Jumaat, 9 Ogos 2013

Parkirnya RM60.00, 22 minit!

Kami sepakat untuk pusing-pusing Brisbane pada hari akhir kunjungan ke Australia kali ini. Sejak tiba di kota ini Ahad lalu, kami cuma bermalam di sebuah hotel bajet berhampiran lapangan terbang, sebelum berangkat ke Gold Coast, destinasi utama kunjungan keluarga kali ini.
    Setelah memandu kira-kira 90 Kilometer melalui Motorway 1, kami tiba ke destinasi yang telah diarahkan kepada alat GPRS yang dipasang di kereta; Queen Street.
    Menurut brosur yang kami baca, Queen Street adalah antara kawasan membeli-belah di Brisbane yang turut menempatkan kedai bebas cukai.
    Memandangkan tiada parkir tepi jalan yang kosong, menantuku Abdullah Adiel terus memandu masuk ke parkir Myra, sebuah pusat membeli belah di situ.
    Hanya sewaktu hendak mengambil tiket parkir, dia terbaca kadar parkir yang dikenakan.
    “Macam mana? Kadar parkir AUSD5 20 minit pertama. Naik AUSD20 pada jam berikutnya,” katanya sambil mencari tempat kosong.
    “Kalau kita terus keluar?,” tanya isteriku.
    “Kalau terus keluar, tetap kena bayar AUSD5 juga,” kata Adiel.
    Kami terus memutuskan untuk melihat-lihat beberapa kedai rangkaian yang ada di situ, Coles dan Target dan akan keluar selepas 20 minit dan mencari parkir di luar.
    Menurut anak sulungku Siti Haryati yang pernah berkunjung ke Australia sebelum ini harga barangan di kedua-dua rangkaian yang berselerak di seluruh Australia ini bermutu dan murah.
    Bagi kami yang baharu mengenali kedua-dua rangkaian ini ingin sangatlah mengunjunginya. Sebelum ini nama Coles dan Target tidak ada dalam kamus kami. Kalau Woolworth, Sainsbury, Tesco dan Aldy banyak di United Kingdom.
    Ternyata barangan yang dijual di Coles lebih murah dan ini menarik perhatian anak keduaku, Siti Atiqah.
    Atiqah yang memang gemar membeli pakaian desain terkini tertarik dengan jaket dan blaus yang ada di situ.
    “AUSD10 sahaja ibu,” aku terdengar dia memujuk ibunya. Oleh kerana lampu hijau sudah diberikan ibunya, Atiqah terus leka membelek.
    Sewaktu berkejar turun ke tempat letak kereta selepas membuat bayaran pakaian dibeli, masa yang ditunjukkan di mesin parkir 22 minit.
    Jadi caj yang dikenakan AUSD20 iaitu kira-kira RM60.00.
    Sewaktu Atiqah membelek baju yang dibeli dengan beria-ia mengatakan ianya murah, aku tak sampai hati mengatakan ianya bukanlah murah jika dicampurkan dengan duit parkir yang dikenakan untuk membeli baju itu.

Tiada ulasan: