Halaman

Rabu, 4 September 2013

Hadiah Hari Kemerdekaan 3

Wanita Cina itu kembali menemui kami kira-kira 10 minit kemudian. Dia memperjelaskan beberapa syarat baharu yang telah dibincang dan dipersetujui bersama dengan manager syarikat yang kononnya berada di ibu pejabat syarikat.
     Antara syarat-syarat baru yang diperjelaskannya ialah:
·      Isteriku perlu melengkapkan dan menandatangani borang persetujuan sama seperti yang telah ditunjukkan dalam perbincangan sesi pertama.
·      Wang tunai sebanyak RM4,000 masih perlu diserahkan (untuk sementara sahaja) untuk diambil/disalin nombor-nombor sirinya. Wang itu akan dikembali setelah urusan itu selesai. Namun, wang tersebut mesti dijelaskan semula apabila 'hadiah hari kemerdekaan' sudah sampai ke tangan kami.
·      Semua nombor siri berkenaan akan dimaklumkan kepada manager  terlebih dahulu. Selepas mendapatkan 'lampu hijau',  barulah urusan scanning (untuk menentukan hadiah kemenangan) boleh dilakukan.
·      Jika hadiah yang dimenangi merupakan wang tunai, maka sejumlah RM4,000 akan dipotong terus dan bakinya sahaja yang akan diberikan.
     Walau bagaimanapun, syarat-syarat berkenaan tidak aku endahkan. Aku tetap dengan pendirianku untuk tidak menyerahkan RM4,000 walau apapun yang akan terjadi. Aku yakin seyakin-yakinnya bahawa agenda tersembunyi mereka ialah untuk menipu. Semua yang dilakukan oleh wanita Cina itu adalah muslihat semata-mata. Muslihat yang dirancangnya untuk mendapatkan RM4,000 daripada isteriku.
     Namun, disebabkan oleh naluri ingin tahu, aku telah melakukan kesilapan dengan melayan dan bersedia meneruskan perbincangan. Niat dan tujuanku sebenarnya adalah untuk mengetahui bagaimana muslihat itu dipraktikkan dan apakah teknologi yang mereka gunakan dalam proses penipuan tersebut.
     Justeru itu di suatu ketika, telah terkeluar suatu permintaan daripada mulutku. "Macamana kalau itu wang saya sendiri yang pegang. Itu serial number saya bacakan and you tulislah. Bolehkah buat itu macam?"
      "Ok.. ok.., no problem. You boleh bacakan and my assistant will help you to write the numbers", dengan pantas Si Nyonya memberi persetujuan.  Dia kelihatan gembira setelah menerima cadangan yang aku kemukakan.
     Ekoran daripada persetujuan yang dicapai, aku dan isteri pergi ke mesin ATM yang berdekatan untuk mengeluarkan wang. Isteriku mengeluarkan RM2,000 dan bakinya daripada simpanan aku sendiri. Pemergian kami itu turut ditemani oleh Si Amoi. Mungkin dia ditugaskan untuk memastikan supaya kami kembali semula ke pangkuan mereka untuk proses penipuan yang seterusnya.
     Di dalam perjalanan pulang, aku sempat membisikkan beberapa perkara ke telinga isteriku. "Jangan bimbang, duit tu abang yang pegang. Abang takkan bagi dia pegang. Abang yang akan bacakan nombor siri tu, biar dia yang tulis. Atau kita tuliskan sendiri. Abang cuma nak ... bla bla bla...., bla bla bla.....". Seperti biasa, isteriku tetap bersetuju dengan apa yang aku rencanakan.
     Dipendekkan cerita, kamipun kembali berdepan dengan Si Nyonya dalam siri pertemuan yang ketiga dan yang terakhir. Dia masih berada di tempat duduknya semasa kami sampai. Di sebelah kanannya, duduk si pembantu yang telah bersedia dengan pen dan kertas.
     Apa yang terjadi ketika itu, sebenarnya tidak sama seperti yang aku harap-harapkan. Wanita Cina itu telah melambat-lambat urusan pembacaan dan penulisan nombor siri wang RM4,000.  Sebaliknya dia cuba melambat-lambatkannya dengan memutar-belitkan percakapan, memujuk dan pelbagai cara lain untuk mempengaruhi aku. Muslihatnya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mendapatkan wang tunai RM4,000.
     "Encik Said, why not you give the money to my assistant? Biar dia yang tulis. I think it's the better way to save time. Biar dia tulis. In the same time, kita boleh buat scanning. Tentu lebih cepat siap. Believe us lah. We'll give back the money". Demikian serba sedikit kata-kata manisnya untuk mempengaruhi aku.
     Entah di mana silapnya dan entah apa puncanya, secara tiba-tiba aku telah bersetuju dengan pandangannya.  Mindaku telah diracuni dengan pujuk rayu dan jiwaku telah tercemar oleh naluri untuk cepat tahu, cepat siap, cepat dapat dan cepat pulang ke rumah.
     Sementelahan pula, kami memang sudah lama berurusan di situ. Di samping itu, secara kebetulan aku memang ada urusan lain yang belum diselesaikan. Jadi, pada pemikiranku, soal RM4,000 itu tidak perlu dibimbangkan sangat. Wang itu pasti dikembalikan seperti yang dijanjikan.
     Begitulah perubahan mendadak yang telah berlaku dalam diriku. Kesannya, secara sedar aku telah menyerahkan RM4,000 kepada Si Pembantu. Apa lagi, tersenyum lebarlah si malaun berdua tu.
     "Thank for your trust. Bla bla bla...., bla bla bla... ". Demikian beberapa kata-kata manis yang ucapkan oleh Si ibu Malaun sebaik saja RM4,000 aku serahkan.   Kemudian dia terus menelefon seseorang dan bercakap dalam bahasa Cina yang tidak aku fahami.
     Selepas selesai perbualannya itu, dia mengeluarkan sebuah alat berbentuk seperti kanta pembesar. Alat  itu diletakkan di atas bulatan merah yang terdapat di dalam kad cabutan. Kemudian dia meminta aku melihat apa yang kelihatan di bawah kanta tersebut. Aku berdiri dan memandang ke arah objek yang ditunjukkan. "Do you see anything Encik Said? Aku menggelengkan kepala kerana memang tiada apa yang kelihatan ketika itu kecuali bulatan berwarna merah yang sedia ada.
     Seterusnya dia menyuruh aku memusingkan permukaan kanta itu mengikut pusingan jam serta memerhatikan apa perubahan yang akan berlaku.
     Aku turuti kehendaknya. Permukaan kanta itu aku pusingkan perlahan-lahan dengan jari telunjukku. Pusingannya mengikut arah pusingan jam. Beberapa saat kemudian aku dapati warna merah (yang jelas kelihatan sebelumnya), beransur-ansur bertukar menjadi kabur dan akhirnya tidak lagi kelihatan. Sebaliknya suatu objek baru yang berbentuk seperti nombor mula beransur-ansur keluar. Dan nombor yang pertama menjelma hasil scanning yang aku lakukan itu ialah nombor 1 (satu).
     Ketika itu segala kegembiraan dan keterujaan yang ada dalam diriku, terus lenyap. Sebaliknya hati mula gelisah dan debaran jantungku terasa semakin laju. Aku bimbang nombor seterusnya ialah nombor '1' dan kombinasi kedua-dua nombor itu nanti akan  membentuk nombor '11' (sebelas). Dan hadiah bernombor 11 adalah sebuah tilam getah yang tidak berkualiti.
     Jangkaan aku memang tepat. Nombor kedua yang muncul adalah nombor 1. Maka dengan itu confirmlah bahawa isteriku telah memenangi hadiah yang memang telah dijangkakan terlebih dahulu dan hadiah yang memang tidak aku ingini.
     Aku terpaku sebentar. Emosiku benar-benar terganggu. Perasaan bimbang, geram dan marah muncul silih berganti. Ternyata aku dan isteriku telah tertipu. Dan wang RM4,000 sudah beralih ke tangan mereka.
     Di saat fikiran aku bercelaru, keadaan sebaliknya berlaku di pihak Si Nyonya dan pembantunya. Mereka bersorak keriangan di atas kejayaan kami menggondol sebuah tilam kesihatan yang tidak berkualiti.
     "Congratulations Encik Said!  Tahniah puan!  You all sudah dapat... bla bla bla..., bla bla bla..." Ucapan tahniah dan  kata-kata manis yang kedengaran itu sebenarnya semakin meracuni perasaanku. Hatiku semakin sakit dan kesabaranku semakin tercabar. Api kemarahannku semakin marak dan semakin sukar untuk dibendung.
     Akhirnya aku melenting. "Ini semua tipu! Saya tahu ini product memang tak baik punya. Tak ada kualiti. Saya tak mahu ini product. Pulangkan saya punya wang". Demikian reaksi garang yang pertama aku tunjukkan.
     "Siapa tipu? Actually you yang tipu! You sudah janji, sudah sign agreement. So, siapa tipu? I'll sue you in court... bla bla bla..., bla bla bla…". Demikian secara spontan wanita itu membalas. Dia juga menunjukkan aksi garang dan bengis seperti yang aku lakukan.
     Sebaik saja pertengkaran bermula, Si Pembantu terus bangun dan melarikan dirinya ke satu sudut yang berjauhan sedikit. Dia membawa kesemua wang RM4,000 bersama dan kemudian menyembunyikan wang tersebut ke dalam poket seluar jeans yang dipakainya.
     Isteriku yang banyak berdiam diri sebelum itu, bingkas membantu. Dia turut memaki dan menghamun wanita Cina itu dengan pelbagai bahasa kasar dan kesat. Mereka berdua pula bertarung bersenjatakan bahasa-bahasa kasar, kesat, menyumpah dan sesekali mencarut.
     Kesempatan itu aku gunakan untuk menelefon anak lelakiku tetapi tidak berjawab. Kemudian aku cuba pula membuat panggilan ke telefon bimbit menantu lelakiku, juga tidak diangkat. Aku kehilangan arah. Bantuan yang aku harapkan tidak kesampaian.
     Akhirnya aku tiada pilihan. Namun, wang RM4,000 mesti aku dapatkan kembali dengan apa cara sekalipun.  Meskipun aku terpaksa melakukan kekasaran, aku tak peduli.
     Berbekalkan azam dan tekad serta perasaan geram yang berkobar-kabar, aku bergerak pantas ke destinasi. Si Amoi aku hampiri dan aku jeritkan sekuat-kuat hati.
     "Pulangkan! Bagi saya punya wang! Pulangkan!". Jeritanku kuat sekali seolah-olah dilakukan oleh orang yang sudah hilang kawalan kendiri. Implikasinya Si Amoi kelihatan ketakutan. Meskipun kelihatan dalam ketakutan, namun dia tetap enggan menyerahkan RM4,000 kembali.
     Aku buntu seketika. Mindaku berkecamuk memikirkan sama ada mahu meneruskan dengan tindakan yang lebih ganas atau menggunakan pendekatan yang lebih rasional dan berdiplomasi.
     Dalam suasana kebuntuan itu, tiba-tiba bos Si Amoi bersuara ke arahku dan menawarkan suatu penyelesaian. "Calm down! Calm down Encik Said!  Mari  kita bincang. Sit down please. Kita bincang ok! Let's settle this problem nicely".
     Aku tiada pilihan lain pada ketika itu melainkan menerima saja tawaran yang diajukan. Justeru itu,   aku kembali ke tempat duduk untuk meneruskan perbincangan demi mencari peyelesaian secara baik.
     Sebelum sempat kami berdialog, tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Panggilan itu datangnya daripada anak lelakiku yang gagal aku hubungi sebentar tadi. Tanpa membuang masa aku bertindak pantas dengan melapor segala kejadian yang berlaku dan meminta pertolongannya secepat mungkin.
     "Ayah ada masalah ni. Ada orang nak tipu ayah. Kau pergi balai buat repot polis cepat. Bawa polis sekali datang ke sini. Sekarang ayah ada di tingkat atas sekali bangunan kedai 3 tingkat di Taman Permaisuri. Tempat tu betul-betul di sebelah kedai sate yang kita selalu pergi makan tu".
     Demikian kata-kataku yang bertali arus tanpa mempedulikan respon daripada anakku. Aku mahukan anakku segera bertindak seperti yang aku arahkan.  Selain daripada itu, aku juga bertujuan untuk menakut-nakutkan si malaun yang berada di depanku.
     Nasib terus menyebelahi aku kerana tidak lama selepas panggilan yang pertama, panggilan kedua pula menyusul. Kali ini datangnya daripada menantuku yang juga gagal aku hubungi sebentar tadi.
     Dengan kaedah yang sama, aku menyatakan masalah yang sedang aku hadapi dan dalam masa yang sama, aku meminta dia membawa polis secepat mungkin ke lokasi yang aku nyatakan.
     Taktik dan lakonan spontan yang aku lakukan itu rupa-rupa amat berkesan dan telah berjaya menakut-nakutkan wanita berkenaan. Dia terus menyatakan sesuatu kepada pembantunya dalam keadaan cemas. Antara perkataan yang dapat aku dengar dan fahami ialah dia menyebut perkataan 'Polis!, Polis!' dengan wajah-wajah ketakutan.  Dan selepas itu dia bergegas keluar dari bilik perbincangan.
     Si Amoi juga membuat tindakan yang sama. Dia bergegas keluar dari bilik perbincangan sambil melemparkan wang RM4,000.  Wang itu bertaburan di atas meja, kerusi dan lantai di hadapanku.
     Sepantas kilat kami mengutip kesemua wang yang berselerakan itu dan menyumbatkannya ke dalam poket baju, poket seluar dan beg tangan isteriku. Kemudian sepantas kilat juga kami meninggalkan bilik berkenaan.
     Di luar bilik perbincangan, kelihatan wanita Cina itu berdiri sambil memegang telefon. Apabila melihat kami melintas dia terus menjeritkan kata-kata provokasi seperti, Babi Melayu! Penipu! ... bla bla bla..., bla bla bla...'.
     Aku tidak memberi apa-apa respon terhadap jeritan malaun itu kerana matlamat utamaku ketika itu ialah untuk meninggalkan tempat 'berpuaka' itu secepat mungkin.
     Berlainan pula dengan sikap dan tindakan isteriku. Dia kelihatan tercabar dengan  provokasi yang didengarnya dan lantas melakukan perbuatan yang sama. Dia turut menjerit, 'Lu babi! Lu Cina babi! Cina penipu!' Demikian isteriku melepaskan geramnya yang mungkin tidak sempat dihabiskan sewaktu mereka bertengkar.
     Menyedari perbuatan isteriku itu mungkin boleh mengundang  bahaya, maka aku menasihatkannya supaya berhenti dan cepat-cepat meningggalkan tempat berbahaya itu bersama-sama denganku. Seperti biasa isteriku tidak membantah nasihat daripada suaminya yang tersayang.

     Aku bersyukur kerana selamat sampai ke bawah tanpa sebarang masalah. Aku juga bersyukur kerana  tidak dipersalahkan oleh isteriku walaupun peristiwa itu sebenarnya memang berpunca daripada kemahuan, sikap buruk dan kesilapanku sendiri. Dan aku juga tersangat bersyukur kerana peristiwa getir untuk mendapatkan 'hadiah hari kemerdekaan' itu telah membuktikan bahawa isteriku memang taat, setia dan sayang padaku.
Oleh: Md Said Bidin
Catat Ulasan