Halaman

Khamis, 15 September 2011

Agama dan Keamanan


Tuk Cai 1907-1997
Pada petang 3 Ogos 1997 kembalilah seorang ulamak tersohor dari daerah ini menemui maha pencipta-Nya . Gelaran atau panggilan anak cucunya kepada ulamak tersebut ialah Tuk Cai. Beliau kembali ke rahmatullah pada usia 90 tahun menemui maha pencipta-Nya buat selama-lamanya. Dia panggil saya, Mohamad Ali Hanafiah atau Mohamad Ali sahaja. Mengapa, kurang pasti, saya tidak pernah bertanya ayah ketika dia masih hidup.
     Di sini saya turunkan beberapa kisah luar biasa yang dialami oleh mereka yang hidup dan hampir dengan Allahyarham semasa hayatnya daripada Zainab, adik sebapa dan Azim, menantu pangkat cucu kepada Allahyarham.
Pertama
Pada ketika tengah malam, jenazah terbujur kaku di tengah rumah. Hanya empat wanita mengadap dan membaca ayat-ayat suci al-Quran pada dinihari tersebut. Emak saya, Zainab bersama tiga anak perempuannya sahaja, Habsah, Saodah dan Fatimah berada di sisi jenazahnya. Mak saya, Zainab binti Dahan, cuma seayah dengan ulamak yang terbujur kaku. Malam itu, emak bersama tiga anak perempuan tok guru mengaji Quran di sisi mayat. Tengah malam yang sunyi, ramai yang lain tertidur.
     Dalam keheningan malam tersebut, emak menyedari bau harum menusuk ke lubang hidungnya, tanpa menyuarakannya kepada sesiapa pun. Bau harum wangi itu ditiup angin yang sangat lembut dari arah mayat itu - seharum bunga kasturi yang sungguh menyegarkan hidung yang menyedutnya.
Kedua
Pada pagi keesokannya mayat masih terbujur di tengah rumah diziarahi oleh sanak saudara, kawan dan anak muridnya. Pada satu ketika, ziarah seorang tua buta, naik ke atas rumah dan terus ke tengah rumah, lalu memeluk mayat sambil meratapi dan menangis. Anak-anak Tuk Cai hairan kerana tidak mengenali hamba Allah tersebut.
     Apabila selesai berbuat demikian, orang tua itu turun dan meninggalkan mayat. Kata Azim, anak-anak menoleh dan pandang ke bawah tetapi gagal mengesan dan tidak kelihatan batang tubuh orang tua tersebut.
     Apabila ditanya kepada orang ramai di halaman rumah, tidak ada seorang pun yang menyedarinya. Orang tua buta itu hilang ghaib begitu sahaja. Soalan kepada mereka yang menyedari kehadirannya ialah siapakah orang tua buta itu? Malaikat, wali Allah atau manusia biasa.
Ketiga
Petang selepas solat Asar, solat jenazah dilakukan. Solat jenazah dilakukan sebanyak empat kali kerana memenuhi ruang dewan sembahyang madrasah tersebut. Solat jenazah pertama, diimamkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Dato Sheikh Murtadha Sheik Ahmad. Setelah disembahyangkan, jenazah dibawa keluar, menurut Azim, air hujan turun renyai-renyai tetapi seolah-olah hujan lalu sahaja dan tidak membasahi jenazah.
Keempat
Petang, selepas jenazah disembahyangkan, jenazah diusung keluar ke kereta jenazah. Pada mereka yang sedar perbezaan dengan sebelumnya menampakkan pokok-pokok tunduk. Kata Azim, pokok-pokok rambutan yang rimbun daunnya di hadapan madrasah itu, kelihatan lebih melentur ke tanah daripada hari-hari sebelumnya.
     Dahan-dahan pokok rambutan di hadapan madrasah tersebut, seolah-olah kelihatan tunduk menghormati jenazah Allahyarham. Perbezaan ini dikisahkan oleh Azim, menantu cucu Tuk Cai.
Kelima
Petang. Kawasan Tanah Perkuburan Kampung Bongek dibanjiri manusia bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tuk Cai. Satu keluarbiasaan yang dirasai ramai ialah ketika jenazah diturunkan ke dalam kubur dan disemadikan di liang lahat, cuaca yang panas, tiba-tiba menjadi redup. Cuaca meratapi kepergian Tuk Cai penuh redha menemui-Nya yang maha pengampun, pengasih dan penyayang. Alam bersedih pemergian seorang ulamak tersohor di luak ini. Dari tanah dia datang dan ke tanah dia kembali. Pemergian dan pengkebumikan jenazah Allahyarham satu kehilangan yang amat besar bagi umat Mohamad S.A.W di luak Rembau dan negeri ini.
     Persoalan yang timbul dalam minda kita semua ialah, harumkah jenazah kita, tundukkah tumbuhan, larikah hujan, redupkah cuaca matahari dan beribukah jemaah yang menyembahyangi jenazah kita?Tentu tidak ada jawapan pada kita semua. Jawapannya hanya ada pada-Nya.
     Mengapa? Tuk Cai menerima keluarbiasaan itu dari Allah S.W.T. Apakah bezanya Tuk Cai dengan kita?. Kelebihan dan keistimewaan Tuk Cai di sisi Allah S.W.T.  boleh dilihat dengan mata, didengar dengan telinga, diucap oleh lidah-lidah yang mengenali Tuk Cai, sebagai saudara, keluarga, sahabat, murid, kawan dan lawannya.
     Namun, mungkinkah Mohamad Ali Hanafiah juga akan mendapat keluarbiasaan seperti Allahyarham. Tentu tidak mustahil kalau sudah menjadi ketentuan-Nya. Wallahualam bissawab.
oleh: Mohamad Abd Ghani
Catat Ulasan