Halaman

Isnin, 5 September 2011

Arba


Mungkin motosikal berkuasa tinggi seperti ini pernah dimiliki Arba

Arba. Cuma aku satu-satunya manusia yang memanggilnya dengan nama itu. Itu bukan nama sebenarnya tapi nama penanya. Dia sendiri yang pilih nama itu sewaktu asyik belajar menulis denganku kira-kira 31 tahun lalu.
     Waktu itu dia budak pejabat di Majlis Perpaduan Malaysia dan tinggal serumah denganku di Taman Clonlee, Tampin.
     Arba budak baik. Dia yang membasuh pakaianku selepas tujuh haribulan setiap bulan. Mengapa tujuh haribulan? Itulah tempoh dia berduit. Gajinya cukup satu minggu sahaja. Mungkin sebahagian besar duit gajinya, habis untuk membeli rokok. Tanda kuatnya Arba merokok, lihat sahaja giginya yang berkarat tebal.
     Sebelum tujuh haribulan, jangan suruh Arba basuh baju. Tentu dia tidak mahu. Kalau selepas tujuh haribulan dan lebih-lebihnya selepas 20 haribulan, jangankan pakaian kotor, pakaian yang masih bersih juga dibasuhnya. Janji, ada upah.
     Lama juga aku tidak berjumpa Arba sehinggalah kira-kira 15 tahun kemudian. Bagaimanapun cerita Arba, terbau juga olehku.
     Menurut empunya cerita, Arba sudah berhenti kerja. Arba sudah kaya. Arba sudah pandai pakai motosikal berkuasa tinggi dan Arba sudah pandai `simpan duit’ di Jakarta dan Medan.
     Puncanya, kawannya yang juga kawanku, bukan sahaja jadi Ahli Dewan Undangan Negeri tapi Exco Kanan. Arba turut menerima tempiasnya. Dia dilantik Setiausaha Pemuda Bahagian.
     Waktu itulah aku terlihat Arba dari jauh sewaktu lalu berhampiran Jabatan Pelajaran Negeri sebaik-baik keluar dari pintu belakang Wisma Negeri.
     Aku bagaikan mahu berteriak girang kerana bertemu rakan lama. Aku jangkakan Arba berlari menyonsong ke arahku sambil berteriak “Abang!”, panggilan manjanya terhadapku.
     Jangkaanku silap. Sebaliknya Arba berlari ke arah kereta Mitsubishi Pajero, milik Sang Exco lalu duduk di tempat pemandu. Aku segera mendekatinya dan kami hanya sempat berbual antara `orang dalam kereta’ dengan `orang luar kereta.’
     Empat lima tahun kemudian, sewaktu mantan Sang Exco mengundangku ke majlis cukur jambul cucunya, aku bertemu Arba kembali.
     Ketika itu aku lihat Arba sedang sibuk memasang khemah.
     “Terpaksalah buat kerja ini bang. Nak besarkan anak-anak.”
Catat Ulasan