Jumaat, 26 Ogos 2011

Rumus Sendiri

Benar kata orang, alam persaraan itu adalah satu alam yang cukup bebas lepas. Bebas dalam konteks boleh melakukan apa-apa sahaja selain yang ditegah agama dan budaya.
     Kita tidak perlu lagi `mempertahankan baju pegawai kerajaan’, Perintah Am sama ada Bab A, B, C atau Q. Jadi aku manfaatkan sepenuhnya apa yang mahu aku lakukan asalkan bahagia.
     Semalam, hampir sehari suntuk aku menghabiskan waktu membantu Pertubuhan Khairat dan Kebajikan Kariah Paroi Jaya untuk mencari dana kebajikannya. Tarikh 10 September telah ditetapkan untuk Majlis Jamuan Makan Malam. 100 meja akan dijual yang setiap satunya (10 tempat duduk) bernilai RM500.00 (murah sahaja).
     Bagi menampung kos pencetakan buku program dan lebihannya akan turut menambah dana, aku dan Shariff Ahmad (Komentar Hari Ini, TV1) menawar diri menguruskan carian iklan.
     Peliknya dalam dunia hari ini (mungkin terlalu gerun peristiwa lalu yang cuma didengar), Nazir Masjid sendiri bagaikan mempertikaikan usaha kami.
     “Pastikan semua kutipan dibuat melalui resit pertubuhan,” katanya dalam suara Sang Pemerintah Agung dalam mesyuarat kelmarin.     
     Kalaulah tidak sabar, mahu sahaja aku membatalkan niat untuk menolong itu. Terfikir di hati sejak kebelakangan ini, `lebih susah untuk menjadi baik daripada untuk menjadi jahat.’
     Bagaimanapun prejudis nazir aku abaikan sahaja. Sudah dua kali dia menguji kesabaranku. Bulan lalu, rostrum yang aku tempah setelah mendapat arahan Setiausaha Masjid, Ustad Abdul Hamid Jaman ditolak mentah-mentah atas alasan rendah walhal rostrum itu direkabentuk berasaskan keperluan semasa (mudah mengendalikan komputer riba. Kalau tinggi, lenguh tangan dibuatnya).
     Inilah antara kekangan yang dihadapi generasi muda dengan yang tua yang terlalu rigid pegangannya. Baginya rostrum perlu tinggi dan kerana ketinggian itu bolehlah menyembunyikan sebahagian diri untuk lebih yakin berhadapan audiens (sukarnya keluar dari kotak, fikir hati). Pasal rostrum aku hilang RM850.00
     Berbalik kepada carian iklan, sejak jam 11.00 pagi aku tawaf dua deret kedai Taman Paroi Jaya. Sambil membawa rate-card yang aku design sendiri, aku menawarkan khidmat kepada mereka yang ingin mengiklankan perniagaannya di samping beramal jariah.
     Di samping membeli iklan dalam buku program, satu khidmat baru ditawarkan iaitu membeli sepanduk berukuran 15 kaki X 4 kaki yang mengiklankan Majlis Jamuan Makan Malam dan 1/3 daripada saiznya iklan ucapan `Selamat Hari Raya. Terima Kasih Kepada Pelanggan Yang Terus Setia Bersama Kami.’ Harganya RM300.00
     “No obligation!,” kataku kepada semua pekedai gentleman.
     Pelbagai pengalaman baru, aku alami. Pengalaman berurusan dengan peniaga Cina dan Mamak, dan tentunya sebahagian besarnya Melayu.
     Sebenarnya kedai Cina mudah di kira di taman perumahan yang mempunyai hampir 2,000 rumah ini iaitu Kedai Soon Lee Trading (dua unit) dan sebuah kedai telefon (menumpang B.A. Urusbina), dua restoran Mamak, satu pasar mini Mamak, satu Kedai Buku Mamak dan sebuah kedai Seven Eleven milik peniaga Cina yang semacam Melayu punya (taukenya tidak pernah dilihat dan pekerjanya semua Melayu).
     Peniaga-peniaga ini ramah melayanku walaupun khidmat yang aku bawa untuk kebajikan umat Islam. Malah mereka berterus-terang akan membawa perkara itu kepada bos mereka atau terus mengata,”Sorry! kerana tidak dapat membantu.”
     Bagi peniaga Melayu, ada yang berkerut dahinya (macamlah aku nak tembak kerana tidak membeli iklan) dan ada yang `menipu’, bos (isterinya) keluar walhal baharu awal bulan ini dia cukup bermegah kerana kedai makannya yang menawarkan 1,000 resipi juadah puasa itu.
     Tidak kisahlah. Kita bukan hendak paksapun mereka untuk beramal jariah tapi janganlah tambah dosa.
     Dipendekkan cerita, tidak seorangpun membeli ruang iklan itu. Hanya kira-kira setengah jam kemudian, seorang wanita yang ramah suaranya membuat panggilan.
     “Encik Zulkifli ha! Ini Soon Lee Trading. Kami nak beli iklan sepanduk RM300.00,” katanya lembut.

Tiada ulasan: