Halaman

Khamis, 19 September 2013

Adakah Itu Cinta?

Ini bukan Khadijah tapi Anim, PA Pengarah
yang aku `pinjam' sewaktu diberi kepercayaan sebagai
Pemangku Pengarah IPG Kampus Raja Melewar
buat beberapa hari sebelum bersara.
Tumbesaran tubuhku agak lambat dulu. Sewaktu di tingkatan empat di Sekolah Menengah Dato’ Mohd Said, Nilai pada tahun 1969, ketinggianku cuma 4 kaki 11 inci. Oleh itu adalah tidak menghairankan, Rakib salah seorang pelajar mengulang sewaktu di Tingkatan Lima gemar sangat membuliku ketika itu.
    Kesannya cukup besar. Self-esteemku cukup rendah. Untunglah pencapaian cemerlangku dengan kedudukan top three dari darjah satu hingga tingkatan lima menjadi pengimbang.
    Menyebut pasal cinta, aku tidak ingat sangat bagaimana mulanya aku berkenalan dengan istilah itu. Apa yang pasti, ia cukup lambat berlaku.
    Di sekolah menengah aku tidak mengenalinya. Begitu juga di maktab perguruan. Sewaktu di tahun satu, aku menjadi pelajar termuda kerana aku lahir di hujung tahun.
    Sewaktu aku di tahun dua pula, Bahagian Latihan Guru ketika itu membuat dasar baru mengambil pelajar yang tercicir dari pantai timur untuk diberi latihan mengisi kekosongan. Maknanya, walaupun mereka juniorku tapi umur mereka lebih tinggi.
    Sekali lagi aku tidak berpeluang untuk bercinta. Bagaimana hendak bercinta sedangkan mereka membahasakan diri mereka sebagai kakak belaka?
    Apabila sudah bergelar guru terlatih, aku dihantar pula ke Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 4, Pahang. Waktu itu petempatan Felda ini baru dibuka. Jadi, anak-anak peneroka ini semuanya masih bersekolah. Kalau dapat melihat anak dara orang, cuma sesekali iaitu sewaktu ada sanak-saudara peneroka yang bertandang.
    Biasanya mereka ditemui samar-samar sewaktu menonton wayang pacak. Sekali lagi fitrah semulajadi lelakiku untuk bercinta terhalang.
    Hanya menjelang akhir tahun di situ, aku menemui Khadijah. Itupun dalam suasana malu-malu. Aku menemuinya sebagai pelajar tingkatan lima, salah sebuah sekolah agama di Melaka di Zoo Negara sewaktu membawa rombongan sekolah.
    Kami sering berutus surat selepas itu. Aku rasa hubungan kami ada chemistry. Khadijah aku senangi kerana sifat innocentnya. Tugasnya menghalau burung di sawah juga turut dijadikan bahan suratnya.
    Menyebut pasal surat, kami guru yang masih muda – Latif dan Baijuri - mempelajarinya daripada Cikgu Malik. Guru yang berasal dari Pekan ini telah berusia tetapi masih belum berkahwin. Dia cukup dikenali di Kuantan sebagai pengarah teater disegani. Apatah lagi, dia juga Setiausaha Parti Sosialis Rakyat Malaysia, Pahang.
    Cikgu Maliklah yang banyak memberi tip bagaimana menghasilkan surat yang pasti dibalas.
     “Apa yang penting bahasa mesti puitis. Pilih perkataan yang benar-benar boleh menusuk kalbu.
    “Perempuan pasti akan resah. Dia pasti tak boleh makan dan tak boleh minum selagi belum menjawab surat kau,” katanya bersungguh-sungguh yang diikuti derai ketawa ala Koesno Soejarwadi, pelakon Indonesia pujaanku ketika itu.
    Sehingga kini aku tidak pasti – tip Cikgu Malikkah yang membuatkan Khadijah resah atau kehebatan bahasaku sendiri. Aku ingin bertanya kepada Khadijah tetapi kini dia telahpun menjadi nenek tiga orang cucu.
Catat Ulasan