Ahad, 11 Ogos 2013

Along Amat

Along Amat, sebelah kiri. Pak Kitam sebelah kanan Sang Pencerita
Sewaktu berbual-bual dengannya di anjung belakang rumah, baharu kusedari Along Amat, sepupu tertua di sebelah emak sudah lama tidak ke rumahku.
    Sewaktu berhari raya di rumahnya malam semalam, Along Amat ingin kepastian sama ada aku berada di rumah keesokan harinya kerana dia akan datang.
    “Lama dah along tak ke sini,” katanya. “Dulu along ikut Anjung,” sambungnya yang merujuk adik keduanya.
    Sambil berbual aku sempat menyelami wajah sepupuku yang sudah berusia kira-kira 63 tahun itu.
    Sebagai pesara tentera, Along Amat masih menyara kehidupan dengan membawa teksi setelah lama menjadi pemandu peribadi tokoh korporat di Kuala Lumpur.
    “Agak uzur juga sepupuku ini,” bisik hati. Lantas filem tahun 1970 bermain di layar benakku.
    “Hantar surat kat Long Amat kau. Nenek tak ada duit. Abah kau pula buat hal,” kata nenek sewaktu menjengukku di serambi.
    Memang nenek yang meminta aku tinggal di rumahnya bersama Anjung, Tapa dan Mansor; adik-adik Long Amat yang sudah lama yatim piatu.
    Aku tahu nenek menyedari badai sedang melanda kehidupan rumahtangga emak dan abah. Abah ketika itu gilakan Mariamah, janda peninggalan seorang lelaki Inggeris.
    Seperti yang diarahkan Nenek Siti, aku lantas mengoyakkan sehelai kertas buku latihan sekolah lalu menulis warkah yang antara lain berbunyi begini.
    “Ke hadapan kekandaku Yahafi Yaacob, semoga kekanda berada dalam keadaan sihat-walafiat hendaknya.
    Tujuan adinda menulis surat ini adalah untuk meminta wang sebanyak RM70.00 bagi bayaran yuran Sijil Pelajaran Malaysia.
    Untuk pengetahuan kekanda, adinda kini tinggal bersama nenda kerana menurut katanya adinda akan lebih selesa untuk menghadapi peperiksaan di rumahnya.”
    Seingat-ingatku, kira-kira seminggu kemudian satu kiriman wang berjumlah RM70.00 tiba dari alamat yang bertulis Pulau Sebatik, Sabah.
    Along Amat ketika itu bertugas sebagai tentera di perbatasan Malaysia-Indonesia.
    “RM70.00 ini adalah kira-kira setengah bulan gaji kasar Along Amat,” bisik hatiku. Tanpa disedari air jernih bergenang di mata.
    Sambil meneruskan perbualan dalam penuh keceriaan di anjung yang menghadap Kelab Golf Antarabangsa, Seremban itu benakku terus tertancap soalan demi soalan.
    “Apakah yang terjadi agaknya kalau Along Amat tidak mengirimkan wang RM70.00 itu? Di manakah nenek akan meminjam? Di mana pula emak hendak mencekau wang sebesar itu? Untuk mencari abah, menurut emak dia sudah pandai tidak balik ke rumah.”
    “Ya Allah! Sesungguhnya atas keagunganmu jua segala-galanya menurut perencanaan-Mu. Dilahirkan Along Amat untuk suatu hari nanti dapat membantu sepupunya yang bermasalah.
    “Atas perencanaan-Mu juga, emak dan abah didatangkan ujian penguji kesetiaan cinta yang pernah terakru.
    “Pastinya jua dilahirkan Zulkifli anak Abu agar dia menjadi makhluk yang dapat memahami erti sebenar bersyukur. Mengapa dia terus-terusan berasa tidak puas sedangkan 1,001 nikmat telah kaucurahkan sepanjang tempoh hampir enam dekad ini.”
    Tanpa dapat disekat, aku tidak dapat menahan sebak ketika mengakhiri catatan ini.
    “Allahu Akbar! “Allahu Akbar!,” Haji Aziz, bilal Masjid Paroi Jaya kedengaran jelas memanggilku untuk solat Subuh.

1 ulasan:

ceritaapaapasaja berkata...

Dalam kehidupan, setiap manusia yang dilahirkan akan saling melengkapi. Mengapa manusia masih tidak menyedari?