Halaman

Rabu, 14 Ogos 2013

Cerita Ada Di Sekeliling Kita


Pagi lagi Z sudah menelefon,
     “Mana tu? Dah balik kampung, berkebun ke?”
     “Ada di rumah. Nak ajak minum ke?”
     “Begitulah cadangannya. Syed Maju.”
     “Datang rumahlah. Adibah masih tidur.”
     Kira-kira 15 minit kemudian Z sudah muncul di hadapan rumahku.
     Z lelaki berwajah macho berusia 62 tahun itu hanya kukenali sejak kira-kira setahun lalu tapi kami bagaikan ada chemistry.
     “Cikgu ada menganjurkan Kursus Membangun Blog bukan? Saya hendak turut serta,” telefonnya pada suatu hari.
     Persefahaman dicapai, maka Z diajar secara individu. Melalui penelitian tulisan-tulisannya, aku dapat mengesan bakat kreatif yang ada pada dirinya.
     “Geng! You perasan tak? You can be a good creative writer,” kataku.
     Sejak itu Z banyak bertanya ini itu untuk mengongsi pengalaman panjangnya.
     “Peringkat awal ini you boleh sumbang cerita untuk blog saya. Mahathir selalu berpesan, pegawai tinggi kerajaan yang sudah bersara sepatutnya berkongsi kepakaran melalui bentuk cerita. Cerita orang lebih suka baca daripada khutbah mengajar,” kataku.
     “Nak cari cerita itulah yang susah. Apatah lagi orang baru macam saya,” Z memberi alasan klise.
     “Cerita ada di sekeliling kita. Buat permulaan kongsi kisah peribadi. Tulis sejujurnya. Cerita biar keluar dari hati. Tak kurang penting, pasang niat cerita ditulis semata-mata kerana Allah. Secara sedar blog saya bukan medan membongkar keburukan orang sebagaimana didakwa beberapa pihak. Hanya saya yang tahu niat kewujudan blog ini,” aku pula memberi khutbah panjang.                 
     Maka bermulalah kembara. Z mula menulis dan ini antara catatan awalnya yang dihantar pagi ini.
Episod Awal
Pada suatu tengahari, di sebuah gerai makan kampung (itulah yg aku mampupun), aku  melamar kau;
     “Sudikah kau menjadi sahabat yang agak istimewa (antara dua insan yang berlainan jenis) bukan antara bos dan stafnya. Jangan jawab dulu,”kataku.
     Tak sampai satu jam selepas itu kau sudah memberi  isyarat  merestui persahabatan itu.
     “Sudah lupakah kau saat-saat yang begitu penting itu, iaitu pertemuan yang kini menjadi sesalan dan igauan. Ya, mengapa ada pertemuan itu, dan kini aku tak mampu menghadapi  perpisahan.”
Episod kedua
Masa  beredar,  perjalanan  kita semakin jauh... jauh... jauh... Kita bukan sahaja mengembara di alam nyata; Kuala Lumpur, Shah Alam,  Ipoh, Alor Setar, Melaka, Kuantan, Johor Baharu, Pulau Pinang, Pulau Langkawi, Kuala Lipis, Temerloh, Pelabuhan Klang,  Petaling Jaya,  Shah Alam, Lumut,  Batu Pahat,  Muar,  Port Dickson, Tampin, Sepang,  Salak Tinggi, Nilai, Bahau, Gemas...
     Semua itu adalah antara tempat yang kita pernah berada. Ada banyak lagi tetapi dalam negeri sahaja kerana untuk keluar negara aku tidak punya wang.
     Bagaimanapun kau pernah keluar negara juga, dimana aku telah memberi  sedikit belanja tambahan.
     “Sudah lupakah kau saat-saat dan tempat-tempat yang kita pernah lawati itu? Sudah lupakah kau betapa bahagianya kita ketika itu? Ya, mengapa ada pertemuan pertama dan perjalanan itu, dan kini aku tak mampu menghadapi  perpisahan ini.”

* Catatan
Tulisan Z dipetik bagi membuktikan bahawa tulisan yang keluar dari hati, berjiwa sifatnya. Bagaimanapun moral ceritanya tidak Islami (istilah Ainon Mohd). Catatan ini bagi menjawab soalan yang sering ditanya oleh mereka yang meminati bidang penulisan tetapi mereka terbelenggu dengan mitos, “Susah nak cari cerita.” – sedangkan cerita ada di sekeliling kita.
Catat Ulasan