Khamis, 29 Ogos 2013

“Cikgu Nak Pistol”

Pada suatu pagi, setelah membeli surat khabar di Kedai Wahab, aku menghampir pesara guru berusia 74 tahun, Cikgu Hassan Ismail yang baru habis ‘jogging’ di Padang Majlis Daerah Rembau.
    Cikgu Hassan suka bercerita pengalamannya semasa berkhidmat  sebagai guru. Satu demi satu cerita pengalaman sebenar yang dilaluinya, diceritakan. Kebanyakannya, kisah-kisah yang melucukan.
    Semasa, berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Nuri, Kuala Pilah, Cikgu Hassan menjadi Guru Penolong Kanan. Pada satu ketika, Sekolah Kebangsaan Nuri, Kuala Pilah, menjadi tuan rumah Sukan Sekolah-Sekolah Zon Johol. Dalam satu mesyuarat sukan, Guru Besar tiba-tiba bersuara, “ Sukan pada tahun ini tidak ada pistol. Kita gunakan wisel sahaja. Pihak polis tak dapat membekalkan pistol.”
    “ Cikgu nak pistol. Saya jamin saya akan dapatkannya,” kata Cikgu Hassan. Dalam pemikirannya beliau sudah terfikir beliau akan mendapat pertolongan. orang yang menjadi tempat mengadunya ialah Jaila Singh, Pegawai Sukan, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.
    “Pistol tak ada sebab tak ada peluru kapur,”  jawab Jaila Singh. Cikgu Hassan menjadi cemas kerana telah memberi  jaminan kepada Guru Besar.
    “Saya sudah jumpa polis. Polis kata pistol ada tetapi peluru tak ada. Cari peluru,” tambah Jaila Singh. Cikgu Hassan bertambah cemas, takut malu nanti kerana sudah memberi  jaminan. Beliau berfikir serius kepada siapa boleh mendapat pertolongan.
    Akhirnya, Cikgu Hassan pergi  mengadap seorang pegawai kanan angkatan tentera, Brigedier General Zakaria Dahalan, Pegawai Pemerintah Kem Rasah.
    “Mana ada. Tak boleh, “ jawapan berupa ugutan Dahalan. Hassan cemas. Hassan merayu minta pertolongan daripada Dahalan.
    “Berapa kau nak?” tanya Zakaria.
    “Hanya untuk darjah 4, 5 dan 6 sahaja,” jawab Cikgu Hassan Ismail lega.
    “Kau tunggu jer lah... ese datang. Jangan beritahu sesiapa,” keputusan dan pesanan Brigedier General Zakaria Dahalan.
    Pada Hari Sukan Zon Johol  di Sekolah Kebangsaan Nuri, lapan orang anggota tentera beruniform datang. Guru Besar hairan dan berasa cemas.
   “Apa halnya, asykar datang, Cikgu Hassan?” tanya Guru Besar kepada Cikgu Hassan.
    “Cikgu nak pistol kan?,” tanya Cikgu Hassan yakin.
    Guru Besar terdiam.

Oleh: Mohamad Abd Ghani

1 ulasan:

ceritaapaapasaja berkata...

Kisah ini memaparkan kisah erti persahabatan. Sahabat yang baik akan berusaha membantu sahabatnya, apabila terdesak atau dalam kesusahan.
Demi menjaga maruah atau nama baik daripada tercemar, sahabat akan menolong dan memberi sokongan atau pertolongan. - Mohammad Abd Ghani