Jumaat, 12 Ogos 2011

Peniaga Bijak Dan Orang Asli

Arakian, tersebutlah kisah seorang peniaga  yang amat terkenal akan bijaknya. Bijaknya kerana dia dapat memanipulasi keadaan sehingga menyebabkan sesiapa yang berurusan dengannya tewas.
    Banyak tanah orang kampung tergadai semata-mata kerana bijaknya – sama ada melalui penipuan atau kemampuannya memujuk secara halus.
    Pada suatu petang yang damai, dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands, peniaga yang kacak itu segera turun daripada Mercedes SLKnya apabila melihat sekumpulan orang Asli sedang menjual petai.
    “Berapa seikat?”
    “Eeh! Muraaah!”
    “Yang seikat ini RM5.00. Kalau satu ikat besar ini RM50.00. Biasalah Encik, kalau beli sikit mahal, beli banyak murah.”
    Setelah mencongak mudah, peniaga segera membayar RM50.00 dan meminta orang Asli berkenaan memasukkan petai itu dalam bonet keretanya.
    Oleh kerana sifat oportunisnya, peniaga sempat mengira jumlah papan petai yang dibeli. Ternyata dia silap buat congakan tadi. Harga seikat besar rupa-rupanya lebih  mahal jika dibandingkan harga ikatan kecil.
    Apa lagi si peniaga naik berang. Keegoannya sebagai peniaga yang hebat tercabar dengan tindakan orang Asli berkenaan.
    “Awak penipu!”
    “Tipu apa Encik?,” jawab orang Asli kehairanan.
    “Tadi awak kata, kalau beli banyak murah, kalau beli sikit mahal…”
    “Bukan saya tipu Encik. Saya tak sekolah, mana saya tahu kira,” jawab orang Asli jujur.

Tiada ulasan: