Ahad, 11 September 2011

Majlis Tahlil, Berdua Sahaja



Haji Arifin Ab. Aziz (dua dari kanan) bersama sebahagian Jawatankuasa
Persembahan Malam Amal mengabadi kenangan dengan Kumpulan
Interactsee, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
SETELAH diminta menyerahkan laporan kewangan dan hasil keuntungan kepada bendahari sahaja oleh Pengerusi Jawatankuasa Persembahan Malam Tabung Amal Jariah, Pertubuhan Khairat dan Kebajikan Kariah Paroi Jaya, Haji Zain Rais, aku terus menuju rumah Haji Arifin Ab. Aziz di Jalan Kedidi 2.
     Aku disambut ceria oleh Haji Arifin, pesara Pos Malaysia. Sambil menjamah kuih raya, aku membentangkan laporan satu halaman itu.
     “Kami dapat mengutip RM4,650.00 hasil jualan ruang iklan di buku program dan sepanduk ucapan Selamat Hari Raya kepada peniaga,” kataku.
     “Tak kisah! Tak kisah! Saya terima sahaja,” kata Haji Arifin berbasa-basi.
     “Saya perlu jelaskan kedudukan. Ini duit,” kataku meredakan keadaan.
     “Alaaah! Takkan saya tidak percayakan Tuan Haji,” jawabnya pula.
     “Saya perlu jelaskan kerana Tuan Haji tidak ada dalam perbincangan awal di Restoran Rabena. Ketika itu saya jelaskan anggaran kos cetakan buku program itu sekitar RM4.50 senaskhah. Kini kami tuntut RM3.90 sahaja,” tambahku.
     “Eloklah tu. Lagi murah,” tingkahnya.
     “Lihat laporan ini. Wang masuk RM4,650. Wang keluar iaitu upah cetak buku dan sepanduk RM4,500. Jadi untungnya cuma RM150.00.”
     Haji Arifin aku lihat terdiam seketika dan berlaku sedikit perubahan di wajahnya.
     Petang semalam, sewaktu aku menyerahkan dua keping cek bernilai RM500 sumbangan iklan, Haji Arifin tidak menggantikan dengan wang tunai seperti sebelumnya.
     “Ambil tunai ini sebagai ganti cek. Kami mahu menyenangkan Tuan Haji bekerja,” katanya ketika itu.
     Mungkin kerana kesibukan menjelang malam jamuan, Haji Arifin cuma sempat berkata, “nanti kontra sahajalah,” sambil berlalu pergi.
     Melihat Haji Arifin yang terdiam, aku segera menyambung penerangan.
     “Kalau mengikut persetujuan mesyuarat, kedua-dua pihak akan berkongsi keuntungan setelah ditolak kos cetakan. Jadi, masing-masing dapat RM75 sekarang,” kataku.
     Sambil menunggu reaksi Haji Arifin yang masih leka memandang kertas laporan, aku segera terbayang wajah Nazir Masjid yang menjadi Pengerusi Malam Tabung Amanah yang menyebut dalam mesyuarat, “Berikan resit pertubuhan kepada pihak yang hendak mencari iklan ini. Macam-macam boleh berlaku,” katanya bagai memperkecilkan kejujuran kami.
     “Jangan risau Tuan Haji,” kataku kepada Haji Arifin kembali.
     “Lihat Nota 2: Walaupun masing-masing cuma mendapat RM75 setiap pihak, Storyteller Production Sdn Bhd menggenapkan RM500 sebagai jariah kami kepada pertubuhan.”
     “Selain pertubuhan mendapat buku program bernilai RM3,900, Tuan Haji tidak perlu memberikan saya tunai cek RM500 itu,” kataku.
     “Kontra sahaja.”
     Tiba-tiba sahaja wajah Haji Arifin berubah ceria kembali.
     “Siapa nama aruah ayah dan emak Tuan Haji? Mari kita sama-sama membaca tahlil kepada mereka.”
     “Minta maaf! Kedua-dua emak dan abah saya masih ada.”
     “Maaf! Maaf! Maaf!,” Haji Arifin memelukku lalu kami berdua bertahlil untuk kedua-dua ibu dan bapa mentuaku dan ayah Shariff Ahmad yang meninggal dunia, kelmarin.

Tiada ulasan: