Budak-budak sastera dulu memang berkualiti. Sistem SRP menyaring
pelajar-pelajar untuk naik ke tingkatan 4. Subjek sastera tidak dimasukkan
dalam jadual biasa. Guru sastera akan mengajar pada waktu petang selama dua
waktu. Teks yang digunakan antaranya ialah karya Khadijah Hashim, Badai Semalam. Ingat lagi watak Mazni
dan Zaki, kisah cinta tak kesampaian, kisah kekuatan semangat untuk belajar
mencari ilmu.
Oleh kerana saya bersekolah di sekolah perempuan yang berprestij
di bandar Ipoh, aliran sastera biasanya dianggap aliran kelas dua. Sekarang pun
barangkali masih begitu. Saya anak kampung yang miskin. Dalam kalangan
rakan-rakan seasrama, ada yang datang daripada keluarga berada. Kadang-kadang
(selalu sebenarnya), saya tidak dapat lari daripada rasa rendah diri. Mereka
bijak Matematik, lancar berbicara dalam bahasa Inggeris. Saya pula hanya
dikenali kerana bakat penulisan yang Allah berikan kepada saya. Itu sahaja.
Tapi saya enggan mengalah kerana kekurangan-kekurangan itu.
Selalu saya katakan kepada anak-anak. Saya asalnya bukan pelajar bijak. Tetapi
saya sangat degil. Mujurlah kedegilan itu untuk hal-hal yang positif. Saya
keraskan hati untuk tinggal di asrama. Saya menangis merindukan emak, saya
selalu kekeringan wang dan hanya mengharapkan wang biasiswa. Tetapi saya tetap
degil!
Kawan-kawan saya ada yang cabut balik kerana tidak tahan.
Kemudian saya menyambung pengajian ke tingkatan enam, juga di
sekolah berprestij. Saya menekuni Keluarga
Gerilya, buah tangan almarhum Pramoedya Ananta Toer. Saya hafal ayat-ayat revolusiner
Bapak Pram. Dalam kesedihan melihat ayah yang sakit teruk dan emak yang kurus
kering mencari nafkah, saya terus dengan kedegilan saya mahu mendaki puncak
menara gading.
Di universiti juga saya berdegil. Saya mahu mengikuti Kursus
Penulisan Kreatif dan Deskriptif, walaupun asalnya saya mendapat tawaran Kursus
Sejarah. Berulang-alik saya ke kolej kediaman dan pejabat fakulti dalam terik
matahari kerana mahu mengambil keratan akhbar dan majalah yang pernah
menyiarkan tulisan saya. Kedegilan saya itu akhirnya memberi makna. Saya
berjaya.
Begitu juga ketika mahu
mengikuti pengajian sarjana. Anak-anak masih kecil. Gaji saat itu juga tidak
banyak, cukup makan sahaja. Saya pula ada masalah peribadi yang kritikal. Tapi
degilnya saya, mengangkut anak ke sana sini demi menggapai ilmu. Tujuannya
supaya anak-anak dan ibu bapa saya berbangga. Menjadi teladan kepada anak-anak
dan memberi tanda terima kasih saya kepada orang tua sementara mereka masih
hidup. Syukurlah arwah ayah masih ada saat saya menggenggam sarjana.
Sekilas difikirkan, untuk apa saya lakukan semua itu. Hal-hal
kemegahan dunia yang semakin dikejar semakin jauh larinya?
Tetapi Allah menuntut kita mengimbangi dunia sini dan sana. Jika
saya melebihkan dunia sini, ampunilah saya ya Allah. Segala apa yang kita kejar
di sini, seharusnya menjurus pula ke arah kebaikan di dunia sana.
Apa yang saya mahu tekankan ialah faktor kedegilan. Jika degil
itu bertempat, maka ada sesuatu yang baik sedang menanti kita.
Pernah juga saya berdegil untuk perkara yang tidak sepatutnya
dan saya telah mendapat akibat daripada kedegilan saya itu.
Ketika tukang gunting rambut menggunting rambut saya, dia selalu
menegur pusar yang ada di kepala saya. Katanya, "you ni degil
ya?". Saya angguk. Habis, apa daya saya jika telah ditakdirkan pusar itu
demikian sifatnya wujud di kepala saya. Bagaimana mungkin saya berkuasa
menentukan kewujudan benda-benda seperti itu?
Itu kepercayaan orang-orang Melayu, yang sesetengahnya selalu
bersifat perasan hebat walhal "habuk pun tarak...”
Pokoknya, degil biarlah bertempat. Kalau suka memanjat pokok,
pastikan pokok yang dipanjat itu ada buahnya. Supaya emak yang melarang kita
memanjat pokok, sejuk hatinya tatkala kita menghulurkan buah. Jangan memanjat
pokok kelapa yang bekerengga. Silap haribulan, dua tiga harilah kita berkampung
di hospital.
Degil tidak mengapa. Tapi jangan biadap...
Oleh: Ratna Laila Shahidin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan