Halaman

Rabu, 21 Ogos 2013

Hadiah Hari Kemerdekaan I

Kira-kira setahun yang lalu iaitu sehari sebelum hari kemerdekaan, aku telah didatangi oleh seorang gadis Cina yang menawarkan kad cabutan seakan-akan 'kad cabutan bertuah'. Kejadian itu berlaku ketika aku berada di dalam kereta sendiri untuk pulang ke rumah setelah selesai berurusan dengan sebuah bank.
    Sebaik saja aku memasuki kereta, si gadis Cina itu datang menghampiri dan terus menghulurkan beberapa keping kad berbentuk segiempat bujur dan bersaiz lebih-kurang seperti business card. Dia meminta aku memilih satu daripada kad-kad yang ada di dalam pegangan tangannya. 
    "Abang pilih satu kad, kalau ada nasib baik boleh dapat hadiah," katanya dalam Bahasa Melayu pelat kecinaan.
    "Hadiah apa?", tanyaku pula.
    "Macam-macam hadiah ada. Kalau abang ada luck boleh dapat kereta, tv, motorbike, dan cash pun boleh dapat," balas amoi tersebut.
    "Betul ke?," tanyaku lagi. Dalam masa yang sama tanganku telahpun mengambil sekeping kad yang dihulurkan.
     "Bukalah itu kad, boleh tengok betul ke atau tak betul", Amoi itupun menunjukkan caranya dan kemudian membantu aku mengoyakkan kad tersebut untuk melihat apa yang ada di dalamnya. Apabila kad tersebut telah terbuka, hanya perkataan Thank You yang tertera. Perkataan itu dicetak berwarna-warni dan kelihatan agak menarik.
    "Ayooo!, abang betul tak ada ong lah. Itu thank you maksud tak ada hadiah. Sorry ya, abang tak ada ong ma…,” katanya.
    "Ooo, itu macam ka? Lagi satu kali mau cabut boleh ka?," pintaku dengan harapan aku diberi peluang untuk membuat cabutan buat kali kedua. Mana tau kalau-kalau cabutan kali kedua nanti membawa tuah kepadaku.
    "Sorry abang, satu orang boleh cabut satu kali saja. Tapi, kalau kakak mau cuba cabutan, boleh," begitu penjelasan si amoi sambil matanya memandang ke arah isteriku yang duduk di sebelah kiriku.
    Seterusnya dia menambah lagi, "Mana tau kalau kakak ada ong, boleh dapat hadiah. Ini cabutan percuma untuk hadiah hari merdeka," katanya dengan dengan agak panjang-lebar. Dia cuba untuk meyakinkan isteriku supaya turut berminat dan seterusnya membuat cabutan sebagaimana yang telah aku lakukan.
    Isteriku mengeleng-gelengkan kepala sambil berkata "tak mau lah, you bagi orang lain, saya tak mau,” kata isteriku dengan nada yang tegas.
    Jawapan isteriku itu menyebabkan aku yang merasa terkilan. Aku tidak bersetuju dengan jawapan spontan yang diberikan oleh isteriku itu kerana peluang untuk mendapat hadiah telah disia-siakannya.  Apalah  salah dan apalah susahnya untuk mencabut sekeping kad sebagaimana yang telah aku lakukan. Begitulah di antara alasan-alasan yang  bermain di dalam fikiranku ketika itu.
    Dengan nada ala memujuk aku berkata, "Alaaahh! ambil saja lah, bukan susah sangat, bukan kena bayar, bukan rugi apa-apapun," beberapa ayat perangsang terkeluar dari mulutku dengan tujuan supaya si isteri turut mencuba nasib sebagaimana yang telah aku lakukan.
    Mungkin kerana sayangkan suami atau mungkin juga disebabkan dia seorang isteri yang sentiasa taat pada suami, maka isteriku turut mencabut sekeping kad sebagaimana yang telah aku lakukan. Kad yang dicabutnya itu terus dihulurkan kepada aku untuk urusan membuka dan melihat isi kandungannya.   
