Encik Rauf Puteh |
Waktu itu aku baharu kembali dari Manchester
kerana melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dalam bidang Pembelajaran
Berbantu Komputer (Computer-Assisted
Learning) dan `kepakaranku’ itu dimanfaatkan oleh Pengerusi Jawatankuasa
Persembahan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri, Encik Rauf Puteh.
“Haji! Apa kata kita buat pembaharuan tahun ini? Kita buat dokumentari dan tayangkan pada sambutan Malam Ambang Merdeka nanti,” cadang Encik Rauf, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sembilan ketika itu.
“Haji pun belajar bidang produksi
multimedia. Bila lagi nak tunjuk `belang’,” usik Encik Rauf lagi yang turut
ditemani Nazarudin Hashim dari Naza Entertainment yang diberi kepercayaan
menguruskan kerja-kerja sistem audio-video, penataan cahaya dan persembahan
bunga api itu.
“Bajet RM30,000 cukup Ji?,” tanya Encik Rauf
sebelum membawa kertas cadangan ke mesyuarat peringkat Jawatankuasa Induk. Aku cuma
menjawab dengan anggukan.
“Ji! Saya baharu beli capture-board Matrox dan perisian Adobe Premier dari
Singapura. Gunakanlah,” celah Naza pula di pejabat Encik Rauf di Jalan Tunku
Hassan.
Seperti biasa, aku jarang menolak cabaran.
Perit-getir mengecap pengalaman baharu sentiasa dinanti untuk memperkukuh
peribadi.
Seperti biasa aku juga menggunakan `pendekatan
gurila’ bagi penghasilan dokumentari berdurasi tujuh minit itu.
Akulah penyelidik, akulah penulis skrip,
akulah jurufoto, akulah videografer, akulah penyunting imej, akulah editor
video, akulah Sang Narator dan aku jugalah yang melakukan kerja-kerja posproduksi
dengan menggunakan Adobe Premier, milik Naza.
Dokumentari berjudul `Makna Merdeka’ itu
siap dalam tempoh tidak sampai dua minggu.
Dua hari sebelum sambutan, kami telah
melakukan raptai penuh untuk semua peserta yang terbabit.
Produksi video yang aku hasilkan ternyata
memberi kepuasan kepada Encik Rauf. Encik Rauf yang terkenal dengan senyum
manis dan sifat tenangnya itu sentiasa meenguntum senyum.
Pada tanggal 30 Ogos (hari ini genap 15
tahun), senja lagi padang MPS telah mula dibanjiri manusia; tidak kira tua
muda; Melayu, Cina, India, Serani. Semangat cintakan negara membuak di dada.
Mengikut jadual, tetamu utama Dato’ Mohd Isa
Abdul Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan hanya akan tiba pada kira-kira jam
11.00 malam dan sebelum kedatangannya pihak penganjur telah menyusun
persembahan pelbagai pertubuhan sukarela.
Sebaik-baik beliau tiba, `Makna Merdeka’
akan ditayangkan. Itulah perancangannya.
Aku, Encik Rauf dan Naza telah bersedia di
platform tinggi yang terletak berhampiran pagar Dewan Perbandaran Seremban. Platform
itu menempatkan pemain video Super-VHS dan projektor LCD dengan teknik pancaran
dari belakang.
Audio keluar dari pemain video pula
disambung ke sistem audio yang dikendalikan oleh staf Naza Entertainment (antaranya Hasnizam Mohd Yunus - Ijam) di
tengah-tengah padang, yang jaraknya kira-kira 200 meter.
Subramaniam a/l Arunagiri, jurukamera Maktab
Perguruan Raja Melewar pula aku tugaskan merakam video.
“Ji. Saya yakin apa yang kita buat ini akan
menggembirakan MB. Ini suatu pembaharuan,” kata Encik Rauf sambil bertenggong
di sisi platform.
Encik Rauf yang sentiasa bersikap positif
terhadap apa yang dikerjakan kelihatan relaks setelah memastikan krew produksi
telah bersiap siaga.
Entah dari mana datangnya idea minit
terakhir, beberapa minit sebelum masa tayangan, aku meminta Subramaniam
menyambung sistem audio keluar dari pemain video ke kamera videonya untuk
mendapatkan audio yang `bersih’ rakamannya nanti.
Sebaik-baik Othman Jantan (OJ) yang
ditugaskan sebagai pengacara mengumumkan, “………………..hayatilah “Makna Merdeka’
mengikut tafsir Zulkifli Abu melalui dokumentari ini”, lampu projektor yang
mula menyala beberapa minit lebih awal mula menayangkan montajnya.
Setelah beberapa saat video ditayangkan, aku
dapat mengesan persembahan video itu bisu, tanpa audio.
Dalam video asal, montaj yang bermula dengan
muzik latar berunsur patriotik yang kuat itu diharap dapat segera menarik
perhatian audien tetapi ternyata ia tiada.
Aku segera memeriksa sambungan pada alat
pemain video; kabel dicucuk betul. Naza pula segera mengarahkan krew yang mengawal
sistem audio utama melalui walkie-talkie
untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Tayangan terus berjalan. Encik Rauf mula
kelihatan resah. Dalam tenang aku segera menghubungi Subramaniam untuk
memeriksa kabel sambungan pada kameranya. “Ok boss. Tak ada masalah,” katanya
sambil memberi isyarat jempolan.
Dalam keadaan terkial-kial mencari punca
masalah, tempoh tujuh miinit berakhir dan berakhir jugalah tayangan
`dokumentari bisu’ itu.
Insiden itu benar-benar mengajarku. “Jangan
sesekali membuat pindaan pada saat-saat akhir walhal sewaktu raptai ia telah
diikenalpasti mengikut perancangan.”
Nota: Sang Pencerita `dihantar' oleh Naza Hashim sebagai penghubung tali bisnesnya dengan Encik Rauf. Hampir kesemua kertas kerja untuk mendapatkan projek Sang Pencerita yang disediakan . Bagaimanapun Naza pakar `ubahsuai'. Sekali dua dapat kertas kerja Sang Pencerita (yang tentu dibayarnya mahal) selepas itu dia buat sendiri. Melalui projek di bawah kendalian Encik Rauf inilah mulanya Naza Entertainment berkembang; yang kemudiannya lahir Stagemaker Sdn Bhd, Swamatra Sdn Bhd dan beberapa lagi.
Nota: Sang Pencerita `dihantar' oleh Naza Hashim sebagai penghubung tali bisnesnya dengan Encik Rauf. Hampir kesemua kertas kerja untuk mendapatkan projek Sang Pencerita yang disediakan . Bagaimanapun Naza pakar `ubahsuai'. Sekali dua dapat kertas kerja Sang Pencerita (yang tentu dibayarnya mahal) selepas itu dia buat sendiri. Melalui projek di bawah kendalian Encik Rauf inilah mulanya Naza Entertainment berkembang; yang kemudiannya lahir Stagemaker Sdn Bhd, Swamatra Sdn Bhd dan beberapa lagi.
1 ulasan:
Hari ini aku menyambut Hari Ulang Tahun Peristiwa Hitam Ke-15. Peristiwa ini benar-benar mengajarku: Jangan membuat perubahan pada miniit terakhir. Kemungkinan gagal lebih tinggi daripada mencapai kejayaan.
Catat Ulasan