Sabtu, 10 Ogos 2013

Profesor Yang Dilupakan

Pagi itu aku menghantar anak, Khairul Rizal yang mengalami internal bleeding sejak kecil hingga berusia 20 tahun, menghadiri temujanji pemeriksaan ulangan dengan doktor pakar, Hospital Universiti Kebangsaan (HUKM) di Bandar Tun Razak.
    Ketika duduk di ruang menanti, terpandang seorang tua bertongkat dan dipimpin oleh isterinya. Jam di dinding ketika itu menunjukkan pukul 10.00 pagi. Kami sama-sama menunggu giliran menemui doktor pakar di Klinik 2. Setelah tiga jam berlalu barulah sampai giliran anakku  dan orang tua itu tetapi bilik yang berlainan.
    Kemudian, aku duduk di kerusi ruang legar, menunggu anak mengambil ubat di Pusat Farmasi. Orang tua tersebut turut melabuhkan punggung di kerusi yang sama di sebelah kiriku. Wajahnya lembut, air muka jernih dan lembut diiringi dengan senyuman memandang ke arahku.
    “Tan Sri,” tegurku sambil menghulurkan tangan bersalaman dengannya. Aku sangka beliau telah bergelar Tan Sri.
    “Saya bukan Tan Sri, abang saya Tan Sri,” jelasnya lembut membetulkan kesilapanku. Abang beliau yang dimaksudkan ialah Allahyarham Prof Tan Sri Ainuddin Wahid,  mantan Naib Cancelor UTM.
    “Isteri pergi ambil ubat di Pusat Farmasi,  saya tidak larat,” terangnya.
    “Dato sakit apa?” aku tanya. Aku guna gelaran yang sepatutnya.
    “Parkinson,”  jawabnya lembut. “ Sudah lama dan sekarang bertambah baik,” jelas beliau.
    “Encik bekas pelajar  UKM, pernah saya ajar,” kata dan sangkaannya.
    “Tidak Dato’, saya lepasan UPM,” jelasku.
    “Lama tunggu Datuk?,” tanyaku bersama rasa simpati kerana tempoh menanti yang menyiksakan bagi tokoh yang uzur itu.
    “Tak mengapa, orang ramai,” jawabnya merendah diri.
    Ketika itu, isu Pengajaran Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggersis (PPSMI) sedang hebat diperkatakan oleh tokoh-tokoh pejuang Bahasa Kebangsaan. Aku cuba mencungkil pandangan beliau tentang isu yang hangat diperkatakan ketika itu.
    “Bagaimana kemampuan Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik?,” tanyaku terus-terang segera.
    “Mengapa tidak yakin dengan Bahasa Melayu. Prof Dr Shahril Md Zin, pakar Matematik pun aliran Bahasa Melayu dan ramai lagi,” katanya kesal. Jelas, jawapan itu membuktikan beliau tidak menyokong PPSMI. Satu jawapan yang dalam maknanya.
    Aku berasa kesal dengan layanan yang diterima oleh Prof Zainalabidin yang uzur dibiarkan menunggu giliran pemeriksaan kesihatan lebih tiga jam. Dalam fikiranku, mengapa pentadbiran UKM tidak menghargai jasa Prof Zainalabidin kepada UKM. Sepatut pentadbiran UKM, khusus HUKM memberi kemudahan atau layanan istimewa kepada Prof Zainalabidin mendapat rawatan dan pemeriksaan  sebagai mengenang dan menghargai jasa beliau memperjuangkan penubuhan UKM.
    Tanpa  Prof Zainalabidin bersama lima orang rakannya yang lain secara sukarela dengan tenaga dan  berkongsi wang ringgit, membincang penubuhan UKM sehingga menjadi kenyataan.
    Aku jangka ramai generasi UKM hari ini tidak menyedari dan menghargai Prof Zainalabidin  bersama-sama sekumpulan tenaga akademik di Universiti Malaya merupakan kumpulan kecil yang mula-mula membicarakan dan membayangkan sebuah universiti yang dapat dilahirkan sebagai sebuah Universiti Kebangsaan.
    Antara tokoh yang berada bersama-sama Prof Zainalabidin dalam kumpulan ini ialah, Profesor Tunku Shamsul Bahrin, Profesor Syed Husin Ali, Profesor Abu Bakar Hamid, Profesor Mohd Ghazali Abdul Rahman dan Mohd Zain Majid (kini Datuk).
    Bahkan satu ketika, Profesor Zainalabidin dan Profesor Tunku Shamsul Bahrin, memberi bimbingan tambahan kepada kumpulan pelajar Melayu secara sukarela ketika itu mengalami kesukaran mengikuti pembelajaran dalam bahasa Inggeris. Tambahan pula, pada ketika itu tiada buku teks dalam bahasa kebangsaan.
    Tokoh-tokoh akademik ini ternyata sangat berani dalam  melahirkan buah fikiran malahan keyakinan tatkala kebanyakan tokoh akademik lain masih sangsi akan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat universiti. Akhirnya satu perjumpaan telah diadakan pada 28 Ogos 1968 dengan dihadiri oleh tokoh-tokoh Melayu dari pelbagai latar belakang kerjaya dan fahaman politik hadir dengan satu misi dan visi untuk melihat sebuah Univerisiti Kebangsaan ditubuhkan.
    Aku sungguh kesal dan sakit hati mengenangkan peristiwa itu. Dalam satu pertemuan dan memberi ceramah,’ Asal Usul Kampung Selemak’ dengan kira-kira 100 pelajar UKM dalam satu Program Khidmat Masyarakat, Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (PEMANIS) UKM di kampungku, Kampung Selemak, Rembau, aku menimbulkan soalan adakah mereka mengetahui dan mengenali siapa pengasas sukarela penubuhan UKM.
    Malang, tidak ada seorang pun yang memberi jawapan betul. Aku bercerita dan berpesan kepada Majlis Perwakilan Pelajar UKM supaya menyuarakan cadangan memberi keistimewaan rawatan dan pemeriksaan kesihatan kepada enam tokoh tersebut yang masih hidup, termasuk Prof Dato Zainalabidin.
    Sejenak bersama tokoh berjasa yang lembut, sopan, dan merendah diri itu,  aku dapat menyelami hati budinya dan perjuangan bahasa Melayu dan pendidikan orang Melayu yang diperjuangkanya. Semangat perjuangannya yang luhur terserlah sejak usia mudanya dan tetap menyala dan membara hingga berusia emas.
    Di mana generasi muda Melayu hari ini? Adakah perjuangan mereka bermatlamatkan perjuangan agama Islam, bangsa Melayu, bahasa Melayu dan negara Malaysia. Aku kabur kerana kepentingan diri, materialistik, kekuasaan lebih menyerlah diiringi dengan 1001 persepsi.

Oleh : Mohamad Abd Ghani

Tiada ulasan: