Rabu, 24 Ogos 2011

Kecil Lagi Diasuh Berpantun

Bilik Darjah Enam hanya terletak bersebelahan bilik Guru Besar, Cikgu Abdul Rahman Johan. Aku terpilih menyertai pasukan pantun bersama dua murid lelaki lain, Jo (Johari Kassim) dan Said (Md Said Bidin) manakala pasukan perempuan diwakili Suriah (anak Guru Besar), Asmah Abdul Rahman dan Zainab Othman.
     Seperti selalunya, aku gugup apabila berhadapan dengan budak perempuan walhal di rumah, adik-adikku semuanya perempuan.
     Pertandingan berbalas pantun yang pada awalnya lebih tertumpu kepada tema cintakan tanah air dan sayangkan keluarga; bagaimanapun tanpa disedari bertukar tema kepada cintakan lelaki wanita.
     Apa harap padi seberang,
     Entah berbuah, entahkan tidak;
     Apa diharap, kasihnya orang,
     Entahkah kasih, entahkan tidak.
Pantun yang dijual oleh Suriah kepadaku, bagaikan halilintar melanda bumi untuk kujawab. Tidak tahulah, aku seolah-olah merasakan Suriah sendiri yang ingin tahu pendirianku terhadapnya lalu... lidah kukelu.
     ”Jawab cepat! Nanti kita kalah,” aku tersentak apabila Jo menegurku sambil menggoyang-goyangkan tubuhku.
     Dalam suasana terkemamai, tubuhku terasa melayang dan cerlungan mata Said ke arahku membuat aku lebih tergamam.
     ”Masa tinggal satu saat,” Mohd Zaharil Kassim yang menjaga masa memberi ingatan.
     ”Kalau tidak dapat jawab, rakan lain boleh membantu,” Razali Othman yang jadi pengerusi, memberitahu.
     Buat apa mengharapkan padi,
     Sampai masanya dituai juga;
     Kalau Zul tidak hendak,
     Biar den yo!
     Jawapan spontan Jo, menggegak-gempitakan bilik darjah di hujung bangunan. Tiba-tiba Guru Besar muncul di depan pintu.
     ”Siapa yang hendak jadi menantu saya tadi?,” tanya beliau bersahaja. Jo tertunduk malu.


nota: perkembangan terkini.
Jo, mantan pemandu limosin LCCT, Said (komposer dan mantan pensyarah muzik di IPG Kampus Ilmu Khas), Razali (pesara CIMB sudah meninggal dunia), Zaharil (sudah bergelar Datuk dan bersara sebagai Atache Perdagangan di Jedah), Suriah (yang rupa Cina berkahwin dengan Cina), Asmah (pesara pensyarah IPG Kampus Raja Melewar), Zainab (berhenti sekolah takat Darjah Enam kerana jadi mangsa buku kena beli RM13.60) dan aku... lihat profil di Facebook).

Tiada ulasan: