Khamis, 19 September 2013

Mendapat Janda Mat Non

Entah apa geraknya, selera untuk berkaraoke tajam semula apabila pengerusi program, Kak Mahaya membenarkan kami berbuat demikian pada malam penutup itu.
    Waktu sakit yang tidak bernama menyerang diri kira-kira setahun lalu, bukan sahaja berkaraoke malah kesemua benda yang aku suka, jadi tidak suka belaka. Dulu, aku sayang laptop dan komputer macam sayang isteri (kadang-kadang lebih pula) tapi jadi benci. Dulu aku memang gila kereta (tinggal empat kini, setelah Kembara dan Mercedes yang dibawa pulang dari UK, bertukar tangan); tapi waktu sakit semuanya aku benci termasuk kereta impianku Mercedes SLK.
    Selalu rakan karibku, Adam Tahir (DJ Negeri FM) mengingatkan, “dah tua-tua ni bang, semua benda senang jadi susah. Nak bongkar pun terpaksa pakai jumper,” katanya dalam dialek Negeri Sembilan yang pekat.
    Apabila pengacara pada malam itu meminta peserta memilih lagu, tidak ada yang berani menawarkan diri. Biasalah begitu! Mula-mula malu tetapi setelah itu bergorai untuk ditamatkan. Sebagai fasilitator, tentu tidak manis aku yang memulakan. Nanti orang boleh kata okap sangat.
    Setelah beberapa minit berlalu, suasana masih lembam lalu aku ke meja DJ untuk memilih lagu. Untuk mewujudkan keceriaan, sengaja aku pilih lagu duet – Doa Buat Kekasih dan Nen (DJ Negeri FM) yang menjadi pasangan.
    Provokasiku menjadi. Tanpa berlengah, Mohd Nor Awaludin menerpa meja DJ. Lagu duet juga yang dipilih, Jangan Pisahkan. Pasangannya? Nen juga.
    Mungkin ramai yang tidak tahu, apa hubunganku dengan Mohd Nor yang sering aku panggil Mat Non itu. Sewaktu Mat Non potong trip untuk menyanyi dulu, aku tidak ambil hati langsung malah mengalu-alukannya pula. Aku redha, rezekiku pada hari itu hanya mendapat janda duet Mat Non.
    Maka berlagulah Mat Non dan Nen – penuh pasrah. Kedua-duanya memang hebat. Mengapa tidak? Mat Non sering jadi juara talentime waktu sekolah dulu dan kini pula penyelia muzik di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan. Sama naik juga dengan Nen, antara DJ paling top di Negeri FM dengan lagu-lagu Serampang Lautnya.
    Terasa kecil sekali aku pada hari itu, mengambil Nen daripada Mat Non untuk meneruskan lagu kedua. Aku lebih merasa kecil apabila aku yang memberitahu peserta siang tadi bahawa Mat Non adalah bapa saudara penyanyi popular, Allahyarham Achik yang selalu berpasangan dengan Nana itu. Ibu Achik, Badariah ialah adik Mat Non.
    Kesannya, aku tertinggal baris pertama giliran lelaki dan aku tidak menjadi Ramli Sharif lagi, seperti selalu. Nen tetap Kathy.

Kosa Kata Hari Ini
Okap – Semuanya dia hendak.
Contoh ayat: “Jangan okap. Orang lain hendak juga merasa ikan sembilang tu!”
Bergorai – terpaksa menggunakan kekerasan untuk memberhentikan sesuatu tindakan.
Contoh ayat: Penunjuk perasaan Bersih 2.0 dapat digoraikan dengan menggunakan gas pemedih mata.
Potong trip – memintas dulu.
Contoh ayat: “Kau ni betul-betul potong trip. Bukankah eden yang dulu kenal dia.” 

1 ulasan:

ceritaapaapasaja berkata...

Sewaktu pejabat Storyteller Production Sdn Bhd berada di Seremban 2 selalu juga Nen berkunjung. Adam pula menjadikannya bagai rumah sendiri; rekomen beli penapis Air Awang dan bergolek-gelantang di situ.Selalu juga dia bermalam bersama aku di pejabat. Yang jadi mangsa tentu isteri kami. "Apo nak buek bang! Nak bongkapun pakai `jumper.'