Ahad, 7 Ogos 2011

Sehelai Songket Berbunga Penuh

Al-Fatihah Untuk `Isteri Menteri Besar Negeri Sembilan Terbaik'
Allahyarham Hajah Hazizah Haji Tumin
PETANG itu Shariff Ahmad, Setiausaha Akhbar Menteri Besar singgah di rumah lagi. “Datin beri,” katanya pendek sambil tangannya menghulur beberapa keping wang RM50.00
    “Untuk apa?,” kataku pendek dalam kehairanan.
    “Dia kata bayaran untuk kad jemputan yang kau buat,” jawabnya selamba.
    “Dia dah bayar melalui cek, invois yang aku hantar.”
    “Entah! Datin cakap dia cukup puas hati dengan kad itu. Cantik katanya,”
    “Aaah! Tak hendaklah,” kataku sambil memulangkan kembali wang itu.
“Kata pada Datin, terima kasih.” Masih dalam nada bersahaja.
    Shariff akur lalu bercerita mengenai hal-hal biasa yang sering kami perkatakan. Cerita mengenai rakan media. Cerita mengenai politik pejabat.
    Petang keesokan harinya, Shariff singgah lagi di rumah. Tangannya menjenjeng beg plastik.
    “Datin terima kembali duit yang kaupulangkan. Tapi dia harap yang ini kau tidak pulangkan,” katanya sambil menghulurkan beg plastik itu.
    Aku terus membukanya dan terlihat lipatan kemas kain songket berbunga penuh.

    “Mahal ni. Lebih mahal daripada duit yang diberi semalam,”kataku kaget.
    Shariff tersenyum dan terus menukar cerita lain.
    Seingat-ingat aku itu adalah kain songket kedua milikku. Songket pertama emak hadiahkan sewaktu aku kahwin dulu. Memikirkan pemberian itu ikhlas, aku tidak dapat berbuat apa-apa lagi, selain menerimanya dengan penuh kesyukuran.
    Sejak mendapat songket baru itu, itulah songket rasmiku sama ada dipakai setiap Hari Raya atau menyertai majlis-majlis rasmi. Bertahun-tahun aku memakainya sehingga melupakan songket pemberian emak.
    Pada suatu majlis rasmi di kediaman Menteri Besar, di Nombor 4, Jalan Tasik, aku sempat bergurau dengannya mengenai songket yang aku pakai.
    “Untuk pengetahuan Datuk, songket yang saya pakai ni Datin yang beri,” sengaja aku kuatkan percakapan itu supaya didengar oleh isterinya yang berada di sebelah.
    “Itu tanda nak songket barulah tu,” celah Datin Seri Hajah Hazizah Haji Tumin, dalam nada gurauan juga.
......................................................................................................................................
Suku Abad Kemudian
    Sewaktu hendak menghadiri satu majlis rasmi peringkat negeri baru-baru ini, aku tercari-cari songket itu. Aaah! Di mana? Di mana songket berbunga penuh yang aku anggarkan berharga sekitar RM1,000 itu.
    Bukan harganya yang membuatkan aku terkilan tapi cerita di sebalik songket itu. Songket itu `pemberian hati’ manusia yang aku anggap luhur jiwanya – dia yang telah lebih 10 tahun dipanggil Ilahi.
    “Tap!” Aku tersentak dan tidak pernah aku panik seperti itu – songket kesayanganku itu telang hilang daripada almari pakaianku.
    Puas aku mengingat majlis terakhir aku memakainya.
    “Yes! Yes!” Aku memakainya bersama sepasang baju Melayu hijau di majlis meraikan persaraanku – 9 Disember 2009.
    Songket itu terkena tumpahan minuman sewaktu makan dan petang itu juga aku menghantarnya untuk cucian kering.
    Aku lantas menghidupkan enjin kereta dan segera menuju ke kedai dobi langgananku di Taman Paroi Jaya.
    “Maaf! Tidak adalah Pakcik!,” jawab pekerja kedai dobi menjawab pertanyaanku.
    “Bila Pakcik hantar?”
    “9 Disember 2009.”
    “Sekarang sudah Julai 2011.”
    Baru aku perasan, tempoh itu sudah menjangkau dua tahun dan wajar benar songket itu tiada lagi dalam simpanan.
    Tanpa membuang masa, aku segera pula ke satu lagi kedai dobiku yang terletak berhampiran rumah di Taman Pinggiran Golf.
    “Biasanya kami jual, pakaian atau apa sahaja yang tidak dituntut selepas satu tahun,” kata pembantu kanan kedai dobi berkenaan.
    Aku bagaikan mahu meraung sekuat-kuatnya ketika itu.
   

Tiada ulasan: