Sebagai
manusia, apatah lagi ketika itu di zaman kanak-kanakku, kita tidak menjangkakan
ada ketikanya tercapai juga hajat dan hasrat, malah lebih dari keinginan lalu
yang dapat kita perolehi.
Seingat aku di zaman sekolah dulu, apabila
ada kunjungan Menteri Besar di sekolah, pengumuman akan dibuat oleh pihak
sekolah untuk maklumkan kepada pelajar-pelajar.
Ketika itu aku begitu teruja untuk berjumpa
dengan Menteri Besar, lantas aku terfikir sendiri, “Dapat tak agaknya aku pandang
muka Menteri Besar tu dari dekat atau dapat tak agaknya aku bersalam dengan
dia?”
Bila tiba harinya, aku tidak mahu
ketinggalan untuk sama-sama berdiri dengan pelajar-pelajar lain untuk
bersalaman dengan tetamu VVIP yang ditunggu-tunggu. Hajatku agar dapatlah
kiranya aku ditegur sapa dan kalau tidak pun bersalaman. Kalau paling bertuah
pun dapat melihat dari jarak dekat wajah Menteri Besar.
Tapi nasib tidak menyebelahiku, tiada
sedikit ruangpun untuk aku mencelah ketika itu, kerana semuanya telah dibooking awal oleh pelajar lain, dan
masih ramai lagi yang berebut-rebut mahu berdiri di bahagian paling hadapan,
agar dapat bersalaman.
Sudahnya hajat dan hasratku tidak
kesampaian, aku agak kecewa juga, lantas berkata dalam hati, “Siapalah aku nak
dipandang oleh orang penting seperti dia, apatah lagi aku cuma anak kecil yang
bukan dari kalangan anak seorang pelajar yang ayahnya adalah orang penting sama
ada guru besar, guru ataupun barisan kepimpinan sekolah mahupun PIBG di sekolah
berkenaan dan bukan pula seorang pelajar yang terpilih sebagai pelajar
cemerlang?
Lantas aku beredar dan cuma dapat melihat
dari jauh dan dapat mendengar ucapanpun sayup-sayup saja.
Namun, kecewaku yang dulu, rupanya terubat
juga, apabila ketikanya kini, aku berpeluang bertugas di Pejabat Menteri Besar
dan boleh dikatakan kerap juga dapat berjumpa dengan pemimpin negeri yang
bergelar Menteri Besar. Walaupun lain nama dan orangnya ketika ini berbanding
di zaman sekolahku dulu, namun gelaran ulungnya tetap seorang pemimpin dan
seorang Menteri Besar.
Kalau sebelumnya cuma seorang wartawan yang
kerap juga bertanyakan pelbagai soalan kepada Menteri Besar yang memimpin
negeri, tapi kini berpeluang pula bertugas di bawah arahannya dan sering kali
mengikuti program-program rasmi beliau.
Pada ketika inilah, setiap kali ada
program-program Menteri Besar di sekolah-sekolah ataupun bersama dengan
pelajar, aku akan teringat zaman sekolahku dulu. Lantas, aku pernah merasai
saat-saat itu seperti mana bila aku melihat pelajar-pelajar yang begitu teruja
untuk menemui pemimpin negeri ini.
Oleh: Juriyati Mat Jalil
Tiada ulasan:
Catat Ulasan