Ahad, 14 Ogos 2011

Poligami (Bahagian Dua)

Aku tidak menyangka bahawa peristiwa mempersendakan Ustaz Husin di dalam kereta Cikgu Ding itu akan berpanjangan. Semua yang dilakukan itu hanyalah satu muslihat yang bertujuan  untuk mengusik, bersenda-gurau  dan seterusnya berhibur dengan telatah Ustaz Husin yang ‘terperasan’. Aku merasa seronok puas apabila berjaya mempersendakan Ustaz dan aku merasa puas apabila Si Ustaz tidak menyedari bahawa dirinya telah dipersendakan.
    Bagi pihak Ustaz Husin, lain pula yang telah terjadi. Dia benar-benar mempercayai  bahawa segala usikan dan gurauan yang didengarinya. Dia benar-benar percaya bahawa Cikgu Maisarah juga turut ‘merasakan’ apa yang sedang ‘dirasakannya’.
    Sehubungan dengan itu,  pada keesokan harinya aku telah didatangi secara peribadi oleh Si Ustaz. Ketika itu aku sedang bersendirian di dalam bilik perpustakaan sekolah. Aku sedang menyiapkan kerja-kerja yang berkaitan dengan tugasku yang kedua iaitu sebagai guru pustakawan sekolah.
    Setelah memberi salam dan bercakap satu dua ayat permulaan, maka Ustaz Husin terus menyatakan hasrat hatinya secara terus-terang.
    “Cikgu Said, boleh ke Cikgu tolong sampaikan pada Cikgu Maisarah?” Soalan Ustaz itu membuat aku terkejut dan tergamam seketika.
    Aku faham apakah maksud sebenar yang tersirat di hati Ustaz. Dia sebenarnya ingin memaklumkan kepada Cikgu Maisarah bahawa kini hatinya telah dicuri orang dan si pencuri itu ialah Cikgu Maisarah sendiri. Dalam lain perkataan, Ustaz Husin sebenarnya telah benar-benar ‘jatuh hati’ dan  seterusnya ingin menjadikan Cikgu Maisarah sebagai isterinya yang kedua.
    Untuk merealisasikan impiannya itu, Ustaz Husin meminta aku menjadi penyampai ataupun ‘orang tengah’. Oh, sungguh berat hatiku untuk menerima tanggungjawab tersebut. Aku tidak tahu bagaimanakah caranya untuk menyampaikan ‘hasrat hati’ Si Ustaz itu pada Cikgu Maisarah nanti.  Bagaimana kalau Cikgu Maisarah tidak bersetuju? Bagaimana kalau Cikgu Maisarah melenting?  Fikiranku menjadi buntu dan berserabut.
    Walau bagaimanapun, untuk tidak menghampakan Si Ustaz, Aku tetap memberikan jawapan yang positif. Aku terpaksa melakukan ‘bohong sunat’ demi untuk menjaga hati seorang rakan sejawat yang bergelar Ustaz.
    “O.k.lah Ustaz, nanti saya beritahu Cikgu Maisarah”.
    Begitulah ‘janji manis’ yang aku lafazkan demi untuk mengembirakan hati Si Ustaz. Seperti kata pepatah, ‘ibarat menanam tebu di tepi bibir’, itulah yang telah aku lakukan. Namun apa yang tersembunyi di dalam hatiku ialah  bahawa sesungguhnya aku tidak sanggup untuk memenuhi kehendak Si Ustaz itu.
    Ekoran daripada ‘janji manisku’ itu, sekali lagi berlaku perkara yang di luar jangkaan. Rupa-rupanya Ustaz Husin semakin serius dan semakin ‘menaruh harapan’. Setiap kali bertemu dengan aku, Ustaz Husin akan bertanyakan apakah progress kepada permintaannya itu. Apakah sudah aku sampaikan kepada Cikgu Maisarah ataupun belum?
    Aduh…!, jenuh pula aku hendak menjawabnya. Pelbagai alasan telah aku rekayasa  untuk menutup kebenaran. Demi untuk ‘menyedapkan’ hati Si Ustaz. Antara alasan yang aku berikan, “Belum Ustaz, belum lagi.  Sabar ya !. Ini bukan perkara kecil. Kita tak boleh tergesa-gesa kan?, Ada peluang baik nanti, pasti akan saya sampaikan pada Cikgu Maisarah. Sabar ya…!”
    Begitulah sebahagian daripada penjelasan dan alasanku yang telah aku berikan. Dengan penjelasan yang berunsurkan ‘janji manis’ dan sedikit ‘berbau’ nasihat itu, aku telah berjaya meredakan sedikit ‘keghairahan’ Si Ustaz. Dia kelihatan seperti berpuas hati dan mengucapkan terima kasih. Sebelum dia berlalu, Ustaz Husin meninggalkan satu lagi pesanan, “Jangan lambat-lambat sangat ya….!,”katanya.
    Dipendekkan cerita, pada suatu hari aku berpeluang bercakap dengan Cikgu Maisarah di depan Ustaz Husin dan bersaksikan Cikgu Ibrahim.  Ketika itu kami berempat berkumpul di dalam bilik perpustakaan, bersembang sementara menunggu waktu untuk pulang ke rumah.
    Aku menggunakan kesempatan itu dengan pura-pura bertanyakan pendapat dan pandangan Cikgu Maisarah berkaitan dengan isu poligami.  Kebetulan pula pada masa itu, isu poligami memang hangat diperkatakan. Isu poligami sedang dibahaskan di parlimen dan satu Akta berkaitan dengan poligami akan diwartakan. Dan kebetulan juga pada hari itu, berita dan isu  poligami terpampang di muka depan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.
    Dengan mengaitkan tajuk poligami yang terpampang di dada-dada akhbar, maka aku memulakan ‘lakonan’ secara berhemah dan penuh diplomasi. Aku beraksi seperti sedang menemubual Cikgu Maisarah seolah-olah dia seorang ‘selebriti’ yang sedang ditemubual oleh wartawan. Dan Si Penemubual itu adalah aku sendiri.
    Aku memulakan ‘interviu’ dengan pertanyaan, “Cikgu Maisarah, boleh ke saya nak bertanyakan pendapat Cikgu tentang isu poligami?” Aku meminta izin terlebih dahulu untuk melihat respons Cikgu Maisarah. Dengan cara yang demikian, aku juga mengharapkan Cikgu Maisarah tidak tersinggung dan seterusnya tidak menyedari maksud sebenar yang tersirat di hatiku.
    “Boleh…, apa-apa isu pun boleh. Tanyalah”, balas Cikgu Maisarah.
    “Sebenarnya, saya telahpun bertanyakan pendapat Ustaz dan Cikgu Ibrahim. Dua orang ‘gentlement’ ini memang bersetuju kalau orang lelaki menambah isteri. Sekarang saya nak tanya bagi pihak orang perempuan pula. Boleh ke Cikgu Maisarah memberikan pendapat?”
    “Tanyalah pasal apa pun,  pasal poligami ke…, pasal poliklinik ke’, semuanya boleh. Saya sedia menjawab”. Begitulah respons Cikgu Maisarah dengan nada seperti hendak bergurau.
    “Ok…, macam ni cikgu…, misalkan Cikgu Maisarah ni sudah bersuami…, err…olok-olok ye…!  Boleh ke?  Cikgu Maisarah tak marahkan?  Aku terpaksa bertanyakan soalan seperti ini untuk mendapatkan kepastiannya terlebih dahulu. Kepastian itu perlu bagi mengelakkan salah faham yang mungkin terjadi. Dan aku tidak mahu Cikgu Maisarah tersinggung ataupun marah padaku akibat pertanyaanku yang mungkin sensitif atau terlalu peribadi.
    “Ehh…, tak de lah, cakap je lah, no hal”. Begitulah penjelasan Cikgu Maisarah. Penjelasannya itu menjadikan aku lebih ‘confident’ untuk meneruskan lakonan demi menjayakan suatu misi yang diminta oleh Si Ustaz.
    “Ok, kalau begitu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Cikgu Maisarah yang telah sudi untuk ditemubual.  Baiklah… soalan saya yang pertama ialah, katakanlah Cikgu Maisarah ini sudah bersuami, dan suami Cikgu Maisarah itu tiba-tiba nak kawin seorang lagi. Jadi, apakah pandangan dan tindakan Cikgu Maisarah? Adakah Cikgu sanggup bermadu?”
    “Alah…. tak ada masalah. Kalau ada sebab yang kukuh, saya tidak ada masalah. Saya akan izinkan suami saya berkahwin seorang lagi.”
    “Alhamdullillah, inilah contoh isteri mithali,”balasku dengan keyakinan diri yang semakin meningkat. “Ok, soalan saya yang kedua pula ialah…, jika sebaliknya, Cikgu Maisarah ini masih bujang, bujang seperti sekarang, maka ada seorang lelaki yang sudah beristeri ingin ‘melamar’ Cikgu Maisarah. Bagaimana? Mahukah Cikgu Maisarah menjadi isterinya yang kedua?”
    “Oh no… no… no...! Minta maaf,  Saya tidak akan berkahwin dengan lelaki yang sudah beristeri.  Biarlah saya tidak kahwin sampai ke tua. Biarlah saya membujang sampai mati”.
    Begitulah penjelasan yang sangat jelas yang keluar dari mulut Cikgu Maisarah sendiri. Dan penjelasan itu pasti  telah dapat didengar  dengan jelas juga oleh Si Ustaz. Cikgu Ibrahim telah menjadi saksi bahawa Ustaz Husin telah mendengar sendiri penjelasan itu dari mulut Cikgu Maisarah.
    “Ok..!, setakat ini dahulu temuramah saya dengan Cikgu Maisarah kali ini. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas kerjasama yang telah Cikgu berikan. Terima kasih… terima kasih…, terima kasih”.  Demikianlah aku menamatkan lakonan semerta itu dengan harapan segala persoalan telah terjawab. Dan sudah terbukti bahawa jawapan dari Cikgu Maisarah itu menepati sebagaimana yang aku ramalkan.
    Apabila Cikgu Maisarah beredar meninggalkan bilik perpustakaan, aku menyambung perbualan dengan Ustaz Husin sambil disaksikan oleh Cikgu Ibrahim. “Ok Ustaz…? Ustaz dah dengarkan apa yang Cikgu Maisarah jawab?” Soalan aku itu tidak dijawab oleh Si Ustaz. Sebaliknya dia mendiamkan diri. Muka dan telinganya mula menunjukkan tanda kemerah-merahan.
    Mendengarkan kata-kataku itu, tanpa diundang Cikgu Ibrahim terus menyampuk dengan kata-kata seakan-akan mengutuk Si Ustaz. “Ustaz ni tak ‘gentlement’ langsung. Ada ke patut menyuruh Cikgu Said menyampaikan isi hati Ustaz.  Sepatutnya Ustaz jumpa sendiri Cikgu Maisarah tu, dan cakap sendiri depan-depan, barulah ‘gentlement’ namanya. Barulah cair Cikgu Maisarah tu”.  Ustaz terus terdiam. Muka dan  telinganya menjadi merah padam.
    Keesokan paginya, seperti biasa aku dan Cikgu Ibrahim terus naik ke pejabat untuk menandatangani buku kehadiran. Anehnya, Ustaz Husin tidak ikut bersama. Sebaliknya dia terus ke bilik darjah Cikgu Maisarah sebaik saja turun dari kereta Cikgu Ding. Ketika itu Cikgu Maisarah sedang duduk bersendirian. Pagi itu Cikgu Maisarah datang lebih awal dengan menumpang kereta Guru Besar.
    Aku tidak pasti berapa lamakah  Ustaz Husin menemui Cikgu Maisarah. Juga aku tidak pasti apakah tujuan Ustaz berbuat demikian. Juga aku tidak pasti apakah yang telah berlaku di antara mereka berdua. Namun aku yakin bahawa di dalam ‘pertemuan sulit’ itu, telah berlaku sesuatu yang di luar jangkaan.  
    Tidak lama selepas ‘pertemuan sulit’ itu berlangsung, satu perubahan yang amat drastik telah berlaku. Aku dapati mereka berdua telah bertukar wajah. Wajah Cikgu Maisarah yang biasanya penuh dengan kemesraan dan keceriaan telah  bertukar menjadi muka yang penuh dengan kebengisan. Muka Ustaz Husin pula berubah menjadi menjadi merah-padam bagaikan kulit seekor udang yang terbakar.
    Perubahan pada wajah dan tingkahlaku Cikgu Maisarah telah berlarutan sehingga beberapa hari. Aku dan Cikgu Ibrahim tidak berani bertanya atau bertegur-sapa dengannya kerana bimbangkan sesuatu yang lebih buruk akan terjadi. Oleh itu kami memilih jalan selamat dengan mengamalkan strategi mendiamkan diri. Begitu juga dengan Ustaz Husin, kami sama-sama ‘membisu’ buat sementara waktu. Harapan kami berdua ialah keadaan akan kembali seperti sediakala secepat mungkin.
    Strategi mendiamkan diri yang aku dan Cikgu Ibrahim lakukan itu, rupa-rupanya tidak kekal lama. Kesilapan aku dengan memulakan perbualan yang berunsurkan sindiran (dalam perjalanan pulang dari sekolah dengan menumpang kereta Cikgu Ding) telah dijadikan peluang oleh Cikgu Maisarah untuk ‘menyerang’ dan melepaskan api kemarahan.
    Pada hari kejadian, Cikgu Maisarah telah kembali menumpang kereta Cikgu Ding. Sehari dua sebelum itu, dia menumpang kereta Guru Besar pergi dan balik. Cikgu Maisarah terpaksa menumpang kereta Cikgu Ding kerana Guru Besar tidak hadir ke sekolah.
    Kisahnya bermula apabila aku memecahkan keheningan suasana dengan berkata,  “Cikgu Ibrahim…! Kita ni dah bergurau terlebih sangat, ada orang yang tersinggung dan marah”. Demikianlah tutur kataku dengan niat untuk ‘menjernihkan kekeruhan’ dan mencari jalan penyelesaian.
    Kata-kataku yang sinis itu serta merta disambut oleh Cikgu Maisarah dengan nada  penuh beremosi dan kemarahan yang meluap-luap.  Dia berkata, “Ya awak tu dah tua, dah ada bini, dah ada anak tujuh, masih lagi nak menggatal. Jagalah anak bini tu baik-baik. Janganlah dah tuapun masih nak menggatal”.
    Begitulah sebahagian daripada kata-kata yang meletus secara tiba-tiba daripada mulut Cikgu Maisarah. Kata-kata yang merupakan luahan perasaannya yang telah terpendam agak lama. Kata-kata amarah dan amat sinis itu sudah semestinya ditujukan kepada Si Ustaz yang duduk di sisinya.  Selepas itu Cikgu Maisarah mendiamkan diri sehinggalah dia turut dari kereta Cikgu Ding di persimpangan jalan.
    Maka tinggallah kami berempat meneruskan perjalanan. Suasana keheningan kembali menjelma. Masing-masing bertindak mendiamkan diri kecuali Ustaz Husin yang kelihatan memejamkan mata bagaikan orang yang sedang terlena.
    Namun, suasana keheningan itu hanya seketika.  Cikgu Ibrahim yang kelihatan hilang sabar, terus mengemukakan satu soalan yang ditujukan khas kepada Ustaz Husin yang sedang ‘terlena’. “Apa halnya tu Ustaz? Apa pasal Cikgu Maisarah ‘mengamuk’ sampai begitu sekali? Apa yang telah Ustaz lakukan?” Demikianlah tiga ayat pertanyaan yang berturut-turut dikemukakan oleh Cikgu Ibrahim  kepada Ustaz Husin untuk mendapatkan kepastian.
    Ustaz Husin yang sedang ‘terlena’, perlahan-lahan membuka mata dan dan seterusnya memberikan jawapan yang dipinta.  “Saya tak tahu, saya tak dengar apa yang dia cakap. Masa tu saya tertidur”. Dengan jawapan itu, maka tertutuplah segala persoalan. Masing-masing mendiamkan diri dan suasana kembali diselubungi keheningan. Ustaz Husin kelihatan menyambung kembali ‘tidurnya’ yang telah terganggu seketika disebabkan oleh  soalan ‘panas’ yang ajukan oleh Cikgu Ibrahim sebentar tadi.
    Beberapa minit kemudian, kereta Cikgu Ding sampai ke Pekan Batu Kikir. Ustaz Husin melangkah turun dengan mukanya yang merah-padam. Telinganya bagaikan kulit udang yang sedang terbakar. Hasratnya untuk berpoligami sudah pasti tidak kesampaian.
oleh: Md. Said Bidin

Tiada ulasan: