Halaman

Isnin, 12 Ogos 2013

Saman




Setiap Khamis pagi saya bersama ‘orang rumah’ ke Pasar Tani Tampin untuk beli bekalan lauk-pauk untuk  seminggu. Saya pergi jam 8.00 pagi dan akan balik kira-kira satu jam kemudian. Rutin mingguan ini telah berjalan lebih  enam tahun, mudahnya selepas bersara.
     Tetapi pada  Khamis 25 Julai 2013 agak malang. Dalam perjalanan pulang, saya di tahan oleh polis trafik Rembau di hadapan Sekolah Kebangsaan Chengkau kerana tidak memakai tali pinggang keledar.  
     Kira-kira satu kilometer  dari lokasi, sebuah kereta telah memberi kerlipan  isyarat lampu. Aku cepat-cepat dan terkial-kial mengenakan tali pinggang keledar. Pada masa yang sama seorang anggota polis yang menyamar di satu perhentian bas dekat persimpangan ke Kampung Chengkau Ulu  telah memerhati dan melaporkan melalui  walkie-talkie ke sepasukan anggota polis yang membuat sekatan.
     “Kami menjalankan operasi, encik!,” kata anggota polis berpangkat koperal itu.
     ”Encik tidak memakai tali pinggang keledar.” Pada masa itu saya telah pun mengenakan tali pinggang keledar.  Saya tersentak dan mulut menjadi bisu dan tidak berkata apa-apa kerana sedar melakukan kesalahan trafik.
     “Lesen Encik,” minta koperal  itu lagi. Saya terkial-kial cemas mengeluarkan lesen memandu  daripada kotak dalam kereta lalu menghulurkan lesen memandu kepada anggota polis tersebut.
     Saya tidak merayu bukan sahaja kerana terperanjat tetapi saya lebih rela disaman daripada ‘menghulur’ sogokan kepada anggota polis tersebut. Saya bukan sahaja kasihan pada diri saya tetapi kepada anggota dan keluarga anggota polis tersebut kerana perbuatan itu berdosa dan haram memakan hasil rasuah.
     “Encik boleh membayar kompaun di mana-mana balai polis,” katanya sambil menghulurkan lesen memandu saya bersama surat saman. Saya terus bisu menerima saman itu. Saya tatap surat saman itu, dikeluarkan oleh Koperal 119578, Shari Mamat.
     Saya terus memandu semula. ‘Orang rumah’ di sebelah kiri menjeling seolah-olah memperli kesalahan trafik yang saya terima.
     “Suruh orang pakai, ingat. Tapi diri sendiri tak pakai,” katanya.
     “Malang. Sudah nak malang,” jawab saya  ringkas.
     Saya menganggapnya malang kerana tidak pernah polis trafik membuat operasi pada waktu sebegini dan tidak pernah menahan kenderaan dari arah Tampin. Kebiasaanya dari arah Seremban.
     Ini lah kali kedua saya kena saman/ kompaun trafik setelah lebih 30 tahun memegang lesen memandu. Ketika itu perasaan berbaur lucu ada, kecewa ada, kesal pun ada. Lucu kerana mulut terkunci untuk jual temberang. Kecewa kerana duit bonus akan hangus kerana membayar saman atau kompaun. Kesal kerana sengaja melanggar peraturan lalu-lintas.
     “Habislah bonus RM250.00 dikutip balik oleh kerajaan,” kata hati saya. 
     Kali pertama, saya menerima saman trafik kira-kira 15 tahun lalu berhampiran Taman Tasik Tampin dalam perjalanan dari Rembau ke Bandar Tampin. Kesalahan trafik iu ialah penggunaan cermin gelap pada cermin sisi tiga segi  kiri-kanan, di bahagian belakang.
     Ketika itu sekatan jalan raya oleh polis trafik daripada anggota polis hutan  yang diserap dalam polis trafik. Saya fikir  anggota polis itu bodoh dan tidak tahu tujuan larangan penggunaan cermin gelap. Saya berpendapat undang-undang penggunaan cermin gelap hanya  menjadi kesalahan  jika tidak nampak orang di dalam kereta. Sebaliknya, asalkan penggunaan cermin gelap menjadi kesalahan.
     Betulkah undang-undang  itu?  Saya jumpa Ketua Trafik Tampin, Inspektor Rukbi,  yang kebetulan kawan (guru sementara) ketika mengajar di SMK Mengkarak, Pahang. Pegawai polis itu menjelaskan saya salah dan dikenakan kompaun sebanyak  RM30.00.
     Sebaliknya, pada kali ini, saya hendak jumpa siapa pula? Harap-harap, jangan sampai habis duit bonus membayar kompaun trafik itu. Hahahaahaaaaaaaaaa!

Oleh: Mohamad Abd Ghani

Catat Ulasan