    Sebaik saja kad kedua itu terbuka, si amoi terus berteriak dengan suara yang agak lantang kedengaran, "Ayooo!  Kakak memang ada ong. Kakak sudah dapat hadiah!   Tahniah kakak! Kakak sudah dapat hadiah untuk hari merdeka."  Begitulah antara kata-kata gadis Cina itu yang kelihatan sangat gembira di atas kejayaan yang isteriku perolehi.
    "Hadiah apa?," aku mengeluarkan soalan bagi pihak isteriku yang kelihatan seperti tidak berminat dengan apa yang sedang berlaku. Dia tidak langsung menunjukkan  keterujaannya sebagaimana yang sedang aku alami ketika itu.
    "Saya tak tau hadiah apa. Itu 'bulatan warna merah' maksud ada hadiah. Mungkin kereta, mungkin tv, mungkin juga wang tunai," kata gadis Cina itu dengan penuh keyakinan sambil jari telunjuknya menghala ke arah bulatan kecil berwarna merah yang tertera di dalam kad cabutan yang kedua..
    "So, macam mana nak tau, itu hadiah apa?," soalanku seterusnya. Aku semakin berminat dan semakin teruja untuk mengetahui hadiah apa yang telah dimenangi.
    "Abang kena pergi ofis, jumpa dulu sama saya punya bos. Nanti tunjuk ini kad sama dia. Nanti saya punya bos boleh 'scan' itu kad, baru boleh tau apa hadiah yang kakak sudah menang". Demikian penjelasan si amoi yang membuatkan hatiku semakin teruja  untuk mengetahui apakah hadiah yang sudah kami menangi.
    Fikiranku ketika itu mula membayangkan hadiah-hadian yang bakal aku perolehi. Mungkin sebuah kereta, mungkin sejumlah wang tunai ataupun mungkin juga hadiah melancong ke luar negara?
    Hanya Tuhan yang tahu bagaimana seronoknya perasaanku ketika  itu  kerana dengan tidak semena-mena telah mendapat hadiah yang tidak diduga sempena hari kemerdekaan yang akan tiba esoknya.
    "Bila boleh jumpa you punya bos? Di mana ofisnya? Sekarang boleh tak?" Bertalu-talu soalan aku ajukan dengan harapan akan segera dapat bersemuka dengan bosnya  dan dengan seberapa segeranya aku dapat membawa pulang 'hadiah Hari Kemerdekaan'.
    "Nanti haa, saya call saya punya bos dulu," kata si amoi untuk mententeramkan sifat ketidaksabaran yang aku tunjukkan. Dia mengeluarkan handphone dari poket seluarnya dan kemudian terus bercakap dalam bahasa Cina yang aku tidak faham biji-butirnya. Seketika kemudian dia menoleh kepadaku dan memberikan jawapan yang aku nanti-nantikan.
    "Ok, bos kata boleh. Sekarang abang boleh pergi jumpa saya punya bos. Dia punya ofis sana depan saja. Tak jauh, jalan kakipun boleh," jelas si gadis sambil menunjukkan jarinya ke arah sederet bangunan kedai tiga tingkat yang boleh dilihat dari tempat kami berada.
    'Ok, saya mau jumpa sekarang. You ikut sekalilah. Mari naik saya punya kereta". Aku mempelawa gadis tersebut menaiki keretaku untuk ke bangunan yang dimaksudkan.
    Si amoi tersenyum sambil berjalan ke tempat duduk belakang keretaku. Isteriku pula sama seperti sebelumnya iaitu lebih banyak membisu daripada berkata-kata. Yang pasti, dia hanya mengikut sahaja segala keputusan dan kehendakku tanpa sebarang bantahan.
    Reaksinya itu memang bersesuaian sekali dengan sifatnya sebagai seorang isteri yang taat dan isteri yang penyayang.
    Dipendekkan cerita, kami bertigapun bergerak menuju ke sebuah bangunan kedai tiga tingkat di mana seorang bos sedang menunggu untuk memberikan 'hadiah Hari Kemerdekaan' kepada si penerima yang bertuah.

Oleh: Md Said Bidin
Catat Ulasan