Halaman

Selasa, 9 Ogos 2011

Mencari Realiti Siri 3


Entah kenapa tiba-tiba saja aku teringat untuk menelefon sahabatku Shah yang telah agak lama tidak berjumpa. Ringkas saja perbualan kami. Sebaik saja aku menyelesaikan Asar untuk petang itu, aku meluncurkan keretaku ke rumahnya.
    Shah sedang membaca buku agama sebaik saja aku melangkah masuk ke rumahnya. Pintu depan sedia terbuka menyambut kedatanganku. Di sebelahnya terbaring suaminya Rashid yang baru sebulan menjalani pembedahan jantung.
    Muka Shah cengkung, menampakkan seolah-olah dia kurang sihat. Rambutnya yang sebelum ini hitam, kini jelas kelihatan putih di pangkalnya. Mungkin telah beberapa lama dia tidak menggunakan inai rambut.
    Seperti biasa Shah petah dan lancar bercerita. Aku memang pendengar setia. Aku dengan Shah memang jauh berbeza. Shah terlalu ramah. Manakala aku terlalu pendiam, mulutku terlalu berat untuk menyatakan sesuatu kecuali telah benar-benar mesra. Sesekali Rashid menyampuk. Aku sengaja menghalangnya bercakap takut dia kelelahan. Namun Rashid tetap degil. Masih mahu bercerita. Aku mendengar sambil mengiyakan kata-katanya.
    Shah mengajakku keluar, katanya mahu membeli barang. Aku faham benar alasan Shah. Dia mahu kami lebih lancar mencurahkan rasa hati, cerita-cerita baru yang hanya kami berdua saja mendengarnya.
    Aku bergerak meninggalkan Rashid sambil Shah memakai tudung dan menyambar beg tangannya di sudut meja lalu terus membuntutiku. Aku menghidupkan enjin kereta. Sebaik saja Shah memakai tali pinggang, aku menekan minyak lalu meneruskan ke destinasi kebiasaan persinggahan kami.
    Tiba saja di destinasi, Shah menghulurkan sebuah majalah, menyuruhku membaca catatannya di majalah tersebut. Dia seterusnya memesan makanan. Aku bertafakur. Mataku meneliti setiap patah perkataan dari majalah di hadapanku. Sunyi sepi sebentar.
    ”... Marilah kita bersedia untuk menemui Tuhan...” Aku rasa menggigil membaca ayat-ayat terakhir catatan itu.
    ”U telah alami apa yang I baru saja alami. Betapa, bertahun-tahun u menyimpannya,” bisik hatiku menyedari kepiluan yang Shah alami.
    ”Sekurang-kurangnya u masih ada orang untuk bercerita. I tiada”
    ”Eh, I kan ada. Nanti kalau I lapang, I akan datang ke rumah u, kita bercerita.”
    Kesugulan Shah jelas terpamer pada air mukanya. Aku menggenggam tangan Shah. Dia begitu kesepian atas pemergian sahabatnya Zul. Betapa beberapa kemungkinan telah mengeratkan pertalian mereka sehinggalah dia menerima telefon menyatakan Zul telah menghembuskan nafas terakhir.
    Sebelum ini Shah tidak pernah bercerita apa-apa mengenai Zul. Dia tidak mahu sesiapa tahu mengenai perhubungannya. Tetapi sejauh mana dia dapat menyimpan rahsia itu. Betapa sakitnya untuk melupakan Zul hanya Tuhan Yang Esa mengetahuinya. Dia telah kehilangan seorang sahabat. Satu-satunya sahabat yang terpahat disanubarinya sejak dua puluh lima tahun yang lalu. Sahabat. Ya! Sahabat kerana mereka tidak boleh menjadi suami isteri. Perhubungan mereka terbatas hanya setakat menjadi sahabat.
    Namun sakitnya perpisahan yang ditanggung Shah itu tidak boleh dizahirkan dengan menitiskan air mata. Betapa terkejutnya aku bahawa selama ini Shah rupa-rupanya tidak boleh mengalirkan air mata. Aku benar-benar menyangka Shah seorang yang kuat. Kuat menahan sebarang dugaan. Dugaan perasaan. Betapa aku cukup menghargai Shah kerana walau bagaimana perit dia mengalami dugaan dan dalam keadaan tertekan, terhimpit, tidak setitis pun dia menitiskan air mata di hadapanku. Tidak pernah kulihat. Memang tidak pernah kutengok Shah menangis.
    Baru hari ini aku mengetahui rahsianya. Shah tidak boleh menitiskan air mata. Penyakitnya menyebabkan dia terpaksa tabah, terpaksa kuat, walau hatinya terbakar, bergelodak marah membaur, sedih, kecewa atau tersentuh. Kali terakhir dia menangis ialah ketika dia berseorangan di rumah sewanya yang agak terpencil di kawasan luar bandar di mana dia mula ditukarkan apabila dia ditawarkan kenaikan pangkat sebagai Pengetua.
    Peristiwa tinggal keseorangan amat memilukan... Ada suami, sudah bersara, tapi dia masih tinggal sendirian. Amat menyedihkan lagi apabila Rashid tidak mempercayai bahawa dia benar-benar sakit. Terlalu pilu hatinya apabila Rashid memberitahunya bahawa sakitnya dibuat-buat.
    Aduh... Shah mula menitiskan air mata. Tapi tiba-tiba Shah terasa dadanya sesak. Semakin sesak. Sukar untuk bernafas. Semakin sukar untuk bernafas. Shah cepat-cepat mengesat air mata. Aku yang kebetulan datang ke rumahnya ketika itu bersama tiga lagi pengiring terus mengusungnya ke hospital. Shah terus dimasukkan ke wad dan berehat di sana selama sepuluh hari. Sesungguhnya Allah maha mengetahui segala-galanya.
    ”Hah, makanan dah sampai. Meh kita makan.” Aku mengalih topik lain untuk melupakan kesugulan Shah. Shah terus rancak bercerita sambil mengunyah perlahan daging panggang di depannya. Dari satu topik ke satu topik kami bercerita.
    Sambil mengunyah makanan, Shah sempat bercerita bahawa dia dapat merasakan dirinya tidak sihat. Dia tidak boleh lagi menaiki tangga ke tingkat atas rumahnya, apatah lagi pergi meronda sekitar kawasan sekolahnya. Adakah Shah benar-benar sakit? Ya Allah, kau peliharalah kesihatan kami.
    ”Hanya satu menjadi semangat I sekarang. Ayat Zul... Marilah sama-sama kita bersedia untuk menemui Tuhan…”
oleh: Siti Salbiah Zahari
Catat Ulasan