan dibekalkan pula sebalang (bekas kuih) petrol sebagai bahan bakar.
     Turut membantu seorang lagi jiranku (mula-mulanya melihat sahaja dari rumah walhal kawasan yang dibersihkan adalah di belakang rumah mereka). Sewaktu diberitahu aku sedang membersihkan kawasan itu, dengan sopan pada awalnya dia memberitahu, “terima kasihlah Haji.”
     Kalaulah aku tidak memberi reaksi terhadap tuduhan yang keterlaluan ini, mungkin jiranku ini akan terus-terusan membuat tuduhan-tuduhan yang biadab dan `memandang hina’ setiap perbuatanku yang lebih berhasrat untuk membantu.
     Bukan sekali dua dia buat begini. Aku dapat kesan, dia cukup marah apabila aku menebang pokok saga yang mempunyai sarang tebuan (walhal untuk mengelakkan anak-anaknya turut disengat).
     Dia juga cukup marah apabila aku meletakkan kereta seketika di bahagian belakang rumahnya atas alasan mengganggu pandangan ke SIGC sedangkan dia menanam mempelam dan rambutan yang dahannya turut mencecah luar kawasannya.
     Dia juga pernah marah kerana memberikan anak-anaknya makanan sedangkan aku tidak sampai hati melihat anak-anak yang masih kecil dibiarkan di rumah sewaktu mereka sibuk berniaga.
     Untuk menunggu kain di jemuran tiada? Biasanya kain jiranku ini ada di jemuran dari pagi hingga ke senja.
     Lalu, cerita bakar sampah di harapkan menjadi cerita terakhir. Aku boleh sahaja memberitahunya secara bersemuka dan menerima apa-apa sahaja reaksinya. Persoalannya, pengalaman lalu banyak mengajarku. Menegur walaupun untuk kebaikan, bermakna mengundang permusuhan. Niat baik memerlukan ujian kesabaran yang cukup tinggi. Niat baik sering diuji dengan EQ Super Tinggi. Aku tiada semuanya itu kerana aku bertaraf `fool’.
     Untuk menenangkan keadaan yang sebegini, aku sering berfikir begini pula selalunya, “membuang masa sahaja berurusan dengan manusia yang sedang dikawal amarah? Ini menurut Sigmund Frued, manusia itu sering dikawal oleh `Id, Ego dan Super Egonya’. Untuk bersangka baik, aku tambah satu lagi teori Frued - `Dia baik sebenarnya. Sewaktu dia mengeluarkan kata-kata itu, dia dikawal oleh emosi `tidak siumannya.’
     Dalam kes ini, seboleh-bolehnya aku cuba mengelak untuk bermasam muka dengan jiran sebelah rumahku. Apatah lagi suaminya adalah seorang yang cukup memahami amalan berjiran secara Islami - tinggi budi bahasa dan lembut tutur katanya.
     Aku memang tidak dapat berhadapan dengan suasana tegang dengan jiran semata-mata `baju berbau asap’ sehari dua; tak kisahlah anak dibelit ular sawa.
     Benarlah! Setiap hari, semakin sukar untuk menjadi orang baik?
Catat Ulasan