Isnin, 29 Ogos 2011

Disangkakan Panas Hingga Ke Petang…


Apakan daya, panas yang disangkakan hingga ke petang, rupa-rupa hujan yang mencurah di tengah hari. Ikatan kebahagiaan yang diharapkan berpanjangan, terputus jua di pertengahan  jalan. Rumahtangga yang dibina hampir sepuluh tahun lamanya, berkecai juga akhirnya akibat  kehadiran orang ketiga.
     Walaupun Nirmala akur dengan takdir yang menimpa, namun dia begitu kesal dengan ketidakjujuran suaminya yang sanggup menduakannya.
     Sungguh Nirmala tidak menyangka yang suaminya sanggup bermain kayu tiga di belakangnya. Sedangkan mereka berkahwin atas dasar cinta sama cinta, sejak mereka mereka berkenalan di universiti lagi.
     Pada mulanya Nirmala tidak mahu ambil kisah apabila ada saudara-mara dan rakan-rakan yang bercakap mengenai suaminya. Ada di antara mereka yang pernah terserempak  suaminya dengan wanita lain.
     Kemesraan yang terpamer antara suaminya dengan wanita itu, bukan sekadar rakan biasa. Itulan kata-kata mereka yang pernah menusuk pendengaran Nirmala. Tetapi Nirmala masih mampu bersabar.
     Anggapan Nirmala, mungkin saudara-mara dan rakan-rakannya itu tersalah orang. Tidak mungkin suami yang disayangi dan dipercayainya itu sanggup melukakan hatinya dengan berkasih-kasihan dengan wanita lain. Lagipun, apa kurang dirinya? Dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu kepada dua orang cahaya matanya yang masih kecil itu.
     Namun Nirmala terpaksa juga bersemuka dengan suaminya, apabila dia mendapati ada perubahan terhadap suaminya. Suaminya kerap pulang lewat ke rumah selepas kerja dan sering pula tidak cukup wang. Sedangkan selama ini masalah itu tidak pernah dihadapinya.
     Setelah bersemuka, suami Nirmala akhirnya mengaku yang dia telah pun bernikah dengan seorang staf di pejabatnya hampir enam bulan lalu. Suaminya terpaksa berkahwin dengan gadis itu kerana kedua-duanya telah terlanjur dan gadis itu telah termengandung.
     “Kenapa abang rahsiakan daripada saya? Kalau saya tak tanya abang, mungkin sampai bila-bila pun saya tak tahu perbuatan terkutuk abang tu!” bentak Nirmala.
     Ternyata suami Nirmala telah bersedia dengan alasannya tersendiri. Katanya, dia belum bersedia untuk berterus-terang kepada Nirmala. Dia masih mencari masa yang sesuai untuk menceritakan segala-galanya kepada isterinya itu.
     Namun Nirmala tidak dapat menerimanya. Hatinya begitu terluka dengan perbuatan curang suaminya. Kemaafan yang dipinta suaminya, tidak dapat melembutkan  jiwanya yang amat kecewa itu.
     Sesungguhnya Nirmala tidak dapat menerima orang ketiga dalam hidup mereka. Apatah lagi dia sememangnya tidak sanggup dimadukan. Dia lebih rela mencari dan membina kehidupan sendiri, walaupun berstatus janda. Itulah keputusannya.
oleh: Mazemie Maz

Tiada ulasan: