Jumaat, 19 Ogos 2011

Businessman Berkot Coklat


Selain Din Menggelabah, Ajoi juga adalah `orang ternama’ di Seremban khususnya di kawasan Ampangan. Siapa yang tidak kenal Ajoi. Ajoi OKB – Orang Kaya Baharu. Kaya tak kayanya Ajoi, dia boleh guna plet nombor 1 untuk kereta Mercedes S320nya. Bukankah angka-angka itu, 1 dan 320 lambang orang kaya.
     Bagi penduduk Taman Paroi Jaya (tempat tinggalnya), Ajoi disahkan kaya kerana meruntuhkan banglo bernilai lebih RM400,000  yang masih baik sebelum membina rumah baru di tapak yang sama. Itu `tanda’ Ajoi kaya.         
     Banyak versi mengenai cerita bagaimana Ajoi kaya. “Macam mana tak kaya, Ajoi dapat balak.” “Macam mana tak kaya Ajoi jaga duit Menteri Besar.” Mana tak kaya, Ajoi jaga lombong emas Tuanku.” dan macam-macam lagi.
     Apa yang pasti, Ajoi tidak peduli semua itu. Dia tetap dikenali kerana senyum manis dan sifat berterus-terangnya.
     Aku yang telah mengenalinya sejak sekian lama tetap terhibur dengan cerita-cerita Ajoi apabila bertemu. Aku masih ingat dia beria-ia benar bercerita pasal projek ikan talipianya di Kampung Sega, Rantau.
     “Kau tolong kira Zul. Sekilogram talipia harganya seringgit. Seekor kadang-kadang lebih sekilo. Aku ada lebih kurang sejuta ekor talipia di Rantau,” katanya sewaktu rehat-rehat di bilik Ikmal Hisham Mohd Yusof, Setiausaha Khas Menteri Besar, Mohd Isa.
     Seminggu kemudian aku dengar kolam talipia Ajoi roboh tebingnya dilanda banjir.
     Beberapa bulan kemudian aku terdengar pula Ajoi kahwin baru. Budak Rantau juga. Budak itu anak pensyarahku sewaktu di UPM dulu dan kini isteri barunya itu masih belajar di situ.
     Sewaktu mengucapkan tahniah sewaktu bertemu, Ajoi sudah terlupa cerita ikan talipianya.
     “Kau tahu Zul! Den tanyo bini baru den. Apo kereto yang paling maha pensyarahnya pakai. Den bolikan kereta yang lobih maha pado tu. Kah! Kah! Kah!,” begitulah biasa ketawa besarnya.
     Lantas aku teringat Ajoi sewaktu miskinnya. Dia sering kelihatan berkeliaran di pejabat Menteri Besar dan pejabat-pejabat yang sewaktu dengannya.
     Ajoi yang sering kelihatan berkot coklat telah mula pandai menempah bilik secara jangka panjang di Hotel Tasik, di tepian tasik Taman Bunga Seremban.
     Dalam satu pertemuan dalam terik matahari Seremban, pertanyaan yang sering bersarang di kepalaku kenapa Ajoi tetap berkot walhal cuaca panas, ini jawapan ringkasnya.
     “Zul! Kau lainlah. Kau belajar tinggi. Tulis cerita dalam suratkhabar pula. Semua orang kenal kau. Den ni tak sekolah. Jadi, bilo dio ternampak den tontu dio orang bertanyo-tanyo, siapa budak yang pakai kot coklat tu? Lopeh tu, tontu ado orang yang koba, itulah Ajoi. Jadi copeklah den terkona.”
Nota: Untuk sahabatku Allahyarham Zulkarnain, mari kita bersama-sama hadiahkan Al-Fatihah.

Tiada ulasan: