Isnin, 29 Ogos 2011

Aku Si Montel

Mazemie Maz bersama tauke blog dan penulis Ghazali Ngah Azia
di Percetakan Niagariang
Aku anak pertama dalam keluarga. Sejak lahir dan sehingga usiaku tujuh tahun, tubuhku memang agak montel. Aku berkeadaan begitu mungkin disebabkan aku terlalu banyak makan dan suka makan pada waktu malam.
     Berbagai-bagai ikhtiar yang ibuku lakukan supaya aku kurang makan. Namun semuanya tidak berhasil. Sebaliknya selera makanku semakin menjadi-jadi.
     Kalau makan nasi, aku pasti akan menambah dua atau tiga kali. Selagi belum betul-betul kenyang, aku tidak akan menolak.
     Sekiranya seleraku tidak dituruti, aku akan menangis sepuas-puasnya, sehinggalah kemahuanku akan dituruti.
     Sehinggalah pada suatu ketika, aku melihat perut ibuku yang semakin membuncit, kerana sedang mengandungkan adikku.
     Ketika itu aku tidak begitu  mengerti apa itu mengandung.
     Tetapi aku menjadi begitu risau apabila melihat perut ibuku yang semakin membesar. Disebabkan keadaan itu, ibu agak sukar bergerak dengan bebas.
     Bila aku bertanya kenapa ibu jadi begitu, ibu menjawab: “Ibu jadi macam ni sebab ibu makan terlalu banyak. Kalau Amin makan banyak, Amin juga akan jadi seperti ibu,” ujar ibu yang membuatkan berlakunya perubahan atas diriku.
     Perubahan yang aku maksudkan ialah, sejak penjelasan ibu itu, aku tidak lagi suka makan banyak. Malah ada ketikanya aku tidak menjamah makan langsung, kerana takut menjadi ‘memboyot’ seperti ibu.
     Keadaan dan perubahan sikapku itu, ada kalanya menimbulkan kebimbangan dan kerisauan kepada ibu pula; membuatkan ibu kerap memujuk supaya aku makan.
     Namun disebabkan tidak ingin melihat operutku memboyot seperti perut ibu, aku akhirnya  dapat mengurangkan kemontelan tubuhku ketika aku berusia tujuh tahun.
oleh: Mazemie Maz

Tiada ulasan: