Jumaat, 19 Ogos 2011

Dendam Seorang Kawan


AKU tergolong pelajar yang pandai. Aku sering memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang dan mendapat nombor satu di dalam kelas. Tidak hairanlah jika aku menjadi pelajar kesayangan dan sering mendapat pujian daripada guru kelasku.
     Disebabkan kecemerlanganku juga, aku dilantik menjadi ketua kelas dan menjadi contoh kerpada pelajar-pelajar lain. Sebagai ketua kelas, aku juga diberikan amanah untuk mencatat nama pelajar-pelajar yang membuat bising di dalam kelas semasa ketiadaan guru.
     Sebagai pelajar contoh di dalam kelas, aku juga diberikan kepercayaan untuk menyelesaikan sebarang masalah yang berkaitan dengan pelajaran sekiranya tiada pelajar lain yang dapat menyelesaikannya.
     “Kamu semua sepatutnya menjadi pelajar yang pandai seperti rakan kamu ini,” ujar Cikgu Alwi sambil memberikan pujian padaku,setiap kali aku berjaya menyelesaikan soalan yang diberikan kepadaku atau soalan yang gagal dijawab oleh pelajar-pelajar lain.
     Tiga kali dalam seminggu, iaitu kira-kira 10 minit sebelum masa kelas berakhir, aku akan dipanggil oleh Cikgu Alwi ke hadapan kelas untuk memberikan nasihat kepada pelajar-pelajar lain. Maka aku akan nasihatkan rakan-rakan kelasku supaya belajar bersungguh-sungguh, sentiasa hormat kepada ibu bapa, guru dan orang yang lebih dewasa daripada kita. Malah aku tidak pernah lupa menasihati rakan-rakanku supaya sentiasa berhati-hati semasa melintas jalan.
     Disebabkan aku juga boleh menyanyi, Cikgu Alwi selalu meminta aku menyanyi di depan kelas untuk menghiburkan rakan-rakan sekelasku, sebelum loceng terakhir berbunyi.
     Hari itu, sewaktu aku sedang menyanyi di depan kelas, tiba-tiba rakan sekelasku, Norman bangun  dan menuding jari ke arahku. “Dia nyanyi salah, Cikgu!” jerit Norman agak lantang.  Bukan aku saja yang terkejut, malah guru dan pelajar-pelajar lain juga terkejut dengan tingkah rakan sekelasku itu.
     Aku berhenti menyanyi dan memandang kepada Cikgu Alwi yang memberi isyarat supaya aku tidak teruskan menyanyi.
     “Kenapa kamu kata dia menyanyi salah?” tanya Cikgu Alwi.
     Norman hanya diam dan menundukkan mukanya.
     “Kalau kamu kata dia menyanyi salah, tentu kamu tahu menyanyi lagu itu, bukan?” tanya Cikgu Alwi lagi. “Sekarang kamu mari ke depan dan nyanyikan lagu itu. Mari..!” arah Cikgu Alwi kemudiannya.
     “Saya… saya tak pandai menyanyi, Cikgu...”  jawab Norman dengan teragak-agak.
     “Tadi kamu kata dia menyanyi salah. Macam mana?”
     Norman hanya diam.
     Kemudiannya, segala-galanya terbongkar.  Rupa-rupanya Norman menyimpan dendam terhadapku, kerana tiga hari berturut-turut dia didenda dengan melakukan ketuk-ketampi oleh  Cikgu Alwi akibat berbuat bising di dalam kelas. Aku yang mencatatkan namanya bersama beberapa orang pelajar lain lagi.
     Namun Norman akhirnya memohon maaf kepadaku dan berjanji akan menjadi pelajar baik dan cemerlang sepertiku.
oleh: Mazemie Maz

Tiada ulasan: