Khamis, 5 September 2013

Makan Sayur Tumbuh Atas Tunggul Kayu: Bagaimana Hendak Besar?

Emak - Allahyarham Timah Nor Ahmad

Bekerja sebagai tukang rumah sekitar tahun 60-an dan 70-an, tidak membolehkan abah menyara keluarga kami secara mewah. Sebagaimana jiran-jiran yang lain, biasanya hidangan tengahari kami cuma nasi yang disedapkan dengan sambal, ikan kering, sayuran daunan atau sesekali ikan yang ditangguk atau dikail.
       Sumber minum pagi, makan tengahari dan makan malam betul-betul bersandarkan apa yang ada di keliling kami. Ubi atau keledek rebus, cekodok atau lempeng yang menjadi juadah minum pagi adalah hasil tanaman sekeliling rumah.
       Juadah makan tengahari dan makan malam biasanya sama; sambal, ikan kering, kangk
Bersama adik kelima, Rusni, keenam (Halimaton Saadiah)
dan ketujuh Ruslin. Adik bongsu, Wahida belum lahir ketika ini.
ung, bayam, pucuk paku, cekur manis atau daunan tumbuhan hutan seperti cemperai yang diambil pucuknya.
       Kalau sesekali hendak divariasikan, emak akan menukar caranya sahaja; digulai, digoreng atau direndang tapi masih bahan asasnya pucuk paku atau pucuk ubi.
       Oleh kerana itulah agaknya, tubuhku terkejut dengan kulitku menimbulkan bintik-bintik dan rasa gatal setiap kali aku makan daging lembu atau kerbau di rumah khenduri atau pada setiap Hari Raya.
       “Macam mana badan hendak besar? Makan daun dan apa yang tumbuh dari pokok mati,” kataku merujuk cendawan kukur yang sering menjadi resipi utama masakan emak.
       Muka emak kulihat semacam berubah ketika mendengar kata-kata yang terkeluar daripada mulut satu-satu anak lelakinya itu.
       Sifat idealis seorang budak lelaki berusia sekitar 14 hingga 16 tahunku, benar-benar menyentap nadi emak.
       Kata-kata itu mungkin terucap kerana pengetahuan baharuku di sekolah mengenai apa yang dikatakan nuterasi hari ini. Manusia perlukan makanan seimbang untuk pertumbuhan badan.
       Mungkin kerana sering berasa rendah diri kerana tubuhku yang kecil dan rendah, emak pula menjadi korban tuduhan.
        Menyedari selembut-lembut emak, tentu tidak wajar sekali aku menghina dan memperkecilkan kemampuannya dan abah untuk memberi kami makan yang lebih baik; insiden ini tetap aku ingat kini. Kata-kata yang mengguris hati emak.
       Semalam sewaktu hendak melaksanakan rutin harianku menolak abah ke bilik air, perutku terasa lapar sekali kerana isteri seminggu ini bertugas di luar kawasan.
       “Ada nasi mak?,” tanyaku.
       “Nasi sejuk adalah. Lauk tak ada. Cuba tengok dalam tudung saji kalau ada lagi rendang lebihan semalam.”
       Aku segera membuka tudung saji dan mendapati rendang yang dikatakan emak cuma tinggal keledaknya.
       Sambil menyuap lahap, terbayang kembali kata-kata yang pernah kuucapkan kepada emak dahulu.
Kalaulah emak seorang yang pendendam, boleh sahaja dia menjerkah,”hampas kelapa dalam rendang itu lagi tidak ada vitamin jika dibandingkan dengan cendawan kukur dan pucuk paku.”
       Kalau emak hendak mengutuk dan menyiksa aku lebih teruk, dialog ini boleh digunakan supaya aku tertiarap dan tidak bangun lagi.
       “Patut sangatlah. Pendapatan abah kau berapa sangat waktu itu. Kau dapat beribu-ribu sebulan tapi hendak beli makanan pun tak mampu. Masih mengharapkan hampas kelapa emak!”      

Tiada ulasan: