Halaman

Ahad, 11 September 2011

Mengembalikan Ucapan Well Done!


"Well Done! Well Done! Well Done!," itu kata Mohamad Hasan kepadaku
 kira-kira enam tahun lalu. Malam tadi... Foto: Leong Weng Onn
Mohamad menjelaskan gagasan di Malam Tabung Amal. Foto: Abd Latif Ghonah
Mohd Ali Hasbullah (pemilik Ali One Travel & Tours) membuat kejutan
dengan tawaran tiket barakah satu tiket ke Medan. Sebelahnya Shariff
Ahmad, pengacara majlis. Foto: Abd Latif Ghonah
LAMA benar aku tidak hadir majlis Menteri Besar, Mohamad Hasan sehinggalah malam tadi di Jamuan Makan Malam Tabung Amal Kebajikan pertubuhan khairat kariahku.
     Selain `sakit tidak bernama’ lebih satu setengah tahun lalu, masa lebih kuberikan kepada urusan-urusan the day after selain sibuk mengurus bisnes yang tertinggal, mulai 1 Ramadan lalu.
     Ternyata Mohamad yang kukenal sejak kempen Pilihanraya Umum 1999 dan lebih akrab sejak hari pertama menduduki kerusi nombor satu Negeri Sembilan Darul Khusus, telah banyak jauh berubah.
     Sebelum naik ke pentas, Mohamad sempat bersalam dengan Mohd Ali Hasbullah, pemilik Ali One Travel & Tours yang duduk di meja sebelahku.
     “Bila dah salam seorang, kena salam semuanya,” katanya bercanda sambil menjabat tanganku dan beberapa tetamu yang lain sambil meluru laju ke pentas.
     “Saya tidak mahu pertubuhan sukarela bersifat eksklusif – hanya melayan ahli sedangkan ramai di sekeliling mereka memerlukan bantuan. Ini termasuk Pertubuhan Khairat Kematian,” tegasnya yang disambut dengan tepukan gemuruh khususnya dari arah belakang Dewan Sekolah Menengah Pendeta Za’ba.
     Mohamad kulihat bersungguh-sungguh menjelaskan gagasan untuk membasmi kemiskinan, tajuk yang memang kugemari sejak muda dahulu.
     “Kita mesti perjuangkan nasib proletariat. Kita jangan jadi borjouis,” kata-kata Allahyarham Malik Mohamad, rakan sebilikku sewaktu di Felda Jengka 4, lebih 30 tahun lalu bagai bertempik di telingaku.
     Malik, Setiausaha Partai Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) tapi memakai kasut Bally dan baju Arrow.
     “Saya sentiasa berusaha untuk menjadikan negeri beradat ini negeri yang akan menampung limpahan kemewahan Lembah Kelang.
     “Kadang-kadang saya berasa hairan juga apabila dituduh mencari kepentingan sebagai pemimpin negeri. Apa kesalahan yang saya lakukan?
     “Kalau mencari kepentingan diri, jawatan Pengerusi Mercedes Benz Asia Pasifik sudah lama menanti. Selain ganjaran yang lebih tinggi, saya tidak perlu pening kepala untuk menjawab tuduhan itu, ini,” katanya lagi menjelaskan kedudukan.
     “Saya sedia menerima tawaran Tun Mahathir dulu semata-mata untuk menyumbang sesuatu kepada negeri kelahiran saya.
     “Lebih utama, saya ingin membela nasib rakyat negeri ini yang sebahagiannya masih berada pada paras yang tidak sepatutnya.
     “Itulah sebabnya saya perkenalkan program Jaringan Sosial yang kini sudah dijadikan model di peringkat kebangsaan,” katanya penuh semangat bagai terlupa dia ada satu majlis lagi jam 10.00 malam sedangkan jam di dewan sekolah sudah menunjukkan angka 10.35 malam.
     Aku yang turut berada di meja hadapan dan paling dekat dengan laluan naik-turun ke pentas, bagai dapat menyelam jelas nubarinya. Tiba-tiba tertancap cetusan, “Sayang! Ramai pemimpin baik ranap baiknya, bukan kerana kesalahannya tapi kerana orang rapat di sekelilingnya.”
     Sewaktu turun dari pentas, aku orang pertama menyambutnya lalu menjabat erat tangannya.
     “Well Done Dato’!,” aku memulangkan kembali kata yang diucapkan kepadaku kira-kira enam tahun lalu sebelum beredar meninggalkan majlis Malam Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005. Aku pengacara majlis dan penerbit video klip malam berkenaan.
     Bagaimanapun aku pasti Mohamad tidak mendengar kata-kataku. Kata-kata itu berada di kalbu.
Catat Ulasan