Malu tak terkira aku, apatah lagi si
Naser saingan aku dengan bergaya berjaya memintas keputusan SRPku dengan hanya
selamba mengekalkan keputusan SRPnya sama dengan pencapaian semasa percubaan, 9
agregat.
Walaupun
9 agregat, tapi itulah kelayakan maksimum (termasuk kepujian dalam Sains dan
Matematik) yang membolehkan pelajar-pelajar luar bandar seperti kami,
berpeluang memohon ke sekolah-sekolah berasrama penuh ketika itu.
Abah
tidak tahu yang aku demam teruk sepanjang hari peperiksaan, entah virus mana yang
menyinggah badan aku, atau si pendengki mana yang menghantar pelesitnya kepada
aku (astaghfirullahal’aazim, sampai kesitu sekali tuduhanku, tidak berasas
langsung), atau sebenarnya akibat terlalu banyak berjaga malam mengulang kaji
sampai tidak tentu masa tidurku.
Setiap
kali balik sekolah sepanjang hari peperiksaan itu, aku akan terus
tidur sambil berselimut seluruh badan, menggigil-gigil
kesejukan. Mak memang simpati sambil tak jemu meletakkan tuala basah
di dahi dan mensuakan ‘panadol’ dan ‘cortal’ kepadaku untuk ditelan bagi
mengurangkan serangan demam.
Aku
malas nak ke klinik, tahu sahajalah abah, kalau bukan mood yang baik, sakit pun
dibuatnya tidak peduli, apatah lagi kalau perlu pula mengeluarkan wangnya
sendiri lagi. Tahan sahajalah, pujuk ku pada hati sambil memohon
agar Allah segera menyembuhkan demamku itu.
Memang
aku jarang demam, tapi kenapalah pada hari itu? Sampai aku terpinga-pinga
menggaru kepala yang tak gatal semasa menjawab kertas Bahasa Inggeris
kegemaranku kerana sukarnya nak menulis karangan dek kepala yang terasa berat
dan selsema yang tak henti menyumbat hidungku dengan lendir pekat kehijauan.
Kalau
aku tidak demam, mungkin keputusan SRP aku lebih baik dari percubaan, dan
mungkin aku berjaya ke MRSM seperti si Naser itu. Sampai
sekarangpun, aku kadang-kadang alpa untuk bersyukur bahawa semua ini ketentuan-Nya,
bahawa Allah itu sentiasa memberi apa yang kita perlukan secukupnya dan
bukannya apa yang kita impikan.
Sesungguhnya,
qada’ dan qadar Allah itu terlalu misteri untuk dirungkaikan dengan pemikiran
asas apatah lagi jika ilmu di dada dan amalan ibadah tidak sebanyak mana.
Maka,
kutanam azam untuk memperbaiki pembelajaran dan pencapaian aku di sekolah
baharu di Pekan Batu Lima itu. Apatah lagi bidang Sains memang
menjadi kegemaranku dan salah satu kerjaya impianku adalah untuk menjadi
seorang penyelidik ataupun saintis.
Alhamdulillah,
walaupun di kelas terpaksa bersaing dengan pelajar-pelajar bukan Melayu,
terutamanya Cina dan India, tapi aku suka dengan suasana pembelajarannya dan
rakan-rakan bangsa lain yang tidak lokek memberi tunjuk ajar dan berkongsi
ilmu. Apabila kelas bercampur bangsa lain dan Melayu menjadi
golongan yang minoriti, semangat untukku belajar meluap-luap dan aku bagai gila
belajar di sekolah ini, mungkin nak membuktikan pada diri yang aku juga
setanding dengan bangsa lain, yang sememangnya menguasai bidang Sains dan Matematik.
Contohnya
si Lim, anak tauke kedai ubat di pekan Batu Lima, tiga hari seminggu pergi
kelas tuisyen, mana tak pandainya. Jika nak dibandingkan dengan aku,
kelas tuisyen terakhir yang aku hadiri adalah semasa sebelum peperiksaan SRP
tahun lepas. Itupun dibuat oleh salah seorang anak kampung yang
sedang belajar di Universiti Malaya ketika itu, berinisiatif bersama rakan-rakan
Persatuan Mahasiswanya, untuk mengadakan kelas tuisyen percuma untuk anak-anak
kampung yang akan menghadapi peperiksaan.
Tersenyum
aku seketika teringat kenangan pertama kali bertuisyen dan pertama kali
di’angkat’ sebagai adik oleh salah seorang fasilitator yang juga mengajar
Matematik, Abang Wan, pelajar jurusan ekonomi di Universiti Malaya.
Abang
Wanlah yang tak jemu meniup semangat untuk aku terus berjuang dalam
pembelajaran selepas aku yang kesedihan mengutus surat kepadanya memaklumkan
keputusan SRPku.
Tidak
ramai rakan sekolah di kampung yang turut sama bersekolah di Pekan Batu Lima
ini. Kawan-kawan rapatku, Ida dan Nor ke Sekolah Menengah Teluk
Datuk di Banting, Liza ke Sekolah Tunku Abdul Rahman di Klang, manakala Jilah
dan Hanisah sahaja yang kekal di kampung kerana keputusan SRP mereka berdua pun
hanya sesuai ke aliran sastera sahaja.
Di
sekolah baharu ini, aku sekelas dengan Jef, Munim, Ijen, Anuar dan Awa yang
dulunya bersama-sama bersekolah di kampung serta Zaim, Tini, Siti, Mona dan
Faisal yang memang pelajar sekolah tersebut. Selebihnya, Lim, Pei
Pei, Guan, Ah Beng, Rajish, Kumar, Santhi dan beberapa pelajar bukan Melayu
lagi memang telah bersekolah di situ sejak tingkatan satu
lagi. Pendek kata majoriti adalah pelajar pekan sedangkan kami
berenam merupakan pelajar kampung yang tidak biasa dengan hiruk-pikuk di pekan
dan tuisyen bagi kami adalah satu kemewahan, apatah lagi mempunyai buku-buku
rujukan tambahan sendiri.
Buku-buku
rujukan yang ada pun mengharapkan buku peninggalan pakcik, makcik atau kakak
dan abang atau meminjam di perpustakaan sekolah yang sudah lusuh benar
rupanya.
Namun,
demi cita-cita di bidang sains, kami berenam sanggup bersekolah di pekan yang
jaraknya melebihi lima batu dari pinggir kampung kelima. Kampung
halamanku sebenarnya meliputi lima buah kampung lain yang populasinya di setiap
kampung itu mempunyai 50 – 60 buah rumah penduduk, oleh kerana pengetahuan
Geografiku belum kukuh dan mantap lagi, jadi anggaran mengira populasi berdasarkan
bilangan rumah sahaja.
Jika
setiap rumah dihuni oleh 10 orang dan katalah setiap kampung ada 60 buah rumah,
maka secara kiraan kasarnya, jumlah populasi adalah lebih kurang 3,000 orang
tidak termasuk penduduk di kampung Orang Asli. Begitulah, cabaran di
sekolah baharu cuba ku tangani sebaik mungkin, dan keputusan kuiz dan ujian
bulanan yang kuperolehi untuk Matematik, Biologi dan Kimia amat mengujakan
aku.
Tidak
sia-sia aku membuat latih tubi dan berbincang bersama Lim, Pei Pei dan
Rajish. Cuma aku sedikit terkilan apabila melihat rakan
sekampungku yang lain seperti kurang berminat belajar di aliran sains selepas
masuk bulan kedua, dan kulihat mereka juga kurang berinteraksi dengan rakan
sekelas selain bangsa Melayu.
Memang
aku akui, sukar dan beratnya mempelajari subjek Sains ditambah pula dengan
Matematik Tambahan yang memang perlukan latih tubi untuk
dikuasai. Tambahan pula, kami ini tidak mengikuti mana-mana tuisyen
di luar sekolah. Namun begitu, dek kerana mulutku yang agak peramah
ini, ringan sahaja aku bergurau senda dengan pelajar bukan Melayu sambil dalam
masa yang sama bertanya dan berbincang tentang sesetengah topik yang aku kurang
faham.
Yang
pasti, jangan bertanya kosong tanpa menunjukkan usaha, itu yang aku betul-betul
jaga dan gunakan sebaik-baiknya untuk menawan hati pelajar bukan Melayu
ini.
Untungnya,
aku dapat ‘cikgu tuisyen’ free sahaja
bersama mereka, malah secara tidak langsung aku dapat menambahbaik penguasaan
Bahasa Inggeris aku memandangkan pelajar bukan Melayu biasanya kerap menselang-selikan
di antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di dalam perbualan.
Selain
dari itu, sifat dan keperibadian pelajar Melayu dan bukan Melayu juga
berbeza. Pelajar bukan Melayu lebih berani bertanya dan mengutarakan
jawapan dan pandangan di dalam kelas, malah kadang-kadang itu seperti
berlumba-lumba pula mengangkat tangan untuk bertanya. Itu yang
menarik hatiku dan menyebabkan aku juga turut terikut-ikut seperti mereka,
sekurang-kurangnya kita lebih faham bila banyak bertanya dan suasana kelas juga
nampak meriah dan menghiburkan bila jawapan yang kita beri bukan sahaja salah
tetapi agak melucukan bunyinya. Ya, aku mengakui mulai jatuh cinta
dengan sekolah ini dan guru-gurunya juga baik belaka walau tak seramah bekas
guru-guru di sekolah lama dahulu.
Oleh: Merhayati Sipon
Tiada ulasan:
Catat Ulasan