Selasa, 24 September 2013

Q… Ada Rahsia Pada Mata Redupmu

Q `hadir' dalam foto ini. Siapakah Q, biarlah menjadi rahsia antara dia dan saya.
Sama seperti bekas muridku, Faridah Saad sewaktu di Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 4, Maran, Pahang dahulu, Q yang kutemui di majlis temukembali bekas murid Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Besar Tampin kelmarin, turut membawa cerita yang hampir sama, cuma watak berbeza.
    Lama sudah aku cuba mengesan Q. Berbanding dengan rakan-rakan sezamannya yang lain seperti Norlaila Pilus, Aslina Kamila, Abdul Halim Abdul Hamid, Ratu Memeng dan lain-lain, Q tidak pernah kulihat lalu di ruang FB melalui ulasan dan komen.
    Keinginan untuk melihat perkembangan semasanya semakin meninggi sewaktu melihat keletah bekas murid-muridku yang begitu ceria melayani pertemuan selepas lebih 30 tahun lalu itu.
    Sambil menyuap lemang dan rendang, aku memerhatikan seluruh ruang dewan besar Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin (TBS) itu.
    Lotfi yang mengacarakan majlis, masih seperti dahulu – ceria dan gila-gila. Sesekali dia singgah di meja, “OK tak Cikgu?,” meminta reaksi. OKlah tu. Be yourself,” aku menyaran petua.
    Oleh kerana kehadiranku lewat hampir sejam kerana pada sebelah paginya turut mengendalikan sukan sekolah anak bongsuku, Siti Adibah di Sekolah Kebangsaan KGV, Ampangan yang berlanjutan hampir hingga jam satu, pengumuman Lotfi terasa terlalu awal.
    “Beberapa guru dan rakan kita terpaksa balik awal. Jadi mari kita ambil gambar beramai-ramai dahulu. Cikgu Zul tolong bantu saya,” pinta Lotfi manja.
    Seperti biasa, aku melepaskan `beberapa tembakan’ melalui lensa Canon EOS 400Dku dan turut merakam peristiwa melalui lensa Nikon milik Joseph Gomez, Izza Noreeza dan kamera beberapa murid yang lain.
    Sewaktu mereka turun dari pentas selepas bergambar, mataku tertumpu pada wajah yang sudah lama kucari. Benar. Hajatku dimakbulkan Allah, Sang Pencipta.
    Memang begitu dahulu, Q melangkah perlahan dan berhemah lalu berjalan menuju meja hadapan. Aku yang berada berhampiran segera menghampiri.
    “Q bukan?,” aku bagai tidak sabar untuk mengesahkan.
    “Ia Cikgu. Sayalah Q,” tuturnya perlahan sambil menundukkan muka, bagai malu bertentang mata.
    “Lama sudah Cikgu mengesan Q. Kawan-kawan you yang lain selalu berinteraksi di FB. Q tidak ada akaun FB ke?”
    “Tidak ada Cikgu,” katanya perlahan, jujur. Mata redupnya menunduk.
    “Itu sebabnya apabila Cikgu buat `search’ tiada nama Q.”
    “Maafkan saya Cikgu,” Q bagai murid Tahun 6 lebih 30 tahun lalu.
    Sewaktu catatan ini ditulis, ternyata Q sudah mempunyai akaun FB tapi cuma memiliki empat rakan, itupun rakan sekelasnya. Pada About dia cuma memilih Female dan foto profil yang bukannya foto dirinya. Tiada satu fotopun dalam profilnya.
    Sewaktu menyemak sejarah akaunnya, tercatat tarikh Februari 23, 2009 tetapi Timelinenya kosong.
    Muzik yang bising benar-benar mengganggu perbualan kami dan kerana itu Q mohon beredar ke tempat duduknya.
    “Q sudah kahwin?,”
    “Sudah Cikgu,” lalu matanya dilempar jauh.
    Entah kenapa kesayuan tiba-tiba menerpa. Mata redup Q bagai mengundang simpati.
    Segera tertancap di mataku Q yang tinggi nilai gadis timurnya itu menguruskan rakan sebaya penuh berhemah. Sebagai salah seorang pengawas, kepemimpinannya terserlah.
    Tutur katanya sopan. Gerak badannya tulus dan mulus. Senyumannya manis.
    “Aaaah! Di mana hilang semuanya itu?”
    Mata redup Q mengundang pertanyaan..
    “Tidak bahagiakah kehidupan berkeluarga Q?”
    “Hei! Kau cuma bekas gurunya. Kau sudah berfikir terlalu jauh,” mindaku sendiri bertanya kepada kalbuku.
    Ternyata kalbuku betul.
    Sewaktu bangun pagi keesokan harinya, dalam kotak mesej `smartphone’ku tercatat, “Assalamu’alaikum wmwb, cikgu Zul yg dihormati, maafkan saya, tadi saya tidak berjaya jumpa cikgu dahulu sebelum balik. Terima kasih cikgu di atas segalanya. I’Allah, semoga kita semua bertemu lagi di masa & keadaan yg lebih baik. Drpd: Q”
    Sewaktu menyemak masa mesej itu dihantar, aku terlihat angka 17:43 lantas wajah suram bertudung itu mengundang 101 rahsia.

Tiada ulasan: