Halaman

Rabu, 25 September 2013

Semangat Tetap Bersamaku


Perjalanan pulangku dari menghantar ibu di Kampung Kuala Serdang,Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, mataku tertumpu pada rimbunan pepohon buluh yang hidup melata berhampiran jalan yang kulalui.
    Terlajak ke depan kereta yang kupandu, lantas segera kuberundur untuk mengambil gambar salah satu pokok buluh yang suatu ketika dahulu sangat ku cari-cari semasa bermain hoki dengan rakan-rakan sepermainanku ketika di zaman kanak-kanak ku.
    “Mano ko nak poie ni, berundur lak keto ke belakang. Apo yang ko nak buek,” kata emak ku kehairanan.
    “Kojap mak, nak ambil gambar pokok buluh tu. Maso kocik-kocik dulu, pokok buluh macam inilah yang dicari-cari sobab nak melayakkan diri dapat bermain hoki dengan kawan-kawan maso kito menyewo kat Kampung Dusun Nyior, Ampangan dulu,” kataku pada mak.
    Tercuit hati kecilku bila mengingatkan kisah lalu ketika bermain sukan hoki di kampung. Maklumlah kehidupan yang serba kekurangan, manalah ada kemampuan abah untuk membelikan aku kayu hoki walaupun aku sangat berminat dengan sukan itu.
    Nak jadikan cerita, pada suatu hari rakan-rakan sekampung mengadakan perjumpaan untuk berbincang bermain hoki pada hari itu. Bagaimanapun, masing-masing menarik diri kerana tiada kemudahan peralatan sukan dan agak mustahil untuk diteruskan hasrat.
    Bagaimanapun, timbul idea salah seorang rakan dalam kumpulan perbincangan itu iaitu  bermain hoki dengan menggunakan buluh sebagai kayu hoki dan buah manggis yang sudah kering sebagai bolanya.
    “Apa susahnya, tak yah fikir panjang laie, meh kita poie cari pokok buluh, mano yang kat pangkalnya tu melengkung sikit kita ambil dan kita bentuklah jadi kayu hoki. Yang bola dia pulak, kita carilah mana-mana buah manggis kering yang ada bersepah kat laman tu,” kata salah seorang rakan sekampung ku.
    Dengan semangat yang berkobar-kobar, kumpulan perbincangan kami bersurai dan masing-masing menuju ke arah pokok buluh terbiar yang hidup merimbun bersebelahan tanah perkuburan di Kampung Dusun Nyior.
    Oleh kerana minat yang terlalu mendalam dan ingin menyertai permainan itu pada sebelah petangnya nanti, aku bersungguh-sungguh mendapatkan pokok buluh yang bersesuaian dan berusaha membentuknya menjadi kayu hoki yang paling kreatif.
    Moral daripada cerita ini, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Berusahalah dengan seboleh mungkin, kerana tiada istilah mustahil di dalam dunia ini.
    Apatah lagi dalam sidang akhbar bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan baru-baru ini, antara ungkapannya:
    “Yang penting, bila kemudahan ada, kita mesti mempunyai juga disiplin dan semangat untuk guna kemudahan tersebut. Kadang-kadang kemudahan ada depan mata, tapi kita tak tahu nak guna. Sebenarnya kemudahan ini adalah faktor kedua, banyak orang yang tiada kemudahan, tetapi ia boleh berjaya.
    “Tak ada gelanggang sepaktakraw di Myanmar, tapi mereka boleh menang bila berlawan dengan kita. Dia pakai kain jer bermain takraw...” camno tu????
    Dengan mempunyai asas bermain hoki walaupun tidak secanggih yang ada, aku tidak merasa janggal mempamerkan bakatku apabila diminta oleh guru sukan Puan Suvender Sing, ketika menguji kebolehanku untuk dimasukkan dalam pasukan hoki di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan KGV.

Oleh Juriyati Mat Jalil
Catat Ulasan