Isnin, 2 September 2013

Hadiah Hari Kemerdekaan II

Apabila sampai ke bangunan yang dimaksudkan, kami bertiga terus berjalan menaiki tangga menuju ke tingkat paling atas di mana bos sedang menunggu. Ketibaan kami disambut dengan mesra oleh seorang wanita Cina dalam lingkungan umur 40-an. Rupa-rupanya nyonya itulah sebenarnya bos yang dimaksudkan.
    "Sila duduk encik, sila duduk puan," dia mempersilakan kami berdua duduk berhadapan dengan kerusi yang dia duduki. Maka kamipun duduk di kerusi yang disediakan, manakala si amoi yang membawa kami ke situ, terus beredar ke tempat lain yang tidak kami ketahui.
    Sebelum memulakan perbualan, nyonya itu meminta kad cabutan yang masih aku pegang, kononnya untuk membuat  pengesahan. Selepas membelek-beleknya buat seketika, diapun memulakan perbualan.  
    "Tahniah puan!  Puan telah memilih kad yang betul. And you're eligible to... bla bla bla...,   bla bla bla..."
    Demikianlah sebahagian daripada percakapan wanita itu di peringkat permulaan. Dia banyak menyentuh  soal kemenangan kami dan memberi menjelasan berkaitan hadiah lumayan yang bakal kami menangi. Dia mengguna Bahasa Melayu pelat kecinaan dan sering dicampuradukkan dengan bahasa Inggeris.
    Menurut wanita berkenaan, banyak hadiah lumayan sedang menanti kami. Semua hadiah tersebut merupakan hadiah untuk Hari Kemerdekaan dan skema itu disediakan oleh sebuah syarikat tempatan. Kononnya dengan skema seperti itu, akan melayakkan syarikat berkenaan mendapatkan potongan cukai perniagaan yang dikenakan oleh pihak berkuasa di Malaysia di samping untuk mempromosikan produk-produk keluaran syarikat berkenaan.
    Untuk mendapatkan salah satu daripada 'hadiah hari kemerdekaan' itu, isteriku di kehendaki menandatangani satu borang persetujuan. Antara persetujuan yang diprasyaratkan adalah seperti berikut:
·       Isteriku bersetuju menjadi sebagai 'duta promosi' untuk syarikatnya. Gambar isteriku (dengan pasangan) akan disiarkan dalam sebuah akhbar dan majalah tempatan.
·       Bersetuju membayar wang tunai berjumlah RM4,000 untuk kos promosi dan penyiaran di dalam sebuah akhbar dan majalah yang berkenaan.
·       Bersetuju menerima apa saja hadiah yang telah dipilih dan tidak akan menukar atau memulangkan hadiah yang berkenaan.
    Dengan syarat-syarat yang dikenakan itu (terutamanya syarat yg ke-2), hatiku semakin yakin bahawa kami sedang berdepan dengan satu penipuan. Ya, penipuan secara halus sedang dilakukan oleh seorang wanita Cina yang mengumpan kami dengan 'hadiah hari kemerdekaan' yang dikatakan sangat lumayan.
    Aku dapat merasakan bahawa motif dan matlamat sebenarnya adalah untuk mendapatkan wang RM4,000 daripada isteriku. Untuk mencapai tujuan tersebut, dia menggunakan strategi yang dirancang iaitu melalui penggunaan kad cabutan dan seterusnya menyediakan hadiah misteri iaitu 'hadiah hari kemerdekaan'.
    Realitinya, 'hadiah hari kemerdekaan' itu sebenarnya tidak wujud. Hadiah itu  sengaja diada-adakan untuk mengelabukan mata dan fikiran kami dan seterusnya dengan senang hati kami menyerahkan RM4,000 sebagai pertukaran untuk mendapatkan 'hadiah hari kemerdekaan' yang jauh lebih baik dan berlipat kali ganda nilainya.
    Sebelum itu, dia telah memaklumkan bahawa isteriku telahpun mendapat tiga set hadiah yang bernilai lebih daripada RM5,000. Hadiah-hadiah tersebut berupa satu set pinggan mangkuk, satu set peralatan memasak dan sebuah dapur eletrik.
    Hatiku sebenarnya mula berdetik dan mula berasa curiga apabila berpeluang melihat ketiga-tiga set hadiah  berkenaan. Berpandukan sedikit pengalaman yang sedia ada dan pemerhatian secara bijaksana, maka aku membuat kesimpulan  bahawa barangan hadiah tersebut adalah tidak berkualiti dan harganya yang dikatakan melebihi RM5,000 adalah tidak masuk akal sama sekali.
    Walau bagaimanapun, kecurigaan yang bermain di fikiranku itu tidak aku zahirkan di depan nyonya berkenaan. Aku sengaja mahu melihat bagaimana kelicikannya  membuat kerja-kerja menipu dan yang keduanya, aku masih teruja dan menyimpan hasrat untuk mengetahui apa sebenarnya 'hadiah hari kemerdekaan' itu dan bagaimana atau apakah kaedah yang digunakan untuk kerja-kerja penipuan tersebut?
    Dengan niat dan tujuan seperti itu, aku terus berinteraksi dengan si nyonya manakala isteriku lebih banyak mendiamkan diri.      
    Pada suatu ketika, aku membangkitkan soal mengapa wang RM4,000 yang perlu dibayar  terlebih dahulu sedangkan pada kebiasaannya hadiah adalah diberi secara percuma. Mengapa 'hadiah kemerdekaan' tak mungkin kami perolehi tanpa bayaran RM4,000. Seterusnya, secara sinis aku turut menyatakan bahawa kami akan kehilangan RM4,000 demi untuk mendapatkan 'hadiah hari kemerdekaan' yang sebenarnya tidak wujud atau tidak berkualiti atau tidak selumayan seperti yang digembar-gemburkan.
     Ekoran daripada sindiranku itu, Si Nyonya terus menghulurkan sekeping kertas bergambar dan meminta aku melihatnya. Aku mengambil kertas tersebut dan meneliti satu persatu gambar-gambar dan maklumat yang tertera.
    Rupa-rupanya gambar-gambar dan maklumat-maklumat yang tertera di atas kertas tersebut  adalah 'hadiah hari kemerdekaan' yang dimaksudkan. Antaranya ialah beberapa buah kereta mewah, motosikal berkuasa tinggi, TV LCD, pakej pelancongan ke luar negara, wang tunai berbelas ribu ringgit serta sebuah produk kesihatan.
    Antara hadiah-hadiah yang disediakan itu, perhatian aku lebih tertumpu pada hadiah yang ke-11 iaitu satu barangan yang dikatakan produk kesihatan. Sebenarnya produk itu adalah sebuah tilam getah yang boleh diisi dengan angin/udara. Produk itu kononnya boleh menyembuhkan beberapa jenis penyakit dan harganya pula RM5,000. Perhatian aku sebenarnya adalah lebih kepada harganya yang juga tidak masuk akal. Pada fikiran aku ketika itu, harga yang munasabah bagi alat kesihatan itu ialah di bawah RM1,000.
    Sehubungan dengan itu, aku terus mengemukakan pandangan-pandangan yang sinis dan lebih bersifat kontra terhadap semua fakta dan perjelasan Si Nyonya. Dan Si Nyonya tetap tidak berputus asa dan terus meyakinkan kami dengan pelbagai cara.
    Sebaliknya, aku pula tetap menyatakan kesangsian dan pendapat yang berbeza. Dan dipendekkan cerita, akhirnya aku membuat keputusan untuk menolak semua tawaran dan hadiah-hadiah kemenangan.
    Ternyata keputusanku itu tidak disenangi oleh wanita berkenaan. Sebelum sempat aku dan isteriku beredar, dengan pantas dia merayu dan memujuk kami berdua supaya meneruskan perbincangan.
    "Ok encik, ini macam laa, duduk dulu and give me 5 minutes. I'm going to discuss with my manager first. I cuba minta supaya you all dapat the hadiah without any payment".
    Kenyataan yang terkini dari wanita itu menyebabkan aku mengubah fikiran. Aku bersetuju dengan permintaan itu kerana aku merasakan bahawa peluang untuk mendapatkan hadiah-hadiah dan 'hadiah hari kemerdekaan' tanpa sebarang bayaran mungkin akan menjadi kenyataan.
    Justeru itu aku duduk kembali bersama isteri. Di saat-saat penantian itu, aku gunakan untuk berbincang dan memberi penjelasan yang sepatutnya kepada isteriku. Apakah yang hendak aku lakukan dan apakah tujuanku yang sebenar, semua aku jelaskan pada isteriku yang budiman. Dan ternyata bahawa isteriku tetap setia dan tetap sedia mengikut apa sahaja yang aku rencanakan.

Tiada ulasan: