Jumaat, 23 Ogos 2013

Faridah Yang Sudah Kutemui

2013... Yang mana satu Faridah?
Mengikut idea asal, cerita Aku Sudah Menemui Faridah tidak berakhir di situ. Aku hanya dapat bercakap dengan adiknya Faidzah yang juga sempat aku ajar di Darjah Satu penghujung tahun 1970-an itu.
     Seronoknya, walaupun masih kecil dan montel ketika itu, banyak juga dia tahu tentang aku rupa-rupanya. “Ayah dan Kak Faridah selalu bercerita tentang cikgu sewaktu aku menghubunginya melalui telefon.”
     Sewaktu diminta jangan memberitahu kakaknya bahawa aku akan memanggilnya, bagai lebih 30 tahun lalu, Faidzah akur.
     Tanpa membuang masa, Faridah terus dihubungi.
     “Assalamualaikum! May I speak to Faridah, please,” dalam nada ceria.
     “Siapa tu? Siapa tu?,” suara agak cemas kedengaran di kejauhan.
     “Boleh saya bercakap dengan Faridah?”
     “Faridahlah yang bercakap ni,” suara acuh tak acuh, kedengaran.
     “Siapa sebenarnya yang bercakap ni?,” dia pula bertanya cemas.
     “Cuba teka!,” rentak pertanyaan sengaja diperlahankan.
     Diam seketika.
     “Saya beri masa lagi untuk meneka,” aku mengusik seperti yang selalu aku lakukan dengan murid dan pelajarku yang lain dahulu.
     “Cikgu ya?”
     “Mungkin. Cikgu ramai. Agaknya Cikgu yang mana?”
     Sebaik-baik clue itu disahkan, Faridah yang kini sudah berusia 48 tahun bagaikan terjerit tetapi terkawal.
     Begitulah biasanya. Bekas murid dan pelajarku dengan mudah mengecam bahawa itulah aku dengan hanya berdasarkan suara.
     “Pada hari baik, bulan baik ini saya mohon maaf zahir batin.”
     “Kami murid-murid yang sepatutnya minta maaf Cikgu,” Faridah segera memintas dalam pelat Jawa Sabak Bernam yang masih kuat tapi feelnya hambar.
     “Cikgu juga buat silap. Mungkin sebahagian waktu Cikgu patut berada di dalam kelas, beberapa minit dihabiskan di kantin atau bilik guru. Kalau dijumlahkan minit-minit itu, besar juga jadinya sedangkan waktu itu turut dibayar.”
     “Cikgu okey dahulu,” masih dalam nada hambar; tidak seperi yang kukenali dahulu – aktif, bertenaga, ceria dan sebut apa sahaja kriteria murid yang baik, ada pada Faridah.
     Walaupun serba sedikit aku tahu mengenai perkembangan semasa Faridah melalui Faidzah, biarlah itu menjadi rahsia kami.
     “Faridah! Mana Mazlan Mohamad, budak Bukit Bangkong yang selalu bersaing dengan kamu dalam peperiksaan dahulu?”
     “Tak tahu Cikgu.”
     “Arman? Arman anak Mustakim yang pernah tinggal bersebelahan rumah saya dahulu?”
     “Saya juga tak tahu Cikgu.”
     Kalaulah aku tidak mengenal keperibadian Faridah secara mendalam, tentunya aku hentikan sahaja perbualan itu.
     Kejutan yang aku harapkan terjadi, tidak kesampaian.
     “Maafkan saya Cikgu. Ada orang datang Berhari Raya.”
     Faham dengan isyarat itu, aku menamatkan perbualan.
     Bagaimanapun dalam perjalanan ke kebun keesokan paginya, aku menelefon Faridah kembali. Banyak benda yang ingin dikongsikan, tidak dapat disampaikan.
     Perbualan itu juga pendek. “Maaf Cikgu! Ada orang datang ke rumah.”
     Apa lagi dapat dilakukan? Setelah mematikan enjin kereta, aku melangkah longlai menuju kebun.

2 ulasan:

ceritaapaapasaja berkata...

Zulkifli Abu: Faidzah Gina Moiki! You memang keletah dulu. Manja jangan cerita! Terlanjur bercerita, boleh kongsi sikit tak? Faridah yang saya cari `semacam berduka' ketika dihubungi. Mengapa ya?
August 22 at 11:46pm · Like
Faidzah Gina Moiki: Kak faridah kata dia rasa sedih sbb cikgu sudi menghubungi dia.lgipun dia masih sedih kerana baru kehilangan abh.
Yesterday at 12:25am · Like
Faidzah Gina Moiki: Ada masa cikgu carilah kak faridah dia memang rindu ngan cikgu.cikgu maimon tpi x terucap
Yesterday at 12:27am · Like
Zulkifli Abu: Sebenarnya dua kali saya menelefonnya (selepas you berikan nombornya dan kali kedua keesokan harinya). Saya dapat merasakan bahawa dia `tidak selesa' dengan panggilan itu. Apatah lagi dalam keadaan suaminya yang uzur. Takut dikata mengganggu.
Yesterday at 12:32am · Like
Faidzah Gina Moiki: Memang suami dia tgh uzur sikit.msa cikgu call tu ada rmai tetamu dtg tu yg dia kelam kabut sikit.rumah dia sentiasa ada tetamu dtg menziarah suami dia.dia pun ada cite ngan sya x dpt borak lma ngan cikgu sbb ramai org kat rmh
Yesterday at 12:37am · Edited · Like
Zulkifli Abu: That's ok! Saya perlu menerima hakikat waktu telah jauh berlalu.
Yesterday at 12:38am · Like
Faidzah Gina Moiki: Memang masa telah mengubah segala2nya.tapi orgnya tetap tidak berubah.
Yesterday at 12:45am · Like
Zulkifli Abu: Insya-Allah. Seronok dapat berinteraksi dengan you Faidzah Gina Moiki. Ok ya, saya hendak kemaskini blog pula . Bye!
Yesterday at 12:51am · Like

salmiah berkata...

kak faridah,kali terakhir saya bertemu dengannye ialah pada hari kembalinye abah saad di sisi maha pencipta.saya tiak sempat beborak panjang,maklumlah hari dh lewat malam ,saya terpaksa bertolak balik ke kuantan.kak faridah dan adiknye faidzah atau lebih mesra kami panggil ani amat berbeza perwatakan meraka.