Halaman

Jumaat, 30 Ogos 2013

Wayang Bisu Di Malam Ambang Merdeka

Encik Rauf Puteh

Naza
Setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan sejak kira-kira 15 tahun lalu, selain dapat mengingat kembali betapa penuh warna-warninya sambutan; peristiwa pahit di padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) tetap tidak luput dalam ingatan.
    Waktu itu aku baharu kembali dari Manchester kerana melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dalam bidang Pembelajaran Berbantu Komputer (Computer-Assisted Learning) dan `kepakaranku’ itu dimanfaatkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Persembahan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri, Encik Rauf Puteh.
    “Haji! Apa kata kita buat pembaharuan tahun ini? Kita buat dokumentari dan tayangkan pada sambutan Malam Ambang Merdeka nanti,” cadang Encik Rauf, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sembilan ketika itu.
    “Haji pun belajar bidang produksi multimedia. Bila lagi nak tunjuk `belang’,” usik Encik Rauf lagi yang turut ditemani Nazarudin Hashim dari Naza Entertainment yang diberi kepercayaan menguruskan kerja-kerja sistem audio-video, penataan cahaya dan persembahan bunga api itu.
    “Bajet RM30,000 cukup Ji?,” tanya Encik Rauf sebelum membawa kertas cadangan ke mesyuarat peringkat Jawatankuasa Induk. Aku cuma menjawab dengan anggukan.         
    “Ji! Saya baharu beli capture-board Matrox dan perisian Adobe Premier dari Singapura. Gunakanlah,” celah Naza pula di pejabat Encik Rauf di Jalan Tunku Hassan.
    Seperti biasa, aku jarang menolak cabaran. Perit-getir mengecap pengalaman baharu sentiasa dinanti untuk memperkukuh peribadi.
    Seperti biasa aku juga menggunakan `pendekatan gurila’ bagi penghasilan dokumentari berdurasi tujuh minit itu.
    Akulah penyelidik, akulah penulis skrip, akulah jurufoto, akulah videografer, akulah penyunting imej, akulah editor video, akulah Sang Narator dan aku jugalah yang melakukan kerja-kerja posproduksi dengan menggunakan Adobe Premier, milik Naza.
    Dokumentari berjudul `Makna Merdeka’ itu siap dalam tempoh tidak sampai dua minggu.
    Dua hari sebelum sambutan, kami telah melakukan raptai penuh untuk semua peserta yang terbabit.
    Produksi video yang aku hasilkan ternyata memberi kepuasan kepada Encik Rauf. Encik Rauf yang terkenal dengan senyum manis dan sifat tenangnya itu sentiasa meenguntum senyum.
    Pada tanggal 30 Ogos (hari ini genap 15 tahun), senja lagi padang MPS telah mula dibanjiri manusia; tidak kira tua muda; Melayu, Cina, India. Semangat cintakan negara membuak di dada.
    Mengikut jadual, tetamu utama Dato’ Mohd Isa Abdul Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan hanya akan tiba pada kira-kira jam 11.00 malam dan sebelum kedatangannya pihak penganjur telah menyusun persembahan pelbagai pertubuhan sukarela.
    Sebaik-baik beliau tiba, `Makna Merdeka’ akan ditayangkan. Itulah perancangannya.
    Aku, Encik Rauf dan Naza telah bersedia di platform tinggi yang terletak berhampiran pagar Dewan Perbandaran Seremban. Platform itu menempatkan pemain video Super-VHS dan projektor LCD dengan teknik pancaran dari belakang.
    Audio keluar dari pemain video pula disambung ke sistem audio yang dikendalikan oleh staf Naza Entertainment di tengah-tengah padang, yang jaraknya kira-kira 200 meter.
    Subramaniam a/l Arunagiri, jurukamera Maktab Perguruan Raja Melewar pula aku tugaskan merakam video.
    “Ji. Saya yakin apa yang kita buat ini akan menggembirakan MB. Ini suatu pembaharuan,” kata Encik Rauf sambil bertenggong di sisi platform.
    Encik Rauf yang sentiasa bersikap positif terhadap apa yang dikerjakan kelihatan relaks setelah memastikan krew produksi telah bersiap siaga.
    Entah dari mana datangnya idea minit terakhir, beberapa minit sebelum masa tayangan, aku meminta Subramaniam menyambung sistem audio keluar dari pemain video ke kamera videonya untuk mendapatkan audio yang `bersih’ rakamannya nanti.
    Sebaik-baik Othman Jantan (OJ) yang ditugaskan sebagai pengacara mengumumkan, “………………..hayatilah “Makna Merdeka’ mengikut tafsir Zulkifli Abu melalui dokumentari ini”, lampu projektor yang mula menyala beberapa minit lebih awal mula menayangkan montajnya.
    Setelah beberapa saat video ditayangkan, aku dapat mengesan persembahan video itu bisu, tanpa audio.
    Dalam video asal, montaj yang bermula dengan muzik latar berunsur patriotik yang kuat itu diharap dapat segera menarik perhatian audien tetapi ternyata ia tiada.
    Aku segera memeriksa sambungan pada alat pemain video; kabel dicucuk betul. Naza pula segera mengarahkan krew yang mengawal sistem audio utama melalui walkie-talkie untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Tayangan terus berjalan. Encik Rauf mula kelihatan resah. Dalam tenang aku segera menghubungi Subramaniam untuk memeriksa kabel sambungan pada kameranya. “Ok boss. Tak ada masalah,” katanya sambil memberi isyarat jempolan.
    Dalam keadaan terkial-kial mencari punca masalah, tempoh tujuh miinit berakhir dan berakhir jugalah tayangan `dokumentari bisu’ itu.
    Insiden itu benar-benar mengajarku. “Jangan sesekali membuat pindaan pada saat-saat akhir walhal sewaktu raptai ia telah diikenalpasti mengikut perancangan.”
Catat Ulasan