Jumaat, 30 Ogos 2013

Manggis oh Manggis… Mengungkap Nostalgia Silamku

Melihat hidangan buah manggis di meja makan pada majlis jamuan Hari Raya anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, mengingatkan aku nostalgia lalu di zaman kanak-kanakku.
    “Tay, tolong dekatkan piring yang ada buah manggis tu pada akak. Akak nak ambil gambar lah,” kata ku pada salah seorang wartawan dari China Press.
    Tay lantas menghulurkannya pada ku lalu bertanya, “ Kakak, untuk apa ambil gambar ini buah? makan saja lah.”
    Ketika itu di kalangan wartawan dan jurugambar yang duduk semeja saling berpandangan kehairanan.
    “Ermmm...nanti akak story dalam facebook ye,” kataku sambil tersenyum.
Memulakan kisah, di sebuah perkampungan yang bernama Kampung Dusun Nyior yang terletak di pinggir bandar Seremban, ayahku menyewa sebuah rumah yang agak uzur untuk kami sekeluarga berteduh.
    Adik beradik ramai makan ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Ayah bekerja sebagai buruh, duit gaji yang diperolehi setiap bulan pun, cuma cukup-cukup makan jer, belanja sekolah pun 10 sen seorang. Kalau nak beli makanan yang lebih dari harga duit yang diberikan, terpaksalah berusaha sendiri.
    Nasib baik di sekeliling kawasan rumah sewa kami, terdapat banyak pokok manggis. Setiap kali musimnya, tuan sewa rumah akan bercakap kepada saya,
    “Yati, kalau nak duit, poie gait buah manggis yang masak tu dan poie jual, nanti nenek bagi upah 10 sen setiap 10 biji yang berjaya dijual,” kata Nenek Bedah kepada ku.
    Aku apa lagi, menyahut suruhannya tanpa bertangguh. Aku mula belajar panjat pokok manggis. Pokok yang mula-mula aku berani panjat adalah pokok yang mempunyai tunggul banyak pada batangnya kerana itu akan memudahkan aku meletakkan tapak kakiku sebelum terus berjaya tanganku dapat mencapai di salah satu dahan pokok berkenaan untuk berpaut selesa.
    Setelah pandai memanjat, sebelum memulakan operasi mengait buah manggis, aku akan sediakan terlebih dahulu galah pendek dan gendong dari kain guni.
    Selalunya setiap cuti sekolah aku akan bangun awal, dan pergi mengait buah-buah manggis di sekeliling kampung. Sebaik saja buah manggis dapat dikumpulkan, Nenek Bedah akan mengikat buah manggis itu dengan membahagikan sebanyak 10 biji setiap satu ikatan untuk aku jual dengan harga 50 sen seikat.
    Tanpa berlengah, aku akan membawa bakul yang penuh dengan buah manggis yang hendak dijual dengan pergi dari sebuah rumah ke sebuah rumah.
    “Manggis...manggis....50 sen seikat…,” jeritan ku setiap kali mendekati kawasan rumah sewa di luar kampung.
    Sasaran aku di situ sebab, emakku ada berkata, “Ko poie jo kat rumah-rumah sewa tu, sobab askar ramai menyewo kat situ. Kalau pun askar tu tak ado, anak bini eh ado.”
    Bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam... bila puas menjerit, tidak ada seorang pun yang sudi membeli manggis yang aku jual. Usahkan nak keluar dari rumah, nak menjengok dari tingkap pun, tak ada sorang pun yang sudi.
    Sudahnya aku akan mengetuk pintu dari satu rumah ke satu rumah. Kalau ada yang membelinya pun secara terpaksa atas dasar kasihan. Nak tak nak terpaksa juga mereka beli bila dah terbuka pintu. Tapi untuk jualan pertamaku tidak mendapat hasil yang lumayan, dari 10 ikat, cuma dua ikat saja yang laku.
    Malamnya, aku berfikir sendiri, macam mana nak buat buah manggis yang ku jual itu boleh laku habis sehingga kosong bakul yang kubawa.
    Lantas aku dapat idea, pergi ke tempat Cina membancuh simen untuk buat longkang konkrit yang ketika itu terletak di Kampung Sungai Landak.
Di tengah terik matahari itu, aku terus menuju ke kawasan yang di sasarkan, ternyata manggis yang kujual habis dibelinya, kerana mereka amat suka buah manggis bagi menghilangkan dahaga apabila bekerja di tengah panas. Akupun apa lagi, balik dengan hati yang paling girang kerana dapat upah banyak dari Nenek Bedah nanti.
    Namun usaha ku tidak berpanjangan, kerana gerak laku ku telah diperhatikan oleh saingan kawan sekampungku yang juga mahukan hasil jualannya turut dibeli.
    Sebelum aku keluar rumah, kawanku telah terlebih dahulu pergi ke lokasi jualan tetapku, dan sudahnya buah manggis aku tidak terjual. Aku pulang dengan kecewa. Aku tidak mampu bersaing sendirian, kerana saingan ku lelaki dan berkumpulan. Aku terpaksa mengalah walaupun hati dan perasaan ku membuak-buak marah.
    Pulang di rumah aku mengadu kepada emak buah manggis yang kujual tak laku walau seikat pun. Aku kecewa dan amat kecewa. Sudahlah penat aku terpaksa berjalan kaki terlalu jauh jaraknya di bawah terik matahari.
    Sudahnya aku terpaksa pulangkan semula buah manggis yang tidak laku itu kepada Nenek Bedah untuk beliau berikan kepada sekumpulan budak-budak lelaki yang mampu menjual habis buah-buah manggis berkenaan.
    Nenek Bedah tetap untung, tapi aku rugilah kerana yang mendapat upah cuma kepada sesiapa yang dapat menjual manggis itu, walaupun yang memanjat dan mengait buah adalah aku. Upah bagi orang yang memanjat dan mengait buah manggis adalah dapat makan buah berkenaan dari atas pokok saja.
     Aku masih ingat lagi, paling serik dan azab apabila memanjat pokok manggis yang banyak kerengga. Badanku sakit kena gigitan, dan mataku pula pedih kena kencing kerengga. Bila dia perasan, ada orang panjat di atas pokok manggis, kerengga di sarang akan keluar dan berderet menyusur dahan pokok menujuk ke arahku untuk bersedia menerima gigitan ataupun acamannya. Aduhh...pedih yang dahsyat kurasakan ketika itu. 
    Bagaimanapun, hari-hari seterusnya, aku tidak perlu lagi menjual buah manggis dari rumah ke rumah ataupun ke mana-manapun, sebab ayahku telah membawa kawannya berbangsa Cina membeli buah-buah manggis yang aku ambil secara borong. Tapi kiraannya, setiap tiga biji manggis yang kecli-kecil saiznya adalah 10 sen....adoiii....nak tak nak terpaksa jual juga...
    Moral cerita ini, pengalaman mengajar aku erti kesusahan dan kepayahan. Lantas aku telah mula belajar hidup berdikari dari keringatku sendiri demi untuk mendapatkan wang saku untuk membeli apa yang aku hajatkan dengan cara yang halal.

Oleh: Juriyati Mat Jalil

Tiada ulasan: