Isnin, 19 Ogos 2013

`Dosanya’ Terlalu Besar

Sebaik-baik melabuhkan punggong di sofa empuk itu, Dr. H tidak sabar-sabar lagi untuk mengongsi masalahnya dalam kunjungan Aidil Fitri kali ini.
    “Dah bertahun tak selesai-selesai lagi.” Wajah Dr. H yang hampir lima tahun tidak dilihat, kelihatan jauh tua daripada usianya.
    “Makin parah geng! Duit panjang tak ada. F tidak pernah untuk memaafkan,” keluh Dr. H sambil mengukuhkan silanya yang berkongsi sofa denganku.
    “Hai! Dah besar budak tu. Takkan F masih tidak dapat menerima hakikat bahawa dia perlu berkongsi kasih.
    “Inilah antara kesilapan perempuan. Dia ingat cerita sayang tu pakai hukum Matematik.  Bila kahwin satu, dia dapat 100% kasih suami. Apabila suami pasang dua 100 bahagi 2, jadi kasih suami tinggal 50%.”
    Dr. H yang awalnya tadi bagaikan tidak bermaya, kini sudah mula menampakkan ceria.
    “Beginilah. Aku juga baharu lepas daripada musibah. Memang begitu agaknya. Bila kita pesimif, masalah kecil dilihat begitu besar untuk diselesaikan.
    “Terpulang pada kau, hendak pakai atau tidak cara penyelesaiannya.” Gelak ketawa dan senda-gurau  isteri dan anak-anak kami kedengaran di ruang tamu belakang.
    “Ha! Bagus tu. Aku dah tak tertanggung dengan ujian Allah kali ini. Dah lebih enam tahun,” Dr. H yang sepengajian denganku di luar negara dahulu mula menampakkan harapan.
    “Mari kita balik… Balik seperti yang diperintahkan. Aku tahu amalan agama kau lebih kuat daripada aku.
    “Tak apalah! Ini cuma satu perkongsian penyelesaian. Benda ini semua orang tahu. Semua orang juga tahu benda ini bukan sukar untuk dilakukan. Masalahnya kita tak buat,” aku mula menjadi Ustaz Khazim Elias.
    “Hai geng!,” sengeh Dr. H semakin melebar.
    “Pernah tak kau membincangkan perkara ini dalam suasana tenang dengan F?”
    “Selalu. Tapi selalu berakhir dengan pertengkaran.”
    “Apa agaknya punca utamanya?”
    “Apa lagi, pasal aku pasang dualah.”
    “Pasang dua memang ibarat `diberi penampar Jepun’ oleh orang perempuan tapi masalahnya kau tak mahu berterus-terang. Kau kahwin lari ke Siam.”
    Sedang rancak berbual, Z seorang lagi rakan sepengajian kami dahulu turut datang untuk berhari raya.
    Memandangkan Z juga tahu masalah Dr. H, kami tidak membuang masa untuk mencapai kata sepakat agar hubungan Dr. H dan F akan jernih kembali, dengan gerakan yang bermula beberapa minit lagi.
    Setelah kira-kira 10 minit berbual, kami menyertai yang lain di meja hidangan di ruang tamu belakang.
    Kami wujudkan suasana santai sambil bergelak ketawa mengenang kembali kehidupan sewaktu di Manchester dahulu. Terkeluar kembali cerita Dr. H kehilangan kereta Datsun buruknya, cerita rumah sewaannya terbakar dan cerita Prof. Madya Dr. Agos, jirannya  yang selalu mengulas suasana politik semasa, kini.
    “Sampai sekarang aku masih ingat Dr. Agos masih pakai kain batik walaupun di England,” ceritaku.
    Bagaimanapun F tidak habis-habis menyatakan kekesalan kerana kegagalan Dr. H yang masih tidak membeli rumah.
    “Sejak kahwin sampai dah nak pencen, asyik menyewa sahaja,”bebelnya.
    “Tak mampu geng!,” celahnya.
    “Dah tahu tak mampu, apa pasal buat masalah baharu,” jawab F dalam gurau menyengat.
    “Beginilah!,” aku terpaksa mengambil peranan yang sepatutnya dimainkan oleh Z, kaunselor terlatih itu untuk menjimatkan masa kerana hari semakin jauh malam.
    Kami tidak mempedulikan anak-anak yang sedang leka menonton televisyen, lalu berbincang secara terbuka.
    “H! Pernah tak kau minta maaf kepada F sebelum ini?,” Dr.H terdiam seketika lalu hantaran lintang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh F untuk membuat rembatan kencang.
    “Dia tak pernah minta maaf daripada F. Kita sahaja yang tak pernah lupa.”
    “Aku tak malu minta maaf kepada R. Kau tanya dia sendiri sekarang. Malah sewaktu aku sedar kesilapan yang telah dilakukan, aku mengucapkan terima kasih kerana mengingatkan.” Aku lihat isteriku tersipu malu.
    Provokasi kecil itu mula memarakkan suasana tegang di meja makan. F tidak dapat lagi menyembunyikan kekecewaan. Dr. H bagai tercabar kelelakian dan kelulusan akademiknya.
    “Sudahlah tu!,” Z kaunselor yang mula kehilangan rambut khususnya di bahagian atas kepala, mencelah.
    “Geng! Kita semua dah tua. Dah hujung jalan dah. Sudah tidak ada masa lagi untuk berkelahi,” aku memotong jalan.
    “Arwah bapak aku dulu, mati umur 56. Aku sekarang 57. Dah dapat bonus setahun,” Dr. H mula mengendur.
    “Beginilah H dan F. Balik nanti, H perlu minta maaf atas kesusahan yang ditanggung oleh F selama ini. F pula perlu menerima hakikat bahawa H kini juga dimiliki oleh orang lain.
    “Tak perlulah buat depan kami sekarang. Malu depan budak-budak,” kataku yang disambut dengan deraian ketawa yang panjang.

Tiada ulasan: