Halaman

Khamis, 19 September 2013

Kena Kencing Lagi!

Ini bukan Mercedes Dino tapi Mercedes milik isteri yang dibeli ketika tinggal di Manchester
Sewajarnyalah aku sering dileteri isteri kerana sifatku yang mudah simpati dengan kesusahan kawan-kawan. Sesetengahnya pula bukanlah kawan yang sudah lama dikenali – macam Dino, katerer yang menguruskan majlis perkahwinan anak sulungku, Siti Haryati.
      Dino aku kenali melalui Zain, kawan baru yang aku kenali melalui Rauf, Pengarah Jabatan Kesenian dan Warisan Negeri. Zain yang beritahu bahawa Dino seorang katerer berpengalaman. Dia sering diberi kepercayaan oleh orang-orang besar negeri termasuk Exco Kerajaan Negeri.
      Tidak sampai sebulan mengenalinya, Dino membuat tawaran kepadaku. Katanya dia tidak cukup modal pusingan bagi memenuhi tempahan. Dia minta aku melabur RM10,000. dan berjanji akan berkongsi keuntungan.
      “Saya boleh beri cikgu RM1,000 sebulan sehingga hutang langsai,” katanya memujuk. Memang Dino mempunyai kelebihan – pada wajahnya terpapar keikhlasan.
      Sebenarnya aku tidak berminat sangat. Aku sendiri punya bisnes sendiri lalu aku kemukakan tawaran itu kepada isteri. “Boleh percayakah Dino ni?,” tanya isteri sangsi.
      Seperti selalunya, aku mengemukakan pelbagai kehebatan rakan-rakanku untuk meyakinkan isteri.
      Dengan hujah-hujahku yang mantap, akhirnya isteri mengalah. “Cuba RM5,000 dulu,” katanya sambil menyerahkan wang yang baru dikeluarkan dari bank.
      Tidak sampai beberapa minit setelah diberitahu, Dino terpacul di rumahku dengan wajah cerianya. “Terima kasih cikgu. Mulai hujung bulan ini, saya akan bayar RM500 sebulan sehingga modal RM5,000 ini dipulangkan sepenuhnya,” katanya kepada isteriku sambil segera berlalu menuju Mercedes E240nya.
      Cuma tiga bulan isteriku merasa duit RM500 itu. Selepas itu Dino tidak menjawab panggilan telefon. Sewaktu aku mencarinya di rumah, jirannya berkata dia tinggal di kampung kini kerana mengurus bapanya yang sakit.
      Hampir setahun, Dino tidak ditemui dan isteri berleter lagi kerana sifatku yang mudah percayakan kawan-kawan. Dengan duit  graduiti yang baru aku terima, aku membayar hutang Dino kepada isteri termasuk keuntungan yang sepatutnya diterima selama hampir setahun itu.
Catat Ulasan