Halaman

Selasa, 13 Ogos 2013

Tamu Tak Diundang

Cikgu SNMN mendapat Kursus Asas Perguruan dalam bidang TESL di Maktab Perguruan Perempuan Melayu (MPPM) Melaka. Setelah 10 tahun berkhidmat, beliau meninggalkan perkhidmatan dengan kerajaan di Sekolah Rendah Convent, Seremban. Kemudian berkhidmat dengan institusi pendidikan swasta seperti Institut Iqra, Kolej Legenda, Uniten, Prestariang Technology dan kini dengan satu perunding pendidikan di Kuala Lumpur, sejak tiga bulan lepas.
    Sejak itu, SNMN, berulang alik Seremban-Kuala Lumpur dan sering balik lewat. Suatu hari SNMN balik kerja dari KL,  hari sudah jauh malam. Kebiasaannya, dia memandu seorang diri tanpa ada perasaaan takut. Tiba-tiba apabila masuk sahaja kawasan Nilai, telefon bimbit yang diletak di tempat duduk sebelah kiri menyala bercahaya tetapi skrinnya kosong!
    “Hairan. Aik, tidak pernah pula berlaku sebelum ini,” fikirnya.
    “ Aku terus memandu sambil teringat kisah pengalaman cikgu Mohammad Abd Ghani yang dilanggar dengan sesuatu yang ‘invisible’ sehingga pecah cermin tepi bahagian hadapan kiri,” kata lamunan SNMN.
    Kebetulan berlaku, ketika  tiba betul-betul di depan pintu masuk 'Nilai Memorial Park' (Kawasan perkuburan Cina ) sekali lagi telefon bimbit itu menyala dengan skrin kosong!
    Dalam hati SNMN berkata  "Eeiiii biar betullll!!! Siapa tetamu yang tidak diundang, miss call itu.”
    Penceritaan SNMN itu  didorong oleh penceritaan aku sebelum itu dalam Wall FB, Ex-MPPM 87/89. Peristiwa yang aku alami juga menyeramkan kerana seolah-olah ada tetamu yang tidak diundang mengganggu perjalananku.
    Pada satu malam, aku terpaksa mengambil ‘orang rumah’ di Taman Tuanku Jaafar, yang baru kembali dari Taiping bersama adiknya. Jam sudah menunjukkan pukul 10.00 malam. Aku berfikir jalan mana yang harus aku ikut , Jalan Raya Seremban-Tampin yang banyak lampu trafik atau Jalan Rembau-Sepri-Pedas yang agak gelap dan sunyi.
    Aku memilih Jalan Rembau-Sepri-Pedas yang lebih mudah dan cepat. Aku memandu seorang diri dan berasa gerun juga kerana banyak cerita seram diceritakan oleh pengguna jalan tersebut pada waktu malam.
    Satu cerita pengalaman seorang pemuda memandu seorang diri ditumpangi oleh seorang makhluk yang tidak diundang dari satu lokasi berhampiran dengan perkampungan orang Asli di Chembong Ulu.
    Apabila sampai di rumah pemuda itu, makhluk tersebut tidak berkata sepatah pun dan tidak turun dari kereta. Pemuda itu memberanikan diri, memusing keretanya dan menghantar balik makhluk tersebut di Kampung Chembong Ulu.
    Aku ingat peristiwa itu, sejak mula memandu melalui jalan tersebut. Aku berasa gerun dan seram. Namun memberanikan diri juga. Sepanjang perjalanan itu, aku sentiasa berzikir dan membaca Al-Fatihah berulang kali, dengan harapan tidak diganggu oleh tetamu tidak diundang.
    Ketika berada berhampiran kampung orang Asli Chembong Ulu,  tiba-tiba bunyi dentuman kuat melanggar kereta dan sangat memeranjatkan aku.
    Dentuman kuat itu menyebabkan cermin tingkap kiri dan 'side mirror' kiri pecah berderai. Hairan; tiada batu, kayu, atau manusia. Aku melanggar sesuatu atau aku dilanggar sesuatu, aku tidak pasti kerana lokasi itu gelap.
    Apa yang pasti cermin tingkap kiri pecah berderai dan percikan kacanya  mengenai aku. Namun, aku terus memandu keretaku  hinggalah ke Taman Tuanku Jaafar.
    Persoalan dalam pemikiranku  hingga kini ialah, apa atau siapa yang dilanggar atau melanggar kereta aku. Adakah penumpang yang tidak diundang itu melanggar keretaku. Yang pasti tidak ada apa-apa kesan di lokasi apabila aku pergi tengok pada siang hari keesokan harinya. Hingga kini menjadi tanda tanya aku, siapakah tamu yang tidak diundang mengganggu SNMN dan aku pada malam-malam tersebut.


Oleh: Mohamad Abd Ghani
Catat Ulasan