Hari ini
tanggal 3 Oktober 2011. Aku mendapatkan perkhidmatan membasuh kereta
Kelisaku di Bengkel Tuk Chin Kampung Bongek. Kelisaku nombor pendaftaran WJS
7528 sudah satu bulan tidak mandi. Pada
petang itu juga, aku ke Petrol Pump
Shell mengisi angin tayar kereta yang kempis.
Tatkala, aku terbongkok-bongkok mengisi angin tayar
belakang, tayar yang terakhir.
Tiba-tiba sebuah kereta Proton Aeroback warna kelabu, bernombor pendaftaran ABS 7345
berhenti di belakang keretaku. Aku menoleh ke arahnya. Aku dapati dua orang gadis genit berusia lingkungan 20-an berada dalam kereta
tersebut.
Pemandunya, seorang gadis Melayu berseluar jean biru tanpa bertudung,
keluar dari kereta tersebut. Gadis berkulit cerah itu kelihatan ceria
dan mempesonakan mata yang memandangnya. Ia mendebarkan jantungku.
“Tuk, boleh tolong tak?” tiba-tiba gadis itu
bersuara. Wajah gadis itu kelihatan begitu mesra sekali. Air muka manis bersama
senyum yang menarik.
Aku terperanjat. Ini lah kali pertama
seorang gadis genit memanggil aku ‘Atuk’ . Mengapa dia panggil aku ‘Atuk’ ?
Adakah dia anak mana-mana saudara mara
aku? Adakah tua sangat aku daripada kaca mata gadis itu.
“Adakah gadis ini cucu aku? Tetapi anak
siapa?” pelbagai soalan berlegar dalam fikiranku.
“Tolong apa? ” tanyaku spontan.
“Tolong isi minyak,” jawabnya cepat hingga
tersasul kata.
“Minyak sana,” jelasku sambil menunjuk ke arah pam minyak petrol yang tidak jauh dari
situ.
“Tolong isi angin Tuk, bukan minyak,” jelasnya
sambil ketawa kecil apabila menyedari kesilapannya.
“Saya tidak tahu, Tuk, tolonglah Tuk,” rayu
manja gadis itu lagi.
“Pakai kereta pandai, isi angin tak tahu,” perliku. Adakah
gadis itu sengaja hendak mempermainkan aku.
“Tolonglah Tuk,” rayu gadis itu. Kawannya
yang berada di dalam kereta ketawa.
“Ok, mari saya tunjukkan,” pintaku untuk
mengajar dia.
“Itu 29 , tetapi keretaku 30,” gadis itu minta ditukar bacaan meter pam angin itu.
Aku menekan
butang kawalan meter menjadikan 30.
“Ok, tekan dan masukkan,” arahku supaya dia
menekan pam angin ke tayar keretanya.
Gadis itu ketawa bila mendengar konotasi
tersebut. ” Adakah menyeleweng pemikiran
gadis itu?” tanya hatiku.
“Tak mahu dia Tuk… tak masuk pun. Ok, mahu
dah,” katanya.
“Kau orang mana?” tanyaku. Aku cuba ‘jual
minyak’. Aku tidak pernah bertemu dengan gadis daerah ini semesra dan selincah itu dengan orang yang
tidak dikenali. Aku fikir mereka tentu gadis luar. Aku fikir mungkin gadis
Perak kerana nombor pendaftaran keretanya.
“Kundor Tuk,” jawabnya ringkas. Aku
terperanjat kerana Kundor sebuah kampung terpencil. Soalan, “Kundor mana? Kundor Ulu atau Kundor
Hilir,” tidak kesampaian, tidak keluar dari mulut aku. Hatiku berkata ada juga
gadis cantik yang lincah di Kundor ini.
“Nak pergi mana cantik-cantik ini ?” tanyaku
lagi sambil memuji gadis tersebut.
“Nak pergi pekan,” jawab gadis itu riang dengan pujian itu. Dia hulurkan getah
paip gas itu kepada aku untuk diletakkan pada tempatnya kembali. Senyumannya
manis dan sungguh menyejukkan hati yang menerimanya.
“Satu tayar sahaja?” tanyaku lagi.
“Satu sahaja yang kempis ,” jawabnya sambil menuju ke keretanya,
“Terima kasih, Tuk,” ucap gadis itu.
Dia menghidupkan enjin kereta dan kereta
meluncur ke satu pam minyak yang ada monitornya. Aku berdiri tegak memandang gadis itu. Gadis itu
melambai pergi. Aku termenung memikirkan. Ini lah kali pertama setelah mencapai
usia 61 tahun seorang gadis genit menarik dan mendebarkan jiwa dan perasaan
memanggil aku ‘Atuk’ .
Mengapa gadis itu memanggil aku ‘Atuk’? Kalau ‘Pak Cik’ atau ‘Pak Mad’
seperti dalam kalangan bekas pelajar, biasalah dan aku boleh menerimanya. Mengapa tidak memanggil ‘abang’ sahaja, tentu
rasa muda. Hahahaha…! Jangan ketawa, ya.
Oleh: Mohammad Abd Ghani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan