Halaman

Ahad, 1 September 2013

“Puas Hati, Cikgu?”




Saya berkhidmat dalam bidang pendidikan selama 32 tahun dan 20 tahun daripadanya dalam pendidikan perguruan. Sepanjang perkhidmatan di bawah bumbung pendidikan guru atau  Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia saya berada di bawah tujuh orang pengarah atau pengetua di Maktab Perguruan Perempuan Melayu, Melaka.
     Sepanjang tempoh tersebut, saya  berketuakan Kamariah, Kalthum, Othman, Habsah, Hamidah, Rahimah dan Soleha. Paling lama bersama Kamariah, Hamidah dan Kalsom.  Saya amat puas hati dengan semua ‘bos’ tersebut. Mereka ada gaya sendiri dalam pendekatan pentadbiran.
     Yang paling banyak meninggalkan kesan profesional pada saya ialah zaman Allahyarhamah Kalthum Mohamad. Walaupun zaman itu agak ‘tension’ atau terkawal, namun saya rasa seronok dan meninggalkan kesan yang positif dalam perkhidmatan.
     Puan Kalthum terkenal dengan pencerapan klinikal, ketepatan waktu, galakan membaca ilmiah dan sebagainya. Saya amat puas hati dengan semua  pendekatan serius yang diamalkannya.
     Tapi, pada saya, yang luar biasa dan berbeza dengan semua ketua yang lain ialah soalan, “Puas hati cikgu?” Jawapannya,  sama ada “Puas hati, Puan,” atau tiada jawapan. Dan tidak ada seorangpun yang member  jawapan, “Tak puas hati Puan.”
     “Hari ini giliran pensyarah Jabatan Pengajian Melayu,” ingat pembantu tadbir Pengetua kepada kami pada suatu hari.
     Semua 16 pensyarah Jabatan Pengajian Melayu (JPM) mengikut giliran masing-masing mengadap Pengetua, Kalthum Mohamad di pejabatnya dengan pelbagai persediaan. Kami khuatir pelbagai soalan akademik dan profesional  akan dikemukakan.
     Tiba giliran saya, saya membaca al-Fatihah tiga kali dan mohon kepada-Nya agar tidak ada soalan dikemukakan kepada saya. Saya ketuk pintu dan masuk, lantas memberi salam.
     “Assalamualaikum,”  seru saya.
     “Waalaikumussalam,” jawab Pengetua dengan serius.
     “Duduk, cikgu,” suruh Kalthum dan seterusnya menghulurkan borang laporan prestasi tahunan, yang telah dikemukakan kepada ketua jabatan lebih sebulan sebelumnya.
     “Cuba cikgu, teliti, dan beri komen,” pinta Puan Kalthum lagi.
     Saya hanya membaca seimbas lalu sahaja. Tumpuan hanya kepada jumlah markah yang diberikan 87 dan tidak membaca sebarang komen yang tercatat di dalamnya.  Kemudian menoleh kepadanya sebagai tanda telah membacanya.
     “Puas hati, cikgu?,” tanya Puan  Kalthum serius, sambil memandang tepat ke  arah saya. Walaupun hati memberontak  tetapi terpaksa menelan sahaja soalan, “Mengapa hanya 87 sahaja?”
     “Puas hati, terima kasih puan,” jawab saya ringkas.
     Saya kembalikan borang tersebut. Pengetua menerimanya tanpa berkata apa-apa. Allah  swt  makbulkan doa saya. Pengetua tidak menyoal atau memberi sebarang komen seperti beberapa orang kawan sebelumnya.
Inilah satu-satunya  kelainan yang saya temui sepanjang perkhidmatan saya. Kelainan yang menepati kehendak pentadbiran yang jarang-jarang dilaksanakan oleh ketua jabatan. 

Oleh: Mohammad Abd Ghani
Catat Ulasan