Halaman

Ahad, 1 September 2013

Abah Sihat: Terima Kasih Aishwarya Rai

Aku tidak ingat sejak bila abah begitu; tidak lagi mampu berjalan atau menyuap makanan sendiri. Apa yang pasti, sejak beberapa bulan lalu; setiap pagi selepas menghantar anak bongsuku, Siti Adibah ke sekolah, rutinku mengangkat abah di katil dan meletakkan ke kerusi roda dan seterusnya menolaknya ke bilik air.
     Abah masih dimandikan emak. Hanya setelah isyarat `dah!’ emak, aku kembali ke bilik air dan menolaknya pula ke ruang tamu bahagian dapur rumah.
     Seperti selalu, emak telah menyiapkan sarapan pagi dan menyuap abah dengan suapan kasih sayang. Usia 83 dan 82 tahun abah dan emak mencemburui aku tentang padunya cinta mereka.
     Setelah berbual-bual ringan sekitar 15 minit dan emak pula meneruskan perhatiannya kepada rancangan `Tanyalah Ustaz’ TV9, aku memohon diri untuk meneruskan rutin harianku pula sehingga kira-kira jam 1.00 tengah hari – berkebun di atas tanah peninggalan mentua.
     “Jangan lupa jemput abah!,” panggilan adik bongsuku, Wahida yang tinggal bersama abah dan emak, mengingatkan aku janjitemu dengan mereka pagi itu.
     Ketika hendak menghidupkan enjin kereta, panggilan emak pula memaklumkan abah tidak mahu ke klinik seperti yang diputuskan kelmarin.
     “Emak cubalah pujuk dia,” aku memberi saranan lalu memandu menuju Kampung Pelegong.
     Aku yakin, abah akan memenuhi permintaan buah hatinya itu.
     “Bila kau lapang nanti, bawa abah kau ke klinik. Wahida kata sampai bila pula hendak macam ini. Manalah tahu dia elok, nanti,” kata emak pada suatu pagi.
     Sampai di kampung, abah dan emak rupa-rupanya telah lama menunggu. Lalaiku kerana asyik melayan interaksi di Facebook menyebabkan rasa berdosa mengusap di hati.
     Aku segera menolak kereta sorong ke pintu keretaku yang kuletakkan berhampiran pintu dapur. Aku mengangkat abah penuh kasih sayang ke tempat duduk depan. Air jernih kelihatan di kelopak matanya. Memang abah yang gagah suatu ketika dahulu, begitu naif kebelakangan ini.
     Klinik Yong di Jalan Tunku Hasan dituju; klinik pakar yang turut mendapat kepercayaan isteriku sejak lama.
     Tebiasa dengan amalan harian, aku menghidupkan pemain video keretaku yang dilengkapi sistem bunyi yang agak terkini. Audio yang tinggi bass dan wajah Aishwarya Rai yang tinggi lampai segera tertayang di monitor di depan kami.
     Aku sengaja membiarkan keadaan itu dan kami membawa perasaan masing-masing. Ternyata cakera klip video koleksi filem lakonan Aishwarya Rai, masih berada di dek. Maka tertayang di skrin, Anil Kapoor sedang menari rancak dengan isteri Abishek Bachaan itu di atas gunung bersalji.
     Pada mulanya aku lihat abah bagaikan malu menyaksikan adegan-adegan yang menguja nafsu. Bagaimanapun sesekali aku lihat abah mencuri pandang.
     Semua adik-beradikku tahu, walaupun abah cuma dua minggu menjejak tangga sekolah dan tidak tahu secara Geografinya di mana letaknya India, abah pemuja filem Hindustan.
     Mungkin kerana itu jugalah agaknya, aku mewarisi genetik gila filem Hindustannya yang memungkinkan pula aku sering dikutuk rakan, “Belajar sampai England tapi gila filem Hindustan.”
     Melalui pandangan sisi, aku lihat abah memandang tepat Aishwarya Rai yang sedang diusap Anil Kapoor yang berlatarbelakang taman bunga yang dipenuhi flora dan fauna yang pelbagai warna pula. Mereka kemudiannya berkejaran mengelilingi pohon rhu yang rendang.
     Bagaimanapun abah segera mengalih arah pandang seolah-olah ingin pula melihat pemandangan di sebelah sisi kirinya yang mungkin lama tidak dilihatnya.
     “Hipokrit juga abah aku ini,” tercetus fikir nakalku.
     Dalam tempoh perjalanan yang mengambil masa kira-kira setengah jam itu, pelbagai lagu petikan filem `Taal’ dan `Aab Aaab Aur Chalen’ itu dimainkan.
     “Syukriya! Syukria! Syukria! Mere piya. Jitne sohye lehwab...” Aishwarya menarik suara tinggi dan cukup menguja. Abah kulihat resah.
     Sampai di klinik, cuma ada dua pesakit sedang menunggu. “Alhamdulillah!,” aku melafaz syukur, Biasanya Klinik Yong penuh dengan pengunjung.
     Atas permintaan aku, Dr. Yong melakukan pemeriksaan penuh; x-ray, ECG, ujian air kencing, ujian tekanan darah, jantung dan yang berkaitan.
     Lebih setengah jam juga kami menunggu keputusan pemeriksaan dan akhirnya Dr. Yong memanggil aku ke biliknya.
     “Fantastik! Segala-galanya baik – jantung, tekanan darah, hempedu. Dengan umur 83 tahun, dia tiada masalah fizikal sebenarnya. Kalau adapun cuma memerlukan city-scan untuk mengesan kecederaan saraf otak,” kata Dr. Yong optimis.
     Sewaktu meminta diberikan ubat yang baik pula, Dr. Yong menjelaskan ianya juga tidak perlu. “Kalau nak cuba juga, saya akan berikan pil untuk membaiki saluran sarafnya,” katanya yakin.
     Walaupun perlu membayar RM300 untuk perkhidmatan itu, aku puas. Abah sihat dan libidonya pulih. Libido abah telah dirangsang Aishwarya Rai.
Catat Ulasan