Halaman

Selasa, 10 September 2013

Penumpang Pertama Komuter Dari Rembau


Hari ini, tanggal 30 Ogos 2013 saya dimaklumkan perkhidmatan komuter KTMB mula beroperasi bermula pagi ini dengan tiga perjalanan. Jam 5.45 pagi, saya bergegas ke Stesen Keretapi Rembau yang baharu untuk merakamkan sejarah kemajuan Rembau dalam kemudahan awam.
       Perjalanan yang pertama pada jam 6.00  pagi,  saya dimaklumkan hanya enam orang penumpang ke KL Central yang bertugas di Kuala Lumpur. Namun orang pertama membeli tiket , seorang wanita awal tiga puluhan yang dihantar oleh suaminya. Amiza Harun namanya yang tinggal di Taman Seri Rembau Fasa III, yang berkerja di Ready Care, Damansara.  Sebelum ini, Amiza sudah lebih setahun guna komuter, dulu Stesen Sungai Gadut. Amiza mencatat sejarah sebagai wanita pertama membeli tiket menggunakan perkhidmatan Komuter KTMB dari Rembau-Rawang. Sementara lima orang lagi menyusur kemudian.
       Kemudian perjalanan kedua, jam 6.30 pagi terdiri daripada lapan orang penumpang termasuk lima pelajar Cina belajar di sekolah di ACS Seremban.
       “Mengapa anda menaiki komuter?”  saya tanya salah seorang pelajar tersebut.
       “Jimat 40 sen dan lebih selesa,” jawabnya ringkas.
       Seterusnya, perjalanan ketiga, jam 7.00 pagi, hanya dua penumpang warga emas suami isteri.
       “Tuan haji hendak ke mana?” saya tanya beliau.
       “Klang, ke rumah terbuka anak saya,” jawab Haji Nordin. “Murah, kami warga emas cuma RM 4.50,” tambah beliau.
       “Macam mana Tuan Haji tahu,  komuter mula beroperasi hari ini?,” tanya saya lagi.
       “Saya lihat komuter sudah mula menggunakan landasan. Semalam saya datang ke sini dan dimaklumkan mula operasi pagi ini,” kata Haji Nordin.
       “Apa pendapat Tuan Haji, bila perkhidmatan komuter dimulakan di sini?”  saya tanya lagi.
       “Bagus. Ini yang kami tunggu selama ini. Kami boleh terus ke Klang tanpa pergi ke Seremban lagi,” jawabnya.
       Sebelum komuter berlepas, wartawan sambilan akhbar Cina mengambil gambar Haji Nordin bersama isterinya dari beberapa sudut. Bahkan saya mengambil kesempatan meminta wartawan itu mengambil gambar saya. Apabila saya paparkan dalam FB, ramai kawan-kawan menganggap saya juga penumpang hari pertama pada pagi itu.


Oleh: Mohammad Abd Ghani
Catat Ulasan