Ahad, 4 September 2011

Apabila Rasa Takut Menjenguk

Di Mesilau Nature Resort

Dapat juga aku kembali ke Kinabalu Pine Resort, antara resort kegemaranku.
Di belakang, Gunung Kinabalu berdiri gagah.
Lama sudah perasaan takut tidak menjengukku hinggalah peristiwa di Taman Negara Kinabalu, Sabah pada petang sambutan Hari Kemerdekaan. Setelah menghantar isteri dan dua anak ke Pusat Warisan Dunia di situ, aku yang tidak dapat meletakkan kereta di kawasan parkir kerana penuh terpaksa memandu  satu pusingan untuk kembali ke situ.
     Kira-kira 500 meter untuk sampai ke pintu masuk utama kembali, enjin keretaku mati di kawasan mendaki. Oleh kerana brek tangan tidak berapa berfungsi, aku mengundur perlahan dalam ketakutan. Lantas peristiwa kira-kira 30 minit lalu kembali. Sewaktu hampir sampai ke Nabalu, kereta yang dipandu isteri (aku memintanya berbuat demikian kerana terlalu mengantuk) terhenti di tengah jalan dan brek tangan `tidak berapa makan’. Syukur ada orang membantu.
     Setelah mengambil isteri dan anak-anak, jalan yang sama perlu dilalui dan kali ini rasa seriauku benar-benar dirangsang. Ketika hendak mendaki di tempat yang sama, dalam hujan renyai-renyai, sekali lagi kereta Toyota Avanza (gear manual) yang kami sewa mati enjinnya.
     Isteriku berkali-kali mengucap dan beristigfar. Anak-anak tenang macam biasa manakala aku bagai hilang nafas.
     Tanpa berfikir panjang, aku segera meminta isteri dan anak-anak keluar dari kereta. Kalau mati, biar aku sahaja meluncur ke belakang lalu terhumban di gaung dalam.
     Dengan izin Allah, dua kereta pacuan empat roda tiba-tiba berada di belakang lalu isteri meminta bantuan mereka. Batu besar segera disendal pada roda belakang dan aku diminta memasuk gear satu dan berlepas.
     Dalam ketakutan, sampai juga aku ke puncak berhampiran pintu masuk utama. “The first and the last,” kata isteri sewaktu tiba ke kereta dalam keadaan mencungap kerana terpaksa berjalan kaki bersama anak-anak.
     Kejadian itu tidak berakhir di situ. Dalam hujan renyai-renyai, kami terpaksa meredah jalan berliku dan berbukit untuk sampai ke Mesilau Nature Resort, tempat penginapan kami pada malam itu.
     Walaupun pernah sampai di sini pada tahun 2006 yang lalu kerana mengendalikan satu sesi latihan, ketika itu Wan (pensyarah IPG Kampus Kent) yang memandu. Aku tidak berasa apa-apa kerana leka merakam suasana indah Keningau-Mesilau.
     Isteri bagai menyumpah kerana aku memilih resort yang menjadi salah satu laluan untuk ke Gunung Kinabalu ini. Selain terpaksa membayar kira-kira RM400 semalam, kami terpaksa berjalan kaki dari tempat daftar masuk ke chalet, apatah lagi dalam hujan renyai.
     Aku terpaksa meninggalkan kereta di kawasan parkir bangunan daftar masuk kerana tidak berani lagi memandu kerana melihat jalan yang menegak tinggi. Kami menumpang kereta pacuan empat roda yang akan menuju tempat yang sama. Malam itu kami tidak makan di restoran kerana tidak mahu meredah hutan.
     Selepas maghrib, masing-masing `hilang’ di tilam. Hanya besoknya kami bagai bersetuju `memang indah dunia ciptaan Allah.’ Untuk menikmati milik-Nya, hadapilah ujian-Nya dulu.

Tiada ulasan: