Halaman

Khamis, 19 September 2013

Pak Jait, Si Pembuat Tali

Waktu saya masih kecil, ada seorang tua di kampung yang barangkali menghidap parkinson. Kami memanggilnya Pak Jait. Sampai sekarang saya tidak tahu namanya yang sebenar. Tapi bayangan Pak Jait yang sudah kembali ke pangkuan Illahi itu selalu tergambar di minda saya jika saya pulang ke kampung.
    Pak Jait menyara hidupnya dengan membuat tali daripada pokok pisang. Dia tinggal bersama adik tirinya yang mempunyai seorang isteri yang agak garang. Rumah mereka terletak di hujung kampung, betul-betul di tebing sungai tempat Pak Jait selalu mandi.
    Oleh kerana penyakitnya, Pak Jait tidak boleh berjalan seperti orang biasa. Dia berjalan ke kiri dan ke kanan. Pergerakannya tidak stabil. Kata emak, dia dilahirkan normal tetapi dia mengalami demam panas yang teruk sehingga menyebabkan keadaannya begitu.
    Saya masih ingat, jika orang-orang kampung menebang pokok pisang; sayalah orang pertama yang akan berlari mencari Pak Jait dan memaklumkan hal tersebut. Pak Jait akan membawa parang dan terhuyung-hayang "melapah" batang pisang, mengikatnya dan memikulnya pulang. Saya akan menunggu Pak Jait menyelesaikan tugasnya dan akan membantu dia membawa parang.
    Saya bimbang jika Pak Jait terjatuh dan parang itu menikam perutnya. Tetapi Allah Maha Kuasa, sekali pun Pak Jait tidak terkena parangnya meskipun dia jatuh tunggang-langgang akibat pergerakannya yang sangat terbatas itu. Untuk membantunya memikul batang pisang, saya tidak mampu. Tubuh saya yang kecil kurus tidak memungkinkan saya membantunya.
    Untuk menyeberangi barisan kayu-kayu yang merintangi parit kecil pun satu kesukaran yang amat besar kepada lelaki tua itu. Saya selalu memegang tangannya, menarik dan cuba menolak tubuhnya agar dia berjaya melepasi halangan itu.
    Kasihan Pak Jait. Saya selalu menangis melihat dia jatuh. Kalau pulang ke rumah dengan mata merah, emak sudah tahu saya menangis kerana kasihankan Pak Jait.
    Oleh kerana keadaannya itu, Pak Jait selalu mandi telanjang di sungai. Bagaimana dia mahu memakai kain basahan kalau terhuyung-hayang begitu. Budak-budak nakal selalu mengejek-ejeknya. Sudah tentu perbuatan itu menimbulkan kemarahan dan kekesalan yang amat sangat dalam diri saya. Selalulah juga saya memarahi kanak-kanak itu. Sudahnya, saya yang menangis!
    Selesai menyiat batang-batang pisang itu, Pak Jait akan menjemurnya. Setelah kering, tali-tali itu diikat dan Pak Jait membawanya untuk dijual di pekan. Dia ke pekan menaiki bas. Bayangkan saja, bagaimana dia menaiki bas dengan membawa tali-tali yang diikat itu. Sangat menyiksakan. Bukan sekali dua, Pak Jait tersungkur.
    Saya sudah bekerja di Kuala Lumpur ketika emak menelefon. "Pak Jait sudah meninggal," kata emak. Saya terdiam lama. Menahan sedih sebenarnya.
    "Tapi, orang macam itu, tempatnya pasti di syurga," sambung emak seperti mahu menyejukkan hati saya.
    Saya pun memang pasti orang tua itu sangat tenang di sana.
    Hidupnya di dunia sangat derita. Dia mendapat wang bantuan kebajikan masyarakat. Tidak banyak tapi sebenarnya cukuplah untuk menampung hidup. Tetapi wang itu bukan menjadi miliknya. Dia menerima tetapi orang lain yang menggunakan wang tersebut. Dia pula terpaksa mencari rezeki dengan membuat tali daripada batang pokok pisang.
    Kata emak, Pak Jait sakit sebelum meninggal. Mengingati saya yang sangat simpati dengan nasib lelaki tua itu, emak dan ayah menziarahinya hampir setiap hari. Kepada emaklah, dia mengadu meskipun pertuturannya kurang difahami. Emak membawa makanan dan menyuap ke mulutnya kerana Pak Jait benar-benar uzur. Dia diabaikan sama seperti waktu sihatnya oleh ahli keluarganya sendiri.
    "Eloklah Allah ambil dia. Susah sangat hidupnya di dunia ini..." kata emak.
    Sehingga kini pun, air mata saya masih bergenang jika mengingati Pak Jait. Kalau pulang ke kampung, saya akan selalu mengenangnya jika ternampak batang pokok pisang yang ditebang.
    Tapi saya sangat yakin, Pak Jait insan terpilih. Pasti Allah telah menyediakan taman syurga terindah buat lelaki itu.
Oleh: Ratna Laila
Catat Ulasan