Jumaat, 19 Ogos 2011

Kekasihku Tidak Siuman?

Sejak melibatkan diri dalam bidang penulisan, bermacam-macam pengalaman dan dugaan yang aku hadapi. Aku nyaris dipukul kerana ada orang lain yang menyamar sebagai aku dan telah menipu beberapa orang gadis yang melibatkan wang berpuluh-puluh ribu ringgit Malaysia.
     Setelah bersemuka dengan gadis-gadis itu, barulah mereka menyedari bahawa wajahku tidak serupa dengan lelaki yang pernah menyamar itu. Tetapi semua itu aku anggap sebagai asam garam dalam kehidupan yang memerlukan aku sentiasa berwaspada dan berhati-hati, agar  semua dugaan yang menyusahkan kehidupanku tidak akan berulang.
     Peristiwa lain yang pernah aku alami ialah apabila aku berkenalan dengan seorang gadis yang meminati setiap hasil karyaku, terutama rancangan ‘Pantun Dan Lagu’ yang pernah ke udara di radio RTM. Aku memang kerap menyumbangkan karya-karyaku dalam rancangan tersebut.
     Peminat setia  ‘Pantun Dan Lagu’  yang aku panggil Suri itu datang menemuiku dan menghulurkan salam perkenalannya. Aku hanya tersenyum dan menyambut salam perkenalannya itu dengan ikhlas.
     Aku pada mulanya menganggap situasi itu hanya biasa sahaja. Sekadar perkenalan antara peminat dan penulis yang diminatinya. Namun tidaklah aku menyangkakan bahawa persahabatan antara aku dan Suri menjadi semakin akrab dan saling pula mengenali hati budi masing-masing.
     Dan aku agak terkejut pada suatu ketika, Suri dengan kerelaan hatinya telah mencurahkan isi hatinya padaku. Aku yang agak tergamam ketika itu hanya tersenyum dalam kekagetan.
     Ketika aku mengenali Suri, dia  sedang menuntut di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Setahun kemudian Suri menamatkan pengajian. Sementara menunggu hari konvokesyen, Suri pulang ke kampungnya di sebuah negeri di Pantai Timur, dan bertugas sebagai guru sementara di sebuah sekolah rendah.
     Keakraban antara aku dan Suri, membawakan aku sanggup berjumpa dan berterus-terang kepada ibu bapanya bahawa aku akan mengambil Suri menjadi isteriku apabila tiba masanya nanti.
     Namun setelah enam bulan Seri berada di kampungnya, aku menerima perkhabaran yang amat menyedihkan. Suri seolah-olah menjadi tidak siuman dengan tiba-tiba. Dia akan menjerit-jerit dan memekik-mekik dengan tidak keruan setiap kali menjelang senja. Ada ketikanya, Suri seakan-akan tidak mengenali ibu bapa dan adik-adiknya sendiri.   
     Menurut beberapa orang dukun yang mengubatinya, Suri terkena buatan orang. Kononnya Suri dan keluarganya telah menyakitkan hati orang.
     Sebenarnya Suri dan keluarganya bukannya telah menyakitkan hati sesiapa tapi Suri pernah menolak lamaran seorang lelaki yang ingin memperisterikannya. Suri menolak lamaran lelaki itu bukan hanya kerana dia sudah mempunyai kekasih, iaitu aku, malah lelaki itu juga sudah pun beristeri dan mempunyai empat orang cahaya mata.
     Setelah Suri tiada harapan untuk disembuhkan, ibunya meminta aku melupakan anaknya itu. Ibunya tidak mahu aku terlalu mengharapkan Suri
     Namun aku masih sedia bersabar. Bagaimanapun, setahun kemudian, keadaan Suri masih juga tidak berubah. Sesekali dia masih lagi menjerit-jerit dan memekik-mekik setiap kali senja menjelang. Lebih menyedihkan, Suri tidak dapat menghadiri hari konvokesyen yang dinanti-nantikannya, sebagai bukti kejayaan dalam hidupnya.
oleh: Mazemie Maz

Tiada ulasan: