Halaman

Rabu, 25 September 2013

Abah Menang Kali Ini! (1)

Mana satu penulis cerita ini?
Hari ini memang sangat melelahkan.  Dua subjek Sains dijadualkan pada hari yang sama, Fizik dan Biologi.  Walaupun Biologi hari ini merupakan hari amali, tetapi ketekunan menyelesaikan ujikaji menyebabkan aku alpa dengan deringan loceng tandanya berakhir persekolahan hari ini.
    “Eh, kamu tidak mahu balik ke, May?” tegur Lim, gadis Cina bermuka bulat dan berkaca mata itu dan juga merupakan rakan kumpulan ujikajiku di Makmal Biologi.  
    “Haah, nak, sikit lagi nak habiskan penulisan laporan makmal ni, senang, tidak perlu di bawa balik jika dah siap,” aku menjawab sambil tanganku masih sibuk bertingkah menulis bait-bait pelaporan berkaitan tulang manusia.
    “Hmmm, beginilah jadinya kalau sudah terlalu minat, berjela-jela menulis,” gumamku dalam hati.  
    “Ok, Lim, dah siap, cuba you baca dan tambah atau betulkan mana yang perlu, I rasa ini jawapan I yang terbaik tapi you lagi ‘terer’ Biologi daripada I”.  Terus kuhulurkan Buku Kerja Makmal Biologi kepada Lim.   
    “Mana ada, kita sama-sama belajar, sama-sama pandai ma…,” senyum Lim sambil mengambil buku kerja yang kuhulurkan.  
    Bersekolah di sini memberikan satu pengalaman sosial yang baru buatku memandangkan sekolah lamaku di kampung hampir sukar untuk melihat bangsa lain selain Melayu menjadi pelajar di sekolah.  
    Namun begitu, terdapat juga pelajar anak Orang Asli dari kampung bersebelahan kampung nenekku turut bersekolah menengah disitu, itu pun boleh dikira dengan jari.  Lantas aku teringat rakan sekelas lama sepanjang di tingkatan satu hingga tingkatan tiga di kampung, Suhada Binti Nangka, gadis sunti anak Orang Asli yang tidak pula pernah kuketahui nama keturunannya, Jakunkah? Semaikah? Sakaikah?  Yang aku tahu, sudah sepakat, orang-orang kampung pun memanggil kumpulan kecil yang mendiami pinggir kampung nenekku itu, yang rumah penduduknya (atau mungkin hanya layak dipanggil pondok kecil sementelah keluasannya seperti wakaf menunggu durian di dusun nenekku) tak lebih dari 15 buah rumah itu, ‘orang Asli’.  
    “May, I rasa cukuplah jawapan kita ni, mesti Cikgu Zakiah puas hati dengan kerja amali kita hari ini,” suara Lim yang lembut mematikan lamunanku tentang Si Suhada, gadis orang Asli, bekas rakan sekelasku yang pandai melukis itu.
    Cikgu Zakiah tersenyum lebar ketika menerima Buku Kerja Amali Biologi yang kami berdua hulurkan, “ Bagus, macam inilah cikgu puji, siapkan kerja tanpa berlengah, bukan macam seorang dua itu, sibuk nak balik ke rumah, walhal rumah sebelah sekolah sahaja,” komen Cikgu Zakiah sambil tangannya juga sibuk menyusun buku-buku nota dan rujukan kepunyaannya.  
    Rupa-rupanya tinggal kami berdua pelajar yang masih ada di makmal, dan setianya Cikgu Zakiah menunggu kami menyiapkan kerja tadi. “Terima kasih cikgu, jumpa lagi esok,” riang sahaja aku dan Lim membalas dan terus menggalas beg masing-masing menuju ke pintu keluar makmal.
    Teriknya cuaca tengah hari itu kutempuh berhati-hati.  “Nasib baik pakai helmet, kalau tidak mau cair otak aku ni,” desis hatiku sambil tangan memulas minyak motosikal tua Honda C70 kepunyaan Mak.  
    Oleh kerana umurnya yang telah lama, berbelas tahun kukira, kelajuan yang boleh dicapai oleh motosikal ini hanyalah 50 batu sejam, apatah lagi terpaksa melepasi lorong-lorong taman perumahan dan melewati tepi kandang-kandang kecil khinzir (pekan ini asalnya kampung baru khas untuk orang-orang Cina semasa zaman bermaharajalelanya komunis dahulu di tempatku) sebelum berjumpa jalan utama, terpaksalah aku mengenderainya tidak lebih dari 30 batu sejam sahaja.  
    Begitulah rutinku hari-hari pergi dan pulang ke sekolah apabila menaiki motorsikal ini, kalau ku tempuh terus jalan besar, alamat tak sabar-sabar abang polis akan menahan.   
    Tengok rupa dan gaya pun tahu, aku ni belum ada lesen memandu.  Inipun, bukan senang aku nak memujuk emak untuk membenarkan aku ke sekolah menaiki motosikal.  Teringat kata-kata emak dua minggu lepas, “Ti kan belum ada lesen, motor emak tu pun bukannya ada cukai jalan, abah tak mahu bayar, motor dah tua katanya, nanti kalau ditahan polis macam mana?”. 
    “Alah mak ni, kalau kena tahan polis senyum jelah, Ti kan lawa,” jawabku mengusik emak.
    “Lagipun mak, dah sebulan Ti ulang-alik naik bas, kena naik basikal lagi dekat sebatu lebih jauhnya baru sampai di pondok bas, letih lah mak.”
    “Bas tu pulak bukannya datang ikut jadual, selalu lambat, sampai pengawas pun dah jelak nak tulis nama Ti dalam buku kehadiran sebab selalu lewat, walhal Ti sampai kat pondok bas tu pukul 6.30 pagi setiap hari.”
    “Kalau naik motosikal, senang mak, sampai awal ke sekolah berbanding kalau Ti nak mengayuh basikal, dekat lima batu jaraknya nak ke sekolah kat pekan tu.”
    Panjang lebar jawapanku pada mak dengan tujuan nak menjustifikasikan alasanku untuk menunggang motosikal sendiri ke sekolah.  Mak akur sahaja dengan jawapan anak daranya yang seorang ini, yang memang terkenal banyak cakap dan hujahnya.  
    Aku mencium tangan mak sewaktu mak mengatakan persetujuannya, kerna aku tahu mak terpaksa mengayuh basikal pula untuk ke kebun jika abah menggunakan motosikalnya.  Di rumah ini, ada dua buah sahaja motosikal untuk kegunaan isi rumah, satu mak dan satu lagi abah, sebab itu aku tahu mak berat juga nak memberi kebenaran kerana nak bertolak-ansur dengan abah memang jarang dapat menang.
    Tamat tingkatan tiga di sekolah kampung tahun lepas, aku terus membuat keputusan untuk meneruskan persekolahanku di pekan Batu Lima kerana sekolah di kampungku tidak menawarkan aliran Sains.  
    Keputusan SRPku yang jauh bezanya dengan keputusan percubaan, sedikit sebanyak mengecewakan abah.  Keputusan 11 agregat tidak melayakkan aku untuk ke mana-mana sekolah Sains berasrama penuh atau ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menjadi impianku sejak dahulu.  Walhal, semasa percubaan aku meraih 7 agregat sehingga diangkat pelajar terbaik tingkatan tiga disekolah tahun itu.  
Oleh: Merhayati Sipon
Catat Ulasan