Tauke Soon Lee Trading tidak banyak bertanya itu-ini mengenai sumbangan RM300.00 yang diberikan lalu meminta aku menuliskan sendiri ceknya.
“Ini mahu tolong orang miskin ha?,” tanya isterinya lalu aku segera mengiakannya.
“Saya dengar cerita, you selalu tolong orang miskin dan orang susah. Betul ke?,” aku tanya bagaikan murid sekolah.
“Sikit-sikitlah. Kita mesti tolong orang miskin,” katanya seolah-olah ingin menyembunyikan apa yang dilakukan sebelum ini. Dia seolah-olah ingin menjelaskan, bila tangan kanan memberi, tangan kananpun tidak tahu.
Bagaimanapun dia meminta pertolonganku memasangkan sepanduk itu di bahagian hadapan papan iklannya.
Tanpa membantah, aku cuba memasangnya dengan memanjat tangga yang kuambil dari bahagian belakang kedainya. Seriau juga aku dibuatnya kerana sudah lama tidak memanjat.
Hasrat untuk memasang sepanduk itu tidak kesampaian kerana tangga terlalu rendah. Atas nasihat Shariff Ahmad, aku memikul tangga panjang yang ada di rumahnya lalu berjalan kaki sehingga ke kedai Soon Lee.
Mungkin simpati melihat aku terkial-kial meletakkan tangga, Zafar, pekerja Restoran Syed Maju segera membantu. Tubuhnya yang tinggi kerana berketurunan Pakistan memudahkannya melaksanakan tugas itu.
Bagaimanapun keesokan harinya, tauke Soon Lee Trading meminta aku mengubah kedudukan sepanduk kerana menutup papan iklannya.
Kali ini Pak Udin, pekerja dari Indonesia yang sedang berurusan dengan Shariff menghulurkan bantuan. Ternyata, bantuan mudah diterima walaupun dari warnanegara asing.
Sewaktu kuhulurkan RM20.00 sebagai upah, kedua-duanya menolak dengan lembut. “Bukan menolak rezeki tapi… ini antara sumbangan saya.”
Setelah iklan Soon Lee Trading, Rizal (Mamak) pemilik Restoran Syed Maju turut bersetuju untuk memberi sumbangan yang sama. Begitu juga, jiran sebelahnya, Rahmat (Mamak) pemilik Pasar Mini Paroi Jaya bersetuju membeli satu muka ruang iklan di buku cenderamata.
Peniaga Melayu? Walaupun banyak bertanya itu-ini, sehingga hari ini, belum seorangpun lagi menghulurkan sumbangan. Jadi, siapa yang lebih memahami amal jariah itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